
Scha Alyahya
Melihat kemesraan pasangan selebriti Scha Alyahya dan Awal Ashaari, ramai yang menganggap rumah tangga mereka sentiasa indah tanpa sebarang cabaran. Namun hakikatnya, seperti pasangan suami isteri lain, perjalanan perkahwinan mereka juga ada pasang surutnya.
Bagi Scha atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Mahadzir, pengalaman melayari alam rumah tangga selama 14 tahun banyak mengajarnya tentang erti saling memahami, menerima kekurangan dan terus menyesuaikan diri dengan perubahan pasangan.
Menurut Scha, jika dahulu dia percaya komunikasi adalah jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah, kini pandangannya sedikit berubah. Bukan komunikasi itu tidak penting, tetapi selepas bertahun-tahun bersama Awal, dia mula sedar bahawa memahami keperluan emosi pasangan juga sama penting.
“Kalau dulu orang tanya macam mana saya dan Awal selesaikan masalah, saya akan cakap komunikasi.
“Dulu saya akan terus berdepan dan ajak berbincang. Tapi bila sudah lama bersama Awal, saya faham itu bukan cara yang dia perlukan.
“Dia lebih suka menyendiri dahulu untuk tenangkan diri.
“Jadi saya belajar untuk tunggu dan beri ruang kepada dia. Kadang-kadang saya sendiri pelik macam mana saya boleh ubah pendirian,” katanya.
Scha Alyahya berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis eksklusif memperkenalkan karya arahan Syed Fariz berjudul 5 Bomoh di Hemisfera Luxury Sky Hall, Menara Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, pelakon drama Awan Dania itu berkata, dalam rumah tangga, komunikasi sahaja tidak mencukupi sekiranya suami isteri tidak benar-benar memahami apa yang diperlukan oleh pasangan masing-masing.
“Saya jenis suka bercakap supaya tidak simpan benda yang bukan-bukan. Tapi bila sudah lama bersama, saya sedar ia bukan soal komunikasi semata-mata, sebaliknya pemahaman.
“Kalau kita berkomunikasi tetapi tidak faham apa pasangan perlukan, ia tetap tidak membantu. Jadi lebih penting untuk kita memahami kehendak dan emosi pasangan,” ujarnya.
Bagi Scha, tempoh perkahwinan yang panjang bukan bermakna seseorang itu sudah mengenali pasangan sepenuhnya. Sebaliknya, suami isteri tetap perlu terus belajar kerana manusia boleh berubah mengikut masa, keadaan dan fasa kehidupan.
“Itu sebab saya tulis kami masih ‘fighting’. Tidak ada rumah tangga yang sentiasa indah, pasti ada turun naiknya.
“Kadang-kadang kita rasa sudah kenal pasangan sepenuhnya, tapi sebenarnya tidak kerana manusia berubah setiap hari dan setiap tahun.
“Jadi kita kena belajar menyesuaikan diri dengan perubahan itu. Kalau tidak faham, kena bertanya dan jangan pendam,” katanya lagi.
Perkongsian Scha Alyahya ini cukup dekat dengan realiti kehidupan berumah tangga. Ada pasangan yang lebih selesa menyelesaikan masalah dengan berbincang segera, namun ada juga yang memerlukan masa untuk bertenang sebelum mampu bercakap dengan lebih baik.
Dalam hal ini, sikap memberi ruang bukan bermaksud menjauhkan diri, tetapi satu bentuk kasih sayang apabila seseorang itu cuba memahami cara pasangan menguruskan emosi.
Bagi suami isteri, setiap konflik tidak seharusnya dilihat sebagai tanda hubungan semakin renggang. Sebaliknya, ia boleh menjadi peluang untuk lebih mengenali pasangan, memperbaiki komunikasi dan menguatkan lagi ikatan yang dibina.
Tidak dinafikan, rumah tangga yang bahagia bukan terbina hanya dengan cinta semata-mata. Ia memerlukan kesabaran, tolak ansur, rasa hormat dan keinginan untuk terus memilih pasangan yang sama setiap hari.
Apa yang dikongsikan Scha menjadi peringatan bahawa perkahwinan adalah satu proses pembelajaran yang tidak pernah berhenti. Walaupun sudah bertahun-tahun bersama, tetap ada perkara baharu tentang pasangan yang perlu difahami.
Terdahulu, Scha dan Awal meraikan ulang tahun perkahwinan ke-14 selepas mendirikan rumah tangga pada 4 Mei 2012. Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata perempuan, Lara Alana dan Lila Amina.
Semoga perkongsian Scha Alyahya ini menjadi inspirasi buat pasangan suami isteri di luar sana. Tiada rumah tangga yang sempurna sepanjang masa, namun selagi ada usaha untuk memahami, bertolak ansur dan tidak mudah berputus asa, insya-Allah hubungan yang dibina akan terus kuat menempuh pasang surut kehidupan.
BACA LAGI : Scha Al Yahya Akui Diri Tegas, Mahu Anak Cemerlang Dalam Pelajaran!
Sumber : Oh Bulan