“Saya Wanita Tulen.” Warga Emas Kongsi Kisah Wajah Tumbuh Misai & Janggut Sejak 40 Tahun Lepas,Terpaksa Kerap Bercukur!

Share

Setiap orang ujiannya berbeza-beza. Ada orang diuji masalah kesihatan, ada juga masalah kewangan dan tak kurang yang diuji masalah anak. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Demikian juga dengan warga emas dari Negeri Cik Siti Wan Kembang ini. Sejak 40 tahun lalu, dia terpaksa menanggung derita wajah ditumbuhi janggut dan misai seperti orang lelaki.

Lebih memburukkan keadaan, Che Halimah Che Mood, 62, yang diserang angin ahmar sejak lapan tahun lalu mengakui hidupnya dibelenggu masalah itu sejak di usia awal 20-an menyebabkan dia perlu mencukur dua atau tiga kali seminggu agar kelihatan seperti wanita biasa.

Dia yang pernah menempuh kegagalan rumah tangga sebanyak dua kali berkata, sudah berjumpa doktor untuk mengetahui punca masalah dan disahkan mempunyai kadar hormon testosteron yang tinggi.

“Selama berpuluh-puluh tahun saya perlu bercukur agar tidak dipandang aneh oleh orang sekeliling. Namun, kini keadaan semakin teruk apabila saya diserang angin ahmar menyebabkan lumpuh separuh badan sebelah kiri.

“Saya tidak mempunyai anak untuk menumpang kasih. Nasib baik adik, Mohammad Kamaruddin Abdullah, 42, dan isterinya, Nur Asmira Che Hussin, 36, sanggup menjaga segala makan dan minum saya serta ibu yang sudah tua, Kalsom Mamat, 93.

“Malah, misai dan janggut saya ini, Nur Asmira yang selalu bantu mencukur dua atau sekali seminggu agar tidak tumbuh panjang seperti lelaki,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Batu Karang, di sini, semalam.

Che Halimah dikunjungi wakil Yayasan Raja Shamri (YRS), Tuan Zaimah Raja Omar yang menyampaikan sumbangan kewangan, barangan keperluan, serta lampin pakai buang.

Menurutnya, dia mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan yang mana biasa digunakan untuk membeli keperluan lampin pakai buang dengan kos RM250 sebulan.

“Ketika masih sihat dan kuat, saya banyak merantau mencari rezeki termasuk beberapa tahun bekerja di Singapura sebagai tukang masak restoran di sana. Sebolehnya, saya tidak mahu menyusahkan orang sekeliling, tetapi apakan daya saya diuji dengan hanya kini mampu terbaring saja jika tidak dibantu.

“Sebelum ini, saya tidak terbuka untuk memberitahu orang lain mengenai masalah saya kecuali dengan keluarga terdekat kerana ia membuatkan saya kurang keyakinan diri,” katanya.

Sumber: Harian Metro

ARTIKEL MENARIK: “Rasa Janggal Sangat, Dulu Sarah & Bibik Urus.” Shuib Persiap Diri Jaga Anak, Ramai Tawar Diri Jadi Ibu Susuan Ayash!


Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club

Bersempena Bulan Kemerdekaan, KELUARGA ada hadiah wang tunai RM300! Cara nak dapatkannya mudah sahaja, ayuh sertai Pertandingan Berbalas Pantun Anak Merdeka dengan mendaftar di https://toko.ideaktiv.com/product/pertandingan-berbalas-pantun/   atau Whatsapp di http://www.wasap.my/60169647520

IKLAN