
Setiap pasangan pastinya mahu terus bersama hingga ke hujung usia. Namun soal ajal adalah ketentuan ALLAH SWT dan tiada siapa tahu siapa yang akan pergi terlebih dahulu.
Bagi pendakwah bebas, PU Riz, kehilangan pasangan bukan bermakna insan yang masih hidup perlu berhenti meneruskan kehidupan. Malah, dia sendiri terbuka sekiranya isterinya, Neelofa, memilih untuk berkahwin semula jika dirinya dijemput Ilahi terlebih dahulu.
Menerusi perkongsian dalam program Rumah Tangga Sekadar Dunia Atau Selamanya anjuran Nunha baru-baru ini, PU Riz menyentuh tentang persoalan berkahwin semula selepas kematian pasangan serta bagaimana suami dan isteri perlu melihat kehidupan berumah tangga daripada sudut yang lebih luas.
Menurut PU Riz, pasangan yang ditinggalkan tidak seharusnya terlalu dibelenggu persoalan sama ada perlu berkahwin semula atau tidak hingga melupakan perkara lebih besar, iaitu kehidupan selepas mati.
“Kalau isteri ataupun suami meninggal hari ini, esok kahwin lain tak? Ataupun lepas tu kahwin lain tak? Saya sarankan, kahwin lain.
“Memang tiada ganti, cuma saya cakap dari sudut saya meninggal terlebih awal, saya nak Lofa kahwin.
“Yang penting, awak doakan saya selamat dekat akhirat,” katanya.
Baginya, perkahwinan semula bukan tanda seseorang melupakan pasangan yang telah pergi, sebaliknya boleh menjadi salah satu jalan untuk meneruskan kehidupan dengan niat yang baik.
Pandangan itu juga memperlihatkan bagaimana dia mahu insan yang disayangi terus menjalani kehidupan sekiranya suatu hari nanti mereka terpaksa berpisah kerana kematian.
PU Riz atau nama sebenarnya Muhammad Haris Mohd Ismail menjelaskan bahawa perkahwinan tidak seharusnya dilihat semata-mata dari sudut perasaan.
Sebaliknya, perkahwinan juga boleh menjadi ibadah sekiranya dibina atas niat yang betul dan membawa seseorang lebih dekat kepada agama.
“Awak kahwin pun kena ingat, kahwin itu untuk ibadah. Supaya diri kita sentiasa dalam ibadah.
“Kalau isteri kita kahwin lain ataupun suami kita kahwin lain, dengan didikan kita, kita suruh kahwin itu adalah kerana ibadah yang perlu diteruskan,” katanya.
Dalam konteks itu, kehidupan selepas kehilangan pasangan bukan sekadar mengenai mencari pengganti. Sebaliknya, apa yang ditekankan adalah bagaimana seseorang meneruskan kehidupan dan membina keluarga dengan tujuan yang baik.
Lebih menyentuh hati, PU Riz turut menyatakan bahawa jika dirinya pergi dahulu, dia berharap Neelofa dipertemukan dengan lelaki yang mampu membimbing isteri dan keluarganya dengan lebih baik.
“Saya, kalau dah tak ada esok-esok, isteri kahwinlah yang lain. Cari yang lebih ustaz daripada saya.
“Bina keluarga jauh lebih baik daripada apa yang kita bina sekarang,” katanya.
Menurutnya, kasih dan cinta di dunia mempunyai batasnya kerana setiap pasangan akhirnya akan berdepan dengan perpisahan.
“Kerana mungkin giliran saya yang pergi dahulu atau mungkin giliran awak. Soal kasih dan cinta ini semua sementara,” jelasnya.
Kata-kata tersebut mungkin kedengaran berat bagi sesetengah pasangan, namun ia membawa kepada persoalan mengenai persediaan menghadapi kehilangan orang tersayang yang tidak dapat diketahui bila waktunya.
Selain memikirkan tentang Neelofa, PU Riz turut melihat perkara itu daripada sudut masa depan anak-anak.
Katanya, jika pasangan baharu mampu mendidik dan membimbing anak-anak tentang agama, ia juga boleh menjadi satu bentuk kebaikan yang berpanjangan.
“Kalau kita dah tak ada esok-esok, dia dapat kahwin dengan orang yang lebih baik daripada kita.
“Mungkin anak-anak kita yang langsung tak tahu al-Quran, tak tahu agama, disebabkan dia kahwin, suami ini ajar anak-anak kita,” katanya.
Baginya, soal pasangan yang ditinggalkan berkahwin semula juga boleh dilihat daripada sudut kebajikan dan didikan anak-anak selepas kehilangan salah seorang ibu atau bapa.
Dalam perkongsian berkenaan, PU Riz turut membawa contoh kisah Ummu Salamah RA yang kehilangan suaminya, Abu Salamah RA, sebelum kemudiannya dinikahi Rasulullah SAW.
Kisah tersebut dibawa dalam perbincangan mengenai kehidupan selepas kehilangan pasangan serta bagaimana seseorang boleh meneruskan kehidupan selepas melalui fasa perpisahan yang besar.
PU Riz mengakui pandangannya mungkin tidak mudah diterima semua pihak, terutama apabila melibatkan soal emosi dan keluarga.
Namun baginya, kematian dan perpisahan adalah perkara yang pasti berlaku dan pasangan perlu mempunyai persediaan dari sudut mental serta agama.
“Jadi perspektif saya mungkin tidak kena dengan selera anda. Tapi kalau suami dan isteri itu sudah pergi, dengan izin ALLAH SWT, cari pasangan yang boleh bawa kita ke syurga seterusnya.
“Mati dan berpisah ini satu benda yang akan berlaku suatu hari nanti. Jadi, kita perlu ada pemikiran dan persediaan,” katanya.
Perkongsian PU Riz itu memberi satu sudut pandang yang cukup mendalam tentang kehidupan berumah tangga. Mencintai pasangan bukan hanya tentang mahu terus bersama selamanya, tetapi juga mendoakan agar insan yang ditinggalkan mampu meneruskan kehidupan dengan baik sekiranya perpisahan lebih dahulu menjadi ketentuan.
Dalam masa sama, persoalan untuk berkahwin semula selepas kehilangan pasangan tentunya merupakan keputusan peribadi yang bergantung kepada keadaan, kesediaan dan pertimbangan setiap individu.
Selagi masih diberi peluang bersama, hargailah pasangan, bina keluarga dengan sebaiknya dan tinggalkan didikan serta amal yang mampu terus memberi manfaat apabila kita sudah tiada.
BACA LAGI : PU Riz Luah Rasa Cinta & Puji Masakan Isteri, Ulang Tahun Neelofa Disambut Romantis
Sumber : SinarPlus