
Sejak bergelar ibu, Siti Saleha kini memilih untuk memperlahankan langkah dalam dunia lakonan demi memberi tumpuan sepenuhnya kepada anak sulungnya, Indra Mateen Fitton. Keputusan itu dibuat kerana beliau tidak mahu terlepas setiap detik berharga sepanjang fasa awal pembesaran cahaya matanya yang sedang melalui proses penyusuan dan perkembangan penting.
Menurut Siti Saleha, 36, pengalaman menjadi ibu buat kali pertama memberikan perspektif baharu dalam kehidupannya. Baginya, tiada perkara yang lebih penting ketika ini selain berada di sisi anak yang sedang membesar.
“Saya pertama kali jadi ibu. Kena fikir kalau nak mula penggambaran, kena berhenti menyusu.
“Tawaran memang ada, tapi saya tak nak terlepas perkembangan anak. Setiap hari berbeza, saya nak ada di situ untuk anak,” katanya.
Walaupun masih menerima pelbagai tawaran lakonan, beliau memilih untuk menangguhkan sementara komitmen kerja agar dapat menikmati sepenuhnya pengalaman bergelar ibu.
Pelakon popular menerusi drama 7 Hari Mencintaiku itu mengakui kehidupannya kini jauh berbeza berbanding sebelum ini. Namun, setiap cabaran yang dilalui dianggap sebagai pengalaman yang sangat bermakna.
“Saya seronok jadi ibu. Memang sangat berbeza, tapi ada susah dan senang dalam masa sama.
“Kalau tidak, dia dengan pengasuh dan suami saya. Saya tak akan biarkan, nanti perkataan pertama dia ‘daddy’, tidak,” katanya sambil berseloroh.
Walaupun memilih untuk berehat buat sementara waktu, Siti Saleha menjelaskan beliau tidak pernah berniat meninggalkan dunia lakonan sepenuhnya.
Katanya, sekiranya menerima naskhah yang benar-benar menarik dan sesuai dengan dirinya, beliau bersedia untuk kembali ke set penggambaran dalam masa terdekat.
“Kalau boleh nak ‘hold on’ dulu, tapi terpulang juga. Sekarang rasa macam nak mula penggambaran balik.
“Kalau ada drama menarik, mungkin mula berlakon balik. Saya dah ada perasaan begitu. Dalam beberapa bulan lagi, tengoklah,” ujarnya.
Dalam masa sama, Siti Saleha turut berkongsi perkembangan terkini anak lelakinya yang kini semakin aktif dan menunjukkan pelbagai perubahan positif.
Menurutnya, Indra Mateen merupakan seorang bayi yang tenang serta tidak banyak ragam, sekali gus memudahkan urusan harian mereka sekeluarga.
“Semua nak masuk mulut sekarang. Dia dah boleh minum daripada penyedut minuman dan mula makan.
“Dia banyak membebel, bercakap dan saya rasa dia dah mula bangun serta guna kaki.
“Saya rasa mungkin dia akan berjalan sebelum merangkak. Anak saya sangat tenang, kalau saya pergi kerja dia tak menangis. Tak cerewet sangat,” katanya.
Beliau turut meluahkan rasa syukur kerana dapat menyaksikan sendiri setiap perkembangan anaknya yang semakin membesar dari hari ke hari.
Untuk rekod, Siti Saleha selamat melahirkan anak sulungnya, Indra Mateen Fitton, pada 3 Januari lalu sebelum berkongsi wajah si comel kepada umum pada Februari.
Terdahulu, beliau mendirikan rumah tangga bersama pereka fesyen, Joshua Fitton, pada 15 Februari 2025.
Dalam perkembangan lain, Siti Saleha turut menjadi salah seorang artis undangan dalam Siri Travelog Hotlink: Geng Bijak Berbajet yang dihoskan oleh Kamal Adli dan bakal menemui penonton bermula 29 Julai di TV3.
BACA LAGI : Siti Saleha Sahkan Hamil Anak Sulung