Hiburan

“Hingga Ke Syurga….”, Ucapan Isteri Tomok Sempena Anniversary Ke-15 Buat Ramai Tersentuh

Share

Sempena ulang tahun perkahwinan yang ke-15, isteri kepada penyanyi popular Tomok, Ayu Abas mencuri perhatian ramai apabila menitipkan ucapan penuh makna buat suami tercinta di media sosial.

Lebih bermakna, ulang tahun perkahwinan pasangan ini diraikan selepas mereka selamat pulang ke tanah air usai menunaikan ibadah haji di Tanah Suci. Momen istimewa itu menjadikan ucapan yang dikongsikan Ayu lebih menyentuh hati apabila diselitkan doa agar rumah tangga yang dibina terus dilimpahi kasih sayang dan berakhir dengan syurga.

Menerusi hantaran di Instagram, Ayu atau nama penuhnya Rahayu Abas meluahkan rasa syukur atas setiap nikmat, ujian dan pengalaman yang telah mematangkan hubungan mereka sepanjang lebih sedekad bergelar suami isteri.

Tomok & Ayu Sambut Ulang Tahun Perkahwinan Ke-15 Dengan Penuh Kesyukuran

Bagi Ayu, perjalanan selama 15 tahun bukanlah sesuatu yang singkat. Namun setiap kenangan yang dilalui bersama Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail menjadi memori yang amat berharga dalam kehidupan mereka.

“Selamat ulang tahun perkahwinan yang ke-15 + 8 (uninclude). It was a long journey, but we made it together. Every moment was worth it. Dan masih panjang lagi perjalanan dan langkah kita bersama,” tulisnya.

Ucapan tersebut mencerminkan rasa syukur seorang isteri yang menghargai setiap fasa kehidupan bersama suami, sama ada ketika melalui saat bahagia mahupun cabaran yang menguji hubungan mereka.

Doa Hingga Ke Syurga Menyentuh Hati

Dalam hantaran sama, Ayu turut berkongsi sepotong ayat al-Quran daripada Surah Ar-Rum ayat 21 yang menceritakan tentang kasih sayang yang dikurniakan Allah SWT kepada pasangan suami isteri.

“Dan Dia menjadikan di antara kamu rasa kasih dan sayang.” (Surah Ar-Rum: 21)

“Alhamdulillah atas setiap nikmat yang ALLAH berikan. Terima kasih kerana sentiasa ada dalam setiap suka dan duka….

“Semoga ALLAH sentiasa melimpahkan rasa kasih dan sayang serta kebahagiaan yang berpanjangan dan menjadikan setiap langkah yang kita lalui bersama sebagai jalan menuju reda-NYA. Buat kita bersama anak-anak. Hingga ke syurga, Ayu sayang Shah,” titipnya.

Tomok & Ayu Sambut Ulang Tahun Perkahwinan Ke-15, Netizen Turut Tersentuh

Perkongsian tersebut dibanjiri pelbagai ucapan tahniah daripada peminat dan rakan-rakan artis yang turut mendoakan kebahagiaan pasangan ini.

Rata-rata warganet berharap agar rumah tangga Tomok dan Ayu terus kekal harmoni, dipenuhi kasih sayang serta sentiasa berada dalam rahmat Allah SWT.

Selain itu, ramai juga yang tertarik dengan panggilan istimewa “Shah” yang digunakan Ayu ketika menyapa suaminya. Bagi mereka, panggilan tersebut cukup manis dan menggambarkan hubungan yang akrab walaupun sudah 15 tahun melayari alam perkahwinan.

15 Tahun Membina Keluarga Bahagia

Untuk rekod, Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail, 42, mendirikan rumah tangga bersama Ayu, 47, pada 2 Julai 2011.

Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu dua anak lelaki, Arrianshah Akid, 13, dan Andrashah Iman, 10, serta seorang anak perempuan, Siti Khadijah, 6.

Sepanjang bergelar suami isteri, pasangan ini sering menjadi perhatian kerana kehidupan keluarga mereka yang sederhana, harmoni dan jauh daripada kontroversi.

Semoga ulang tahun perkahwinan ke-15 ini menjadi permulaan kepada lebih banyak kebahagiaan buat Tomok dan Ayu, dikurniakan kesihatan, keberkatan serta kasih sayang yang berkekalan bersama anak-anak hingga ke syurga.

BACA LAGI : Tomok Kongsi Detik Sweet, Anak-Anak Hantar Daddy Pergi ‘Sekolah’