Tempe Homemade. Putih Bersih & Nampak Gebu Kejadiannya!

Share

Tempe enak dimasak dengan pelbagai menu, sama ada digoreng, dimasak sambal, dijadikan bahan tambahan untuk masakan sayuran dan pelbagai lagi menu dapat dihasilkan dengan menggunakan tempe.

Pun begitu, walau ramai yang tahu cara memasak tempe dalam pelbagai citarasa, namun tidak semua antara kita tahu cara atau proses membuat tempe ini.

Diharapkan dengan perkongsian daripada Puan NorAinon Othman ini dapat membantu untuk sesiapa yang ingin mencuba menghasilkan sendiri tempe homemade. Jom semak.


Projek PKPB ~ CARA BUAT TEMPE

Saya tak ada la pakar pun buat tempe. Baru je cuba dan tak sangka eksperimen saya berjaya.

Di sini saya kongsikan cara buat tempe supaya kawan-kawan pun boleh buat sendiri.

Tak perlu minta izin nak share, ambil saja semoga perkongsian ini bermanfaat.

Saya cari maklumat di google dan minta sedikit panduan dari rakan fb yang asyik tayang eksperimen dia buat macam-macam jenis tempe. Intan la tu…

Resipi buat tempe ni saya olah ikut kesesuaian dan kaedah yang memudahkan kerja saya.

Tempe dibuat melalui proses pemeraman dengan ragi tempe. Jadi jangan guna ragi tapai pulak tau…

Antara khasiat tempe ialah mencantikkan kulit dan rahsia awet muda, membantu menurunkan berat badan dan kolestrol.

Saya suka makan tempe goreng cicah sambal kicap, buat sambal goreng jawa atau bahan sampingan dalam sambal terung dan kentang. Boleh juga buat sambal tempe, lontong dan lodeh (kalau rajin).

Bahan-bahan :
1 kilogram kacang soya
* Kalau dapat, beli kacang soya Kanada. Ada jual di pasar raya dan di Shopee
1 sudu besar @ sudu makan ragi tempe
* Boleh beli di Shopee, murah je, boleh guna banyak kali
1 sudu besar cuka makan
Kertas pembungkus makanan

Cara buat:

1. Mula-mula rendam kacang soya semalaman. Kalau nak senang, malam sebelum nak tidur, rendam dulu, tutup dengan tudung saji.
Bilas kacang soya yang sudah kembang dengan air beberapa kali sehingga bersih.

2. Rebus setengah jam dengan api sederhana sehingga menggelegak.


3. Bilas dan ramas-ramas untuk menanggalkan kulit kacang sehingga 70 peratus. Biar kacang pecah terbahagi dua pun tak apa. Ketika proses mengasingkan kulit, biarkan sehingga kacang terendam kerana kulitnya akan terapung sebab ringan.

Kaup dengan penapis dan bilas beberapa kali sehingga bersih. Kulit kacang boleh digunakan sebagai baja untuk tanaman. Nanti tempe dapat, pokok pun kebaboom sebab soya bertindak sebagai booster yang menyuburkan tanaman.

4. Rebus sekali lagi kacang soya sehingga menggelegak. Masukkan 1 sudu besar cuka supaya tempe kita nanti tahan lebih lama.

5. Buang air, bilas hingga bersih.

6. Toskan dan letakkan kacang dalam dulang untuk proses pengeringan. Seeloknya ratakan dalam dulang besar supaya kacang cepat kering. Saya malas nak tunggu lama, jadi saya keringkan di hadapan kipas selama 3 jam sehingga warnanya kekuningan.

Sambil tunggu kacang kering, boleh la buat kerja lain dulu. Boleh juga jemur kacang di bawah sinaran matahari. Pastikan betul-betul kering ye… Kalau tidak, nanti tempe tak jadi.

7. Gaul kacang dengan 1 sudu makan ragi tempe. Saya gaul guna sarung tangan sebab tak mau kacang banyak kena tangan sebab nak buat tempe ni kena pastikan betul-betul bersih. Basuh dulu sarung tangan sehingga kering baru guna.

8. Kemudian boleh la dibungkus ikut saiz dan cita rasa masing-masing. Saya guna kertas pembungkus makanan sebab senang nak dapat.

9. Simpan dalam suhu bilik. Dalam proses pemeraman, kacang akan berpeluh dan kalau kita sentuh, akan rasa panas macam orang demam .


10. Selepas 20 jam, kita boleh lihat hasilnya. Kacang soya sudah berkabut serangkai mawar. Jadilah tempe yang putih mulus dan kacangnya juga sudah lembut dan dah boleh dimakan.

11. Kalau nak tahan lama, tempe yang dah jadi tu bolehlah disimpan dalam peti sejuk supaya proses fermentasi dapat diperlahankan. Kalau tidak, nanti tempe cepat matang dan jadi tempe busuk.

sumber : NorAinon Othman

IKLAN