Tiba-Tiba Rebah Dalam Barisan, Ayah Datang Papah Anak Bantu Berdiri Undang Sebak Orang Ramai!

Share

Kasih ibu bawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa. Tiada ayah mahupun ibu sanggup melihat anaknya dalam kesusahan dan lemah, apatah lagi ketika kesakitan. Itulah situasi yang tular di media sosial hari ini apabila seorang anak tiba-tiba rebah dalam perbarisan dan diangkat oleh ayahnya yang tidak mahu anaknya dilihat sebagai lemah.

Perkongsian asal yang dikongsikan oleh YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi di Facebook milik beliau, merakamkan detik-detik berharga seorang anak melihat kasih ayahnya itu dalam sebuah majlis di padang kawad sempena Hari Penguat Kuasa KPDNHEP di Maktab Penjara Kajang.

Dalam perkongsian tersebut, bait-bait penulisan di ruangan kapsyen YB Dato Seri juga menyentuh hati pengikutnya.

Kasihnya ayah
Berkorban nyawa
Biarlah jiwa
Akan tersiksa
Ikhlas dan rela
Asalkan bahagia

Banyak yang tersirat di sebalik turutan gambar ini. Ketika terkujurnya anak tatkala berkawad, kerana menahan terik mentari, berlari si ayah menerpa dari arah khemah tetamu. Sehingga terlucut selipar yang disarung, namun tidak diendahkan, asalkan beliau berada di sisi anak dalam sekelip mata.

Yang hadir di padang kawad sempena Hari Penguat Kuasa KPDNHEP di Maktab Penjara Kajang, pagi tadi menjadi saksi, betapa kasih agung seorang ayah kepada anaknya. Yang bermain di fikiran ketika terlihat perkara itu, sama ada ayah ingin mengusung anaknya keluar barisan. Ternyata sangkaan sedemikian meleset.

Meskipun badan ayahnya dimamah usia, anaknya dipapah, bingkas dibantu berdiri sambil badan menjengah lebih separuh abad itu menjadi benteng daripada anaknya kembali rebah. Melihatkan pengorbanan tidak terperi seorang ayah, berjurai air mata hadirin membasahi pipi masing-masing. Saya tidak terkecuali.

Kepada mereka yang masih mempunyai insan bergelar ayah – hargai, sayangi dan santunilah selagi hayatnya dikandung badan.

Meninjau di ruangan komen, rata-rata sebak dan menitiskan air mata melihat reaksi ayah ini terhadap anaknya. Malah ramai yang beri nasihat untuk mengingati dan hargai jasa ibu ayah selagi mampu.

Sumber : Alexander Nanta Linggi

Dapatkan Telaga Biru Pakej Kenal Jawi Kenal Al Quran Set dengan kos diskaun RM5, KELGST5 di sini

 

IKLAN