Tak Perlu Kaya Dan Romantik, Cukuplah Jujur Serta Setia. Deep Perkongsian Ini

Share

Kasih sayang tidak mestinya diluahkan setiap masa tetapi dengan layanan yang baik dan kebahagian yang diberi itu lambang cinta abadi. Tidak perlu kaya dan romantik, cukuplah jujur dan keikhlas hati untuk bahagia till jannah.

Sebagaimana yang dikongsikan oleh wanita ini, Zalina Yahaya mengenai cara bapanya santuni isteri dan anak-anaknya.

Arwah bapak sayang arwah mak. Kami tahu. Kami sangat faham.

Tetapi dengan cara dia yang tersendiri. Cara kebanyakan lelaki Melayu.

Tak perlu diucapkan – Yang penting aku sayang kau. Tak perlu nak menunjuk.

Tak pernah sekali pun dalam sedar kami, arwah bapak belikan bunga atau hadiah untuk hari jadi atau ulangtahun perkahwinan.

Yang kami ingat kalau ada duit lebih bapak akan bawa kami makan luar.

Bukan makan mewah2 pun. Paling hebat meehoon hailam dan laicheekang dan kadang-kadang tengok wayang kungfu cina. Genre kegemaran bapak.

Atau sekali sekala kalau rezeki lebih lagi, bapak akan bawa kami makan pasembor di kedai mamak dalam bilik makan yang ada aircond. Kami rasa sungguh kaya ketika tu sebab dapat makan di tempat sejuk. Walaupun hanya makan pasembor dan milo ais.

Apa yang bapak buat tu walaupun kecil, Mak nampak sangat gembira. Mungkin sebab kami sekeluarga dapat bersama. Kegembiraan kami adalah kegembiraan mak walaupun hakikatnya mungkin itu hadiah istimewa bapak untuk mak.

Kami juga tahu arwah bapak sayang mak sangat2 selepas arwah mak pergi lebih awal dari dia.

Walaupun bapak cuba menyakinkan kami dia Ok selepas mak tiada, kami tahu bapak ‘menderita’ dan sangat merindui mak.

Cincin kahwin mak tak penah lekang di jari kelingking bapak.

Arwah bapak sayang mak dengan cara dia yang tersendiri yang kalau ditafsirkan pada zaman budak2 sekarang tak romantik langsung. Teruk. Kayu.

Manifestasi sayang generasi sekarang adalah hadiah candle light dinner pada hari ulang tahun perkahwinan.

Hadiah bunga dan chocolate pada hari jadi. Bukti kasih sayang generasi sekarang perlu dimeterialkan. Lagi besar nilai material berkenaan, lagi besar nilai kasih sayang.

Dan apabila ada artis yang hadiahkan percutian ke London dengan tiket penerbangan bisnes class sebagai tanda ucapan terima kasih kepada isteri yang melahirkan anak sulung, beratus ribu like diterima dari nitizen.

Tak kurang yang tag suami masing2. Perlukah…? Saya rasa kita wanita perlu lebih rasional dalam hal-hal sebegini.

Saya tak salahkan Haniszalikha sebab memuatnaikkan kegembiraan dia sekeluarga bercuti di London. Saya sendiri suka tengok keluarga bahagia ni. Suami kacak, isteri cantik, anak cantik dan kaya!

Tetapi bila kita melihat kebahagian dan rezeki orang lain sebagai satu ‘hukuman’ pada kita yang tidak mampu sekalipun bercuti dengan suami, itu sudah tidak kena.

Lebih tidak kena lagi apa bila kita tag nama pasangan kita. Mungkin anda anggap sebagai gurauan suamin isteri, tetapi gurauan ini pastinya menggores perasaan pasangan anda yang selepas 3 hari gaji masuk dah tidak berbaki lagi duit yang ada.

Jangan salah faham. Saya bukan nak membela kaum lelaki melayu yang kayu dan tak romantik. Tetapi saya rasa kita perlu lebih rasional.

Kebahagian rumah tangga dan tingginya kasih sayang suami bukan diukur pada berapa karat berlian yang dia bagi.

Jangan terlalu materialistik kawan2. Dalam zaman sekarang yang mana mencari lelaki baik sesukar mencari gulau enau yang 100% asli, kalau dapat suami yang sanggup teman kita ke pasar pun dah cukup bertuah.

Dalam kita mengeluh suami tak bawa kita makan angin, kawan kita mungkin tengah berperang dengan penderaan emosi dan mental sebab suami bermain kayu tiga.

Belajar bersyukur. Betul…cakap senang dari nak buat. Mulut kata syukur dan redho tapi hati penuh sengketa.

Tapi, tenangkah kalau sepanjang masa kita hidup dengan pasangan, yang kita ungkitkan ialah apa yang dia tak bagi berbanding dengan apa yang dia dah bagi?

Semoga kita muhasabah diri menjadi isteri yang memberikan kebahagian buat suami.

 

 

IKLAN