Berita

“Daddy Balik Kan Esok?” Luahan Anak Juruterbang Tragedi Helikopter Long Lellang

Share

“Mommy, daddy balik kan esok? Sofia rindu daddy. Kenapa orang ramai dengan kita.”

Luahan polos seorang anak kecil itu cukup meruntun hati di sebalik tragedi helikopter Long Lellang yang meragut lima nyawa.

Dalam usia yang masih belum mengerti sepenuhnya erti kehilangan, Sofia masih berharap ayah kesayangannya akan pulang seperti biasa.

Kata-kata tersebut dikongsikan oleh Izzati Syamimi, isteri kepada juruterbang Kapten Zainol Afiq, menerusi platform Threads selepas menerima berita suaminya antara lima individu yang disahkan meninggal dunia dalam kejadian helikopter terhempas di STOLport Long Lellang, Sarawak.

Menjawab pertanyaan anaknya, Izzati cuba menguatkan hati biarpun dirinya sendiri sedang melalui detik paling sukar.

“Sofia, mommy daddy sayang Sofia. Mommy pun masih berharap yang daddy akan balik. Kita kena kuat. Anak-anak mommy semua kuat.”

“Tak Pernah I Rasa Sesakit Ni” Selepas Tragedi Helikopter Long Lellang

Sebelum itu, ibu kepada dua cahaya mata berkenaan turut memuat naik beberapa hantaran meminta orang ramai mendoakan agar segala urusan keluarganya dipermudahkan.

“Doakan saya dan anak-anak. Doakan suami syurga saya. Tak pernah i rasa sesakit ni,” luahnya.

Hantaran tersebut turut disertakan dengan tangkap layar yang menunjukkan lokasi terakhir suaminya.

Dalam hantaran terbaharu, Izzati turut memohon agar pihak media memberikan ruang kepadanya dan keluarga untuk menghadapi saat sukar tersebut.

Di sebalik kesedihan yang sedang ditanggung, seorang ibu kini perlu mengumpul seluruh kekuatan untuk terus bertahan demi dua anak yang masih memerlukan dirinya.

Lima Individu Disahkan Maut

Dalam kejadian petang semalam, helikopter jenis BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang dilaporkan terhempas berhampiran landasan STOLport Long Lellang di Ulu Baram.

Helikopter tersebut sedang mengendalikan penerbangan Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) ke kawasan pedalaman Sarawak.

Mangsa yang disahkan maut ialah pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamaruddin, juruterbang Kapten Zainol Afiq, penolong pegawai perubatan Alexson Adit serta dua jururawat, Debra Moset dan Jessie Paya.

Pemergian kesemua mangsa cukup menyentuh hati kerana mereka berada dalam misi memberikan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman.

Tragedi helikopter Long Lellang itu bukan sahaja meninggalkan kesedihan kepada keluarga mangsa, malah turut menyentuh hati masyarakat yang mengikuti perkembangan kejadian berkenaan.

Operasi SAR Tragedi Helikopter Long Lellang Digerakkan

Bantuan udara dari Pangkalan Udara PDRM Kuching tidak dapat digerakkan pada hari kejadian berikutan keadaan cuaca berjerebu selain tidak mendapat kebenaran terbang daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Lebih 20 anggota daripada pelbagai agensi termasuk 12 anggota bomba kemudiannya digerakkan bagi operasi mencari dan menyelamat.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Marudi, Penolong Penguasa Bomba Jessbent Jenus, pasukan berkenaan dijadualkan menggunakan helikopter JBPM jenis Mi-171 ke lokasi kejadian.

Perjalanan darat dari Marudi ke kawasan tersebut pula dianggarkan mengambil masa kira-kira 10 jam.

Rindu Anak Yang Sukar Digambarkan

Di sebalik segala perkembangan operasi dan tragedi helikopter Long Lellang itu, luahan Sofia yang masih menanti kepulangan ayahnya terus menyentuh hati ramai.

Bagi seorang anak kecil, mungkin daddy hanya sedang bekerja jauh dan akan pulang seperti biasa. Namun bagi seorang ibu yang mengetahui hakikat sebenar, soalan “Daddy balik kan esok?” tentunya cukup berat untuk dijawab.

Semoga Izzati dan anak-anak diberikan kekuatan serta ketabahan menghadapi kehilangan ini.

Salam takziah buat seluruh keluarga mangsa. Al-Fatihah.

BACA SINI : “Adik Sayang Mama Sangat” Ibu Juruterbang Nahas Pesawat Sebak Kongsi Perbualan Terakhir Dengan Anak

Sumber : Harian Metro