Datin Seri Rosmah Mansor kecewa, sedih dan terluka dengan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berhubung projek solar hibrid bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Bagaimanapun isteri bekas Perdana Menteri itu menghormati keputusan yang dibuat dan beranggapan mahu tinggalkan mahkamah dengan kenangan yang manis.

“Saya tak pernah ambil wang walau satu sen, tolonglah kasihan pada saya, jika ia boleh berlaku kepada saya, ia boleh terjadi kepada setiap anak cucu anda,” katanya ketika diberi peluang untuk merayu agar hukuman diringankan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Rosmah berkata, sepanjang hidup, beliau tidak pernah mempunyai niat untuk meminta atau menerima rasuah.

Menurutnya, Yayasan Permata mempunyai dana sebanyak RM45 juta dan beliau tidak pernah sekali pun mengusik peruntukan tersebut.

Bukan itu sahaja, beliau yang juga pengasas yayasan itu berkata, tiada saksi yang nampak beliau mengambil mahu pun mengira wang tersebut.

“Tak Pernah Ambil Wang Walau Satu Sen, Tolong Kasihan Pada Saya” Rosmah Mansor

IKLAN

“Saya serah segalanya kepada ALLAH, siapa yang betul dan siapa salah, lambat laun akan diketahui juga.

“Saya harap Yang Arif (Mohamed Zaini) dapat mempertimbangkan dan menganggap saya sebagai seorang wanita yang menjalankan tanggungjawab sebagai lelaki di dalam rumah,” katanya.

Sementara itu, Hakim Mohamed Zaini dalam penghakiman ringkasnya berkata pembelaan yang dikemukakan oleh Rosmah adalah penafian kosong semata-mata.

“Mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap ketiga-tuduhan terhadap Rosmah.

“Selepas menjalankan penilaian maksimum, mahkamah mendapati tertuduh gagal untuk menyangkal pertuduhan rasuah yang dibuat mengikut Seksyen 50 (1) Akta SPRM.

IKLAN

“Pembelaan yang dikemukakan oleh tertuduh adalah penafian semata-mata. Ia dibuat tanpa bukti yang boleh dipercayai dan tidak berasas untuk menimbulkan keraguan yang munasabah,” katanya.

Pada 15 November 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas dua tuduhan meminta rasuah wang tunai RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Lygon Bistro, G-24, Ground Floor, Sunway Putra Mall, 100, Jalan Putra, Chow Kit dekat sini antara Mac dan April 2016.

IKLAN

Beliau didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Pada 10 April 2019, Rosmah sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek sama di tempat yang sama di Jalan Langgak Duta.

Kesemua kes itu diperintahkan untuk dibicarakan bersama di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan perbicaraan bermula pada 5 Februari 2020.

Sumber : Sinar Harian, Harian Metro

Dapatkan Telaga Biru Pakej Kenal Jawi Kenal Al Quran Set dengan kos diskaun RM5, dengan menggunakan  kod KELGST5 di sini

 

Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI