
Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin terus mencatat pencapaian membanggakan apabila beliau menerima Ijazah Kehormat Sarjana Seni Kreatif dan Media (Honoris Causa) daripada Sunway University.
Pengiktirafan berprestij itu dianugerahkan menerusi Fakulti Seni dan Sains Sosial universiti berkenaan sebagai menghargai sumbangan besar penyanyi tersohor tersebut dalam bidang seni, media dan industri kreatif negara.
Sunway University menerusi satu hantaran di Instagram merakamkan ucapan tahniah kepada Siti Nurhaliza atas penganugerahan tersebut.
“Tahniah diucapkan kepada Dato’ Sri Siti Nurhaliza Tarudin atas penganugerahan Ijazah Kehormat Sarjana Seni Kreatif dan Media (Honoris Causa) daripada Fakulti Seni dan Sains Sosial, Sunway University.
“Pengiktirafan ini diberikan atas sumbangan luar biasa serta perjalanan inspiratif beliau dalam bidang seni dan industri kreatif,” menurut kenyataan itu.
Sepanjang lebih tiga dekad berada dalam industri hiburan, Siti Nurhaliza bukan sahaja dikenali menerusi kehebatan vokal dan deretan lagu popular, malah menjadi antara figura seni yang banyak memberi inspirasi kepada masyarakat.
Kejayaan beliau membina nama dalam industri seni tempatan dan antarabangsa membuktikan bahawa usaha berterusan, disiplin serta kesungguhan mampu membawa seseorang melangkah lebih jauh.
Penganugerahan tersebut turut menjadi pengiktirafan terhadap pengaruh dan sumbangan beliau dalam memperkasa bidang seni, media serta kreativiti yang terus berkembang seiring perubahan semasa.
Perjalanan seni Siti Nurhaliza juga menjadi contoh kepada generasi muda supaya berani mengejar impian, berusaha meningkatkan potensi diri dan tidak mudah berputus asa ketika berdepan cabaran.