Kerohanian

“Jaga Rezeki, Tinggalkan Syubhah”, Amalan Keluarga Bantu Tengku Umayr Cemerlang Hafaz 30 Juzuk

Share

Rahsia hafazan al-Quran bukan hanya terletak pada kecerdasan seseorang, malah memerlukan disiplin, pengorbanan, doa yang berterusan serta sokongan ibu bapa dan guru. Itulah yang dibuktikan oleh pelajar maahad tahfiz, Tengku Umayr ‘Akef Tengku Asyraf, apabila berjaya menamatkan syahadah ula dengan keputusan mumtaz yang membanggakan.

Remaja berusia 16 tahun itu berjaya memperdengarkan keseluruhan 30 juzuk al-Quran dalam tempoh hanya 15 jam 42 minit dengan markah cemerlang 97.7 peratus.

Ujian yang bermula seawal jam 4.30 pagi itu bukan sesuatu yang mudah kerana calon perlu membaca kesemua 30 juzuk dalam tempoh yang singkat dengan jumlah kesalahan yang sangat minimum.

Malah, Tengku Umayr bukan sahaja mampu melakukan tasmik tanpa terlupa ayat, tetapi turut menyambung baris-baris hujung kalimah dengan tepat di hadapan panel penilai.

Rahsia Hafazan Al-Quran Bermula Dengan Pilihan Menjadi Pelajar Tahfiz

Ibunya, Nasarah Nasr berkata, Tengku Umayr sebelum ini menerima tawaran melanjutkan pelajaran di sebuah sekolah berasrama penuh integrasi.

Namun, sekolah tersebut tidak menawarkan aliran Ulul Albab atau tahfiz. Disebabkan keinginannya untuk menghafal al-Quran, beliau memilih maahad tahfiz.

“Dia kata, ‘Sebab saya nak menghafal al-Quran,’” kongsi Nasarah.

Menurut ibu kepada enam cahaya mata itu, kejayaan anaknya tidak mungkin dicapai tanpa izin Allah SWT serta pengorbanan guru-guru yang sabar mendidik dan membimbing.

“Semuanya dengan izin Allah. Abang Umayr menamatkan syahadah ula dengan keputusan mumtaz hasil usaha guru-guru sekolahnya.

Merekalah yang paling banyak berkorban, mendidik, membimbing dan tidak pernah jemu memimpin anak-anak dengan penuh sabar,” katanya.

Rahsia Hafazan Al-Quran Dengan Kaedah LATU

Antara teknik utama yang diamalkan Tengku Umayr ialah kaedah LATU yang diajar secara tersusun dan sistematik di sekolah.

Melalui kaedah ini, setiap ayat perlu diulang sebanyak 60 kali sebelum berpindah kepada ayat seterusnya. Kaedah tersebut membantu mengukuhkan ingatan selain melatih disiplin yang tinggi.

“Teknik hafazan LATU diajar dengan tersusun dan sistematik. Asasnya perlu mengulang setiap ayat 60 kali disertai disiplin yang tinggi.

Cuti sekolah juga lebih singkat daripada sekolah biasa demi menjaga momentum hafazan,” jelasnya.

Selain pengulangan hafazan, Tengku Umayr turut mengamalkan prinsip taat kepada Allah SWT, menghormati ibu bapa dan guru serta sentiasa menjaga adab dalam kehidupan seharian.

Jaga Rezeki Dan Tinggalkan Perkara Syubhah

Bagi Nasarah dan suami, sumber rezeki serta pemakanan anak-anak menjadi aspek yang amat dititikberatkan.

Mereka memastikan makanan yang diberikan datang daripada sumber halal dan menjauhkan perkara yang meragukan.

“Jaga sumber rezeki dan makanan. Pastikan halal dan tinggalkan yang syubhah,” pesannya.

Beliau turut menjelaskan mereka tidak mengamalkan makanan atau minuman tertentu yang dianggap mampu meningkatkan hafazan.

Sebaliknya, pihak sekolah memberi perhatian terhadap pemakanan pelajar termasuk tidak membenarkan minuman segera tiga dalam satu di maahad tersebut.

Biasakan Anak Lelaki Solat Berjemaah

Selain pemakanan, keluarga ini membiasakan Tengku Umayr menunaikan solat berjemaah di surau bersama bapanya terutama bagi solat Subuh.

“Biasakan anak lelaki ke surau. Abang Umayr akan bersama abi untuk solat Subuh. Jika solat di rumah, maksimumkan solat berjemaah,” katanya.

Bapanya juga sering memilih untuk menunaikan solat Jumaat di masjid tempat anaknya bersolat bagi mengambil peluang bertemu dan bertanya khabar.

Dalam masa sama, hubungan baik dengan guru sentiasa dijaga kerana mereka percaya ibu bapa perlu memberi kepercayaan kepada pendidik yang membimbing anak-anak.

“Tiada guru dan sekolah yang sempurna. Berbincanglah dengan adab dan kasih sayang apabila memerlukan. Sesekali belanja mereka makan pun apa salahnya,” ujarnya.

Penggunaan Telefon Dan Internet Dengan Pemantauan

Nasarah menjelaskan beliau dan suami tidak menghalang penggunaan televisyen serta internet, namun semuanya dilakukan dengan had masa dan pemantauan.

“TV dan internet kami beri, tetapi dengan had masa dan pemantauan. Kami cuba menjaga apa yang masuk ke mata dan hati mereka.

Tiada aksi ganas dan babak tidak soleh seperti adegan cium atau seksi,” katanya.

Beliau mengakui ibu bapa tidak mampu mengawasi anak sepanjang masa. Oleh itu, doa menjadi senjata utama agar Allah SWT sentiasa menjaga mereka.

Ibu Bapa Perlu Terus Belajar Memahami Anak

Menurut Nasarah, ilmu keibubapaan perlu dipelajari sepanjang hayat kerana setiap anak mempunyai karakter yang berbeza.

“Ada anak yang lembut dan ada yang kuat membangkang. Ibu ayah jangan putus asa dan jangan berhenti memahami mereka,” titipnya.

Keluarga tersebut juga memilih kehidupan yang sederhana dan menganggap yuran sekolah sebagai pelaburan ilmu untuk masa depan anak-anak.

Menurutnya, guru-guru di Al-Fateh berkorban jauh lebih besar daripada apa yang diterima sebagai gaji kerana turut menanggung pelbagai keperluan pelajar.

Pernah Diuji Asma Sejak Bayi

Di sebalik kejayaan yang diraih, Tengku Umayr pernah mengalami asma sejak berusia empat bulan sehingga kerap dimasukkan ke hospital.

Nasarah percaya ujian tersebut menjadikan anaknya seorang yang tinggi sifat empati terhadap orang lain.

“Abang Umayr seorang yang sangat tinggi sifat empatinya. Mungkin Allah mendidiknya selepas sering diuji asma sejak usia empat bulan. Alhamdulillah, kini dia sihat,” katanya.

Semoga pencapaian Tengku Umayr menjadi inspirasi kepada lebih ramai ibu bapa dan pelajar untuk mencintai al-Quran serta berusaha menghafalnya dengan penuh kesabaran, keikhlasan dan tawakal kepada Allah SWT.

BACA LAGI : Tengku Umayr Akef Cipta Sejarah Raih Syahadah Ula Dengan Hafazan 30 Juzuk Dalam 15 Jam

Sumber : Sinar Plus