
Sheikh Muszaphar sekali lagi menjadi perhatian apabila berkongsi kisah membesarkan anak-anaknya yang memberi inspirasi kepada ramai ibu bapa. Cara didikan angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor bersama isterinya, Datin Dr Halina Yunos terhadap tujuh cahaya mata mereka sering dipuji kerana menitikberatkan keseimbangan akademik, sahsiah dan perkembangan emosi setiap anak.
Terbaharu, Dr Sheikh Muszaphar berkongsi khabar gembira apabila anak kembar lelakinya, Sheikh Adam dan Sheikh Noah berjaya meraih pingat perak dalam pertandingan Olympia Mathematics Competition 2026.
Di sebalik rasa bangga dengan pencapaian itu, beliau turut berkongsi realiti sebenar membesarkan anak kembar yang mempunyai potensi, personaliti dan kadar perkembangan yang berbeza.
Menurut Dr Sheikh Muszaphar, meskipun Adam dan Noah dilahirkan sebagai pasangan kembar, pencapaian kedua-duanya tidak sentiasa berada pada tahap yang sama.
“Adam sentiasa di depan Noah dalam segala-galanya. Sama ada dalam sukan mahupun akademik. Adam terlalu ke depan, meninggalkan Noah di belakang,” tulisnya.
Beliau turut berkongsi beberapa contoh perbezaan pencapaian mereka, termasuk kedudukan di dalam kelas serta kutipan pingat dalam acara sukan.
“Adam sentiasa nombor satu di dalam kelas, Noah pula akan dapat nombor dua atau tiga. Adam akan bawa pulang lima pingat dalam pertandingan renang, manakala Noah mendapat satu pingat.
“Untuk acara merentas desa pula, Adam di kedudukan nombor dua dan Noah nombor lapan,” kongsinya.
Sebagai bapa kepada dua pasang anak kembar, Dr Sheikh Muszaphar mengakui bukan mudah untuk memastikan setiap anak berkembang pada tahap yang seimbang.
Baginya, perkara itu menjadi antara cabaran terbesar dalam membesarkan anak kembar kerana setiap daripada mereka mempunyai kelebihan, kekuatan dan tempoh perkembangan yang tersendiri.
“Inilah cabaran saya dalam membesarkan anak kembar. Untuk memastikan mereka berada pada tahap yang sama.
“Untuk jadikan mereka sama rata. Berada di halaman yang sama dalam pencapaian mereka,” luahnya.
Walaupun menyedari wujud jurang antara Adam dan Noah, beliau tidak pernah memandang rendah kemampuan salah seorang daripada mereka.
Sebaliknya, Dr Sheikh Muszaphar menyifatkan Noah sebagai seorang yang memerlukan sedikit masa untuk berkembang sebelum benar-benar menyerlah.
“Dia seorang yang ‘slow starter’. Dia memerlukan lebih masa dan saya percaya dia mampu. Tidak lama lagi dia akan memotong Adam,” katanya.
Apa yang paling membanggakan, perbezaan pencapaian itu tidak pernah menjejaskan hubungan erat Adam dan Noah sebagai adik-beradik.
Mereka tetap melakukan pelbagai perkara bersama, saling membantu, menyokong dan bersaing secara sihat dalam setiap aspek kehidupan.
“Sejujurnya saya sangat bangga dengan kedua-dua mereka. Melakukan semua perkara bersama-sama dan saling menyokong antara satu sama lain. Saling menyayangi dan bersaing dengan cara sihat,” titipnya.
Adam dan Noah yang kini berusia sembilan tahun sebelum ini turut mencuri perhatian apabila masing-masing menerima pengiktirafan dalam Singapore and Asian Schools Math Olympiad (SASMO) 2026.
Adam juga berjaya meraih Kumon Award selepas berada lima tahun lebih awal daripada tahap pembelajarannya dalam subjek Matematik, manakala Noah pula empat tahun ke hadapan.
Sekadar info, Adam dan Noah merupakan anak ketiga serta keempat Dr Sheikh Muszaphar dan Dr Halina.
Pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 10 Oktober 2010 itu turut dikurniakan sepasang lagi anak kembar, Sheikh Eusoff dan Sophea Emelia yang kini berusia lima tahun.
Perkongsian ini turut mengingatkan bahawa kejayaan bukan sekadar diukur melalui pencapaian akademik atau bilangan pingat, tetapi juga melalui keyakinan diri, usaha berterusan dan hubungan kekeluargaan yang kukuh. Nilai sokongan, kasih sayang dan kesabaran yang diterapkan oleh ibu bapa menjadi asas penting dalam membentuk anak-anak yang berdaya saing serta mempunyai sahsiah yang baik.
BACA LAGI : Dr Sheikh Muszaphar Kongsi Cara Didik Anak Berjaya Dengan Harapan Tinggi Yang Inspiratif