
Siapa yang tidak luluh hati apabila insan yang dinanti-nanti pulang ke pangkuan keluarga akhirnya pergi buat selama-lamanya.
Tanggal 1 Jun ini sepatutnya menjadi hari yang cukup bermakna buat Nurkhaeryna Dhania Azreen Khairil Azri. Tarikh itu dinanti penuh rindu kerana suami tercinta, Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustaman, 28, dijadualkan pulang ke rumah mereka di Bukit Setongkol, Kuantan selepas bertugas di pelantar minyak.
Namun, takdir Allah SWT mengatasi segala perancangan manusia. Arwah suaminya disahkan meninggal dunia dalam tragedi Platform Sepat, luar pantai Terengganu, yang turut meragut nyawa dua lagi pekerja kontraktor.
Lebih memilukan, Nurkhaeryna kini sedang hamil tujuh bulan anak kedua mereka. Dalam keadaan sarat mengandung, dia terpaksa menerima hakikat bahawa suami yang selama ini menjadi tempat bergantung, sudah pergi buat selamanya.
Menurut Nurkhaeryna, arwah suaminya tidak sabar untuk pulang ke rumah. Malah, arwah sering menyuarakan hasrat mahu mengumpul cuti semata-mata untuk menemaninya sepanjang tempoh berpantang nanti.
“Pagi tadi arwah ada hantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp memberitahu tidak sabar nak balik rumah dan selalu cakap mahu kumpul cuti untuk temankan saya berpantang,” luahnya sebagaimana dilaporkan Utusan Malaysia.
Kata-kata itu pastinya menjadi kenangan paling mahal buat seorang isteri. Apatah lagi, perbualan tersebut menjadi antara komunikasi terakhir mereka sebelum tragedi menyayat hati itu berlaku.
Nurkhaeryna berkata, malam sebelum kejadian, dia dan suami sempat berhubung menerusi panggilan video sekitar jam 10 malam sebelum arwah masuk tidur.
Pada pagi hari kejadian pula, arwah menghantar mesej sekitar jam 7 pagi dan memaklumkan tidak sabar untuk pulang ke rumah. Namun selepas mesej itu dibalas, arwah tidak lagi memberi sebarang respons.
Khabar duka itu mula diterima sekitar jam 4 petang apabila pihak syarikat menghubunginya dan memaklumkan bahawa suaminya terlibat dalam kemalangan. Bagaimanapun, ketika itu keadaan sebenar arwah masih belum dapat dipastikan.
Naluri seorang isteri bagaimanapun kuat merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Selepas menghubungi rakan-rakan sekerja arwah, barulah dia mengetahui suaminya telah meninggal dunia.
Difahamkan, arwah Muhammad Faezuan Hakim baru menyertai syarikat berkenaan pada Mac lalu, namun mempunyai pengalaman dalam bidang offshore sejak tahun 2019.
Dalam usia yang masih muda, arwah bukan sahaja gigih mencari rezeki buat keluarga, malah sedang bersiap menyambut kelahiran cahaya mata kedua.
Menurut laporan, insiden berlaku kira-kira jam 12.50 tengah hari ketika empat mangsa menaiki bot penyelamat yang berada di atas platform untuk turun ke laut bagi menjalankan kerja penyelenggaraan di bahagian bawah platform.
Tali atau cangkuk yang dipasang pada bot itu dipercayai tercabut, menyebabkan kesemua mangsa terjatuh ke dalam laut bersama bot berkenaan.
Tiga mangsa yang disahkan meninggal dunia ialah Ahmad Fiqri Zakaria, 38, Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustaman, 28, dan Nik Muhammad Hafifi Asri Ab. Majid, 38.
Seorang lagi mangsa, Mohd Taufik Mohd Ruslan, 37, dilaporkan cedera parah dan menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
PETRONAS turut mengesahkan insiden berkenaan membabitkan pekerja kontraktor dan memaklumkan siasatan sedang dijalankan bersama pihak berkuasa berkaitan.
Syarikat itu juga menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga, rakan serta kenalan mangsa yang terlibat dalam tragedi Platform Sepat.
Sesungguhnya, pemergian arwah Muhammad Faezuan Hakim meninggalkan kesan yang sangat mendalam, terutama buat seorang isteri yang sedang menanti detik melahirkan zuriat mereka.
Hasrat mahu menemani isteri berpantang kini tinggal kenangan, namun kasih sayang dan pengorbanannya sebagai suami serta ayah akan terus terpahat dalam ingatan keluarga.
Semoga Nurkhaeryna diberi kekuatan menghadapi ujian berat ini, dan semoga roh arwah bersama dua lagi mangsa ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Salam takziah buat seluruh keluarga mangsa tragedi Platform Sepat. Semoga mereka terus tabah menerima ketentuan ini dengan hati yang reda.
BACA LAGI : Tragedi Lubang Benam Masjid, Keluarga Vijaya Tuntut Pampasan RM824,000
Sumber : Sinar Harian