
Pencapaian pelajar Maahad Tahfiz Al-Fateh, Tengku Umayr Akef, 16, meraih perhatian ramai apabila berjaya mencapai Syahadah Ula, iaitu pengiktirafan tertinggi dalam perjalanan hafazan al-Quran.
Kejayaan membanggakan itu dikongsikan menerusi hantaran rasmi Facebook Maahad Tahfiz Al-Fateh selepas beliau berjaya menamatkan ujian hafazan tahap tertinggi pada 2 Julai lalu.
Lebih mengagumkan, ujian tersebut menyaksikan Tengku Umayr Akef memperdengarkan keseluruhan 30 juzuk al-Quran dalam tempoh sekitar 15 jam 42 minit, bermula seawal jam 4.30 pagi sehingga tamat pada waktu malam.
Hasil ketekunan dan kekuatan hafazannya, beliau berjaya memperoleh keputusan Mumtaz Ma’a Martabat Syarof dengan markah 97.7 peratus, sekali gus mencatat antara pencapaian terbaik di institusi berkenaan.
Menurut salah seorang panel penguji, Ustaz Ahmad Lutfi, momen paling luar biasa berlaku apabila Tengku Umayr Akef memasuki 15 juzuk terakhir. Ketika itu, anak muda tersebut dilihat berada dalam keadaan sangat letih hingga seakan separa sedar, namun bibirnya tetap terus membaca ayat-ayat suci al-Quran.
“Bacaannya apabila masuk ke 15 juzuk kedua sudah masuk ke mod separa sedar tetapi bibirnya tetap kumat-kamit bacaan ayat suci al-Quran.
Yang lebih terharu bacaan dia tiada daripada kami panel enam orang. Tiada yang dia lupa. Semuanya disemak hingga baris-baris hujung dalam kalimah.”
Ujian tersebut disemak oleh enam panel penilai dan beliau berjaya mengekalkan kelancaran bacaan tanpa memerlukan sebarang pembetulan, sesuatu yang amat jarang berlaku dalam ujian hafazan pada tahap ini.
Menurut Ustaz Ahmad Lutfi lagi, kejayaan Tengku Umayr Akef bukan hadir dalam tempoh yang singkat. Di sebalik 15 jam 42 minit tasmik itu, tersimpan bertahun-tahun perjuangan, pengorbanan, latihan serta pengulangan hafazan yang berterusan.
“Di sebalik 15 jam itu, ada bertahun-tahun perjuangan. Perlu mengulang paling minima enam kali khatam setelah tamat 30 juzuk sebelum dia berjaya dalam ujian Syahadah Ula.
Ini realiti sangat banyak pengulangan dan masa yang dihabiskan. Dia penat guru pun sama tapi nak jadi pemimpin nanti mentaliti kena kuat, hati kena cekal dan sabar.”
Dalam temu bual bersama Era FM, Tengku Umayr Akef berkongsi bahawa beliau mula menghafal al-Quran ketika berusia 12 tahun.
Selepas berjaya memperoleh Syahadah Ula, beliau berhasrat untuk mendalami ilmu tadabbur al-Quran selain memberi tumpuan kepada persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Selain memiliki hafazan yang mantap, Tengku Umayr Akef turut dikenali sebagai pelajar yang sentiasa menjaga adab terhadap guru sepanjang 1,260 hari menuntut ilmu di Maahad Tahfiz Al-Fateh.
Beliau juga sering mengingatkan rakan-rakan supaya menjaga hubungan dengan al-Quran dan menjauhi maksiat agar hafazan sentiasa terpelihara serta tidak mudah hilang.
Di sebalik pencapaian luar biasa Tengku Umayr Akef, sokongan ibu bapa dan guru menjadi antara faktor terbesar yang membantu kejayaannya.
Menurut Ustaz Ahmad Lutfi, gabungan bimbingan guru hafazan yang komited, suasana tarbiyah di maahad, mentor yang berpengalaman serta doa dan sokongan keluarga telah membentuk disiplin serta kekuatan mental beliau sepanjang proses menghafal al-Quran.
Syahadah Ula atau Syahadah Ulya ialah pengiktirafan tertinggi dalam sistem penilaian hafazan di beberapa institusi tahfiz.
Untuk mencapai tahap tersebut, pelajar perlu memperdengarkan keseluruhan 30 juzuk al-Quran dalam satu hari di hadapan panel bertauliah. Ujian ini bukan sahaja menguji kekuatan hafazan, malah ketepatan bacaan, kelancaran, fokus, daya tahan mental serta ketahanan fizikal.
Pencapaian Tengku Umayr Akef menjadi bukti bahawa kejayaan besar lahir daripada gabungan usaha yang berterusan, disiplin, adab terhadap guru, doa, sokongan keluarga dan kecekalan hati.
Semoga kisah inspirasi ini menjadi pemangkin kepada lebih ramai pelajar untuk mencintai al-Quran, menjaga hafazan serta terus berusaha menjadi insan yang memberi manfaat kepada agama, keluarga dan masyarakat.
BACA LAGI : Impian Anak Jadi Hafiz 30 Juzuk? AKMAL Tawar Laluan Hafazan Yang Tersusun Dan Berfokus