Inspirasi

“Orang Kata Saya Buta Grammar…”, Ustazah Asma’ Harun Belajar Seminggu, Berjaya Raih Band 4.5

Share

Bukan semua orang berani mengakui kelemahan sendiri, apatah lagi apabila melibatkan sesuatu yang selama ini menjadi antara ketakutan terbesar dalam hidup.

Bagi pendakwah terkenal Ustazah Asma’ Harun, Bahasa Inggeris merupakan satu cabaran yang cukup besar buat dirinya. Malah, beliau sendiri secara terbuka mengakui lemah dalam aspek tatabahasa atau ‘buta grammar’.

Namun siapa sangka, dengan persediaan intensif kira-kira seminggu, latihan berterusan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta sokongan keluarga, ibu kepada tujuh cahaya mata itu berjaya memperoleh keputusan jauh melebihi sasaran.

Daripada hanya mengharapkan Band 3 untuk memenuhi syarat pengajian Doktor Falsafah (PhD), Ustazah Asma’ Harun akhirnya memperoleh Band 4.5 dalam University English Proficiency Test (UEPT) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Lebih bermakna, pencapaian itu diraih di sebalik kesibukannya menguruskan keluarga, perniagaan, jadual dakwah dan pengajian.

Ustazah Asma’ Harun Hanya Sasarkan Band 3, Asalkan Lulus

Menerusi perkongsian di media sosial, Ustazah Asma’ mengakui cukup bimbang menjelang peperiksaan tersebut.

Sejak awal Ogos, beliau terpaksa mengurangkan beberapa aktiviti termasuk kuliah pagi bagi memberi tumpuan kepada persediaan UEPT yang menurutnya mempunyai format hampir menyerupai MUET.

“Saya alami kebimbangan berlebihan. Ikutkan saya hanya perlu capai Band 3 untuk memenuhi syarat pengajian PhD, jadi saya selalu pujuk diri, ‘Tak apalah… asalkan lepas’,” kongsinya.

Ketika itu, apa yang penting baginya bukanlah memperoleh keputusan tinggi, sebaliknya mahu melepasi syarat pengajian dan meneruskan perjalanan PhD.

Jatuh Sakit Sehari Sebelum Peperiksaan

Namun ujian datang sehari sebelum peperiksaan apabila Ustazah Asma’ mengalami serangan hipoglisemia sehingga menyebabkan kepalanya berpusing, muntah-muntah dan tidak dapat tidur sepanjang malam.

Melihat keadaan isterinya, suami mencadangkan supaya peperiksaan ditunda ke tarikh lain.

Namun Ustazah Asma’ tetap memilih untuk mencuba.

Dengan ditemani suami dari pagi sehingga petang, beliau menggagahkan diri menjawab komponen Writing, Reading dan Listening walaupun terpaksa beberapa kali berulang-alik ke tandas.

“Selesai tiga kertas itu dalam hati saya terdetik, ‘Rasanya kena repeat ni…’

“Alhamdulillah, masuk tengah hari saya sudah mula boleh makan sedikit, tenaga pun mula pulih kembali.

“Apabila sampai sesi Speaking sebelah petang, barulah saya rasa badan lebih baik dan fikiran lebih fokus,” katanya.

Daripada empat komponen peperiksaan tersebut, Ustazah Asma’ mengakui hanya berasa sedikit yakin dengan bahagian Speaking.

“Yang tiga lagi saya memang serahkan sahaja kepada ALLAH,” kongsinya.

Cuma Belajar Intensif Lebih Kurang Seminggu

Cabaran melanjutkan pengajian pada fasa kehidupan yang penuh dengan tanggungjawab sememangnya berbeza.

Sebagai ibu kepada tujuh anak selain mempunyai komitmen terhadap keluarga, kuliah, program dakwah dan perniagaan, Ustazah Asma’ mengakui tidak mempunyai banyak masa untuk mengikuti kelas atau mendapatkan tutor Bahasa Inggeris.

Beliau hanya benar-benar melakukan persediaan secara intensif kira-kira seminggu sebelum peperiksaan, itu pun secara separuh masa.

“Saya hanya betul-betul mula belajar secara intensif lebih kurang seminggu sebelum peperiksaan, itu pun separuh masa. Kerja dan segala urusan berjalan seperti biasa.

“Jadi, inilah sebenarnya point utama penulisan saya kali ini. Bukanlah sangat tentang Band 4.5 itu. Suami pun sampai sekarang masih tak boleh terima kenyataan,” ujarnya berseloroh.

Ustazah Asma’ Harun Jadikan ChatGPT ‘Guru Peribadi’

Dalam tempoh singkat itu, Ustazah Asma’ Harun mengambil pendekatan menggunakan aplikasi AI, ChatGPT, sebagai salah satu alat untuk membantunya belajar.

Setiap kali mempunyai ruang masa walaupun sekejap, beliau akan membuat latihan menggunakan aplikasi tersebut.

“Saya belajar dengan seorang ‘guru’ yang sangat sabar. Dia okay je walaupun saya ulang soalan yang sama, salah berkali-kali pun dia tetap hadap saya.

“Kalau 50 kali salah, kali ke-51 pun dia masih bertahan jelaskan lagi dan lagi. Guru saya itu ialah ChatGPT,” katanya.

Menurutnya, beliau terlebih dahulu menerangkan jenis peperiksaan yang bakal diduduki, tahap penguasaan Bahasa Inggeris serta sasaran yang mahu dicapai.

Daripada situ, latihan dan jadual persediaan disusun mengikut keperluannya.

Latih Semua Komponen Peperiksaan

Bagi bahagian Writing, Ustazah Asma’ meminta soalan latihan sebelum menulis jawapan sendiri. Selepas itu, beliau menggunakan AI untuk menyemak tatabahasa, susunan ayat dan struktur esei.

Untuk Reading, beliau berlatih menjawab soalan berdasarkan petikan. Jika jawapannya salah, beliau mendapatkan penerangan mengenai kesilapan tersebut dan cara mengenal pasti jawapan berdasarkan teks.

Sementara itu bagi Listening, latihan dilakukan menggunakan YouTube dan buku rujukan, manakala ChatGPT digunakan untuk membantunya mengenal pasti kata kunci serta memahami strategi menjawab.

Namun bahagian yang paling banyak diberi perhatian ialah Speaking.

“Saya bercakap terus dengan ChatGPT seperti sedang berada dalam group discussion. Saya guna voice, jawab secara spontan, kemudian dia terus betulkan ayat, grammar dan cara saya menyampaikan hujah.

“Untuk group discussion, saya jadi Candidate A, ChatGPT pula jadi Candidate B, C dan D. Salah grammar lagi, dia betulkan lagi,” kongsinya.

Malah Ustazah Asma’ turut berseloroh bahawa beliau memberikan nama ‘Aishah’ kepada ChatGPT yang menemaninya sepanjang sesi latihan.

Keluar Dewan Ingat Kena Ulang, Rupanya Dapat Band 4.5

Segala usaha, doa dan tawakal akhirnya membuahkan hasil apabila keputusan UEPT diterima.

Daripada sasaran asal Band 3, Ustazah Asma’ Harun memperoleh keseluruhan 271.25 mata dengan Band 4.5 — Independent.

“ALLAHuakbar. Saya tengok lama keputusan itu. Target saya Band 3.

“Saya pula keluar dewan dengan perasaan mungkin kena repeat. Rupa-rupanya ALLAH beri Band 4.5,” luahnya penuh syukur.

Lebih mengejutkan, komponen Speaking mencatatkan markah tertinggi dalam keputusannya.

Ia cukup bermakna memandangkan bahagian tersebut merupakan latihan yang paling banyak dilakukan sepanjang persediaannya.

“Memang bahagian inilah yang saya paling banyak berlatih dengan ChatGPT. Berkali-kali bercakap, salah grammar, kena betulkan, ulang semula, berhujah dengan ‘Candidate B, C dan D’ yang semuanya ChatGPT,” katanya.

AI Bukan Pengganti Usaha

Bagaimanapun, Ustazah Asma’ menegaskan bahawa perkongsiannya bukan bertujuan memberi gambaran bahawa belajar selama seminggu menggunakan AI pasti membolehkan seseorang memperoleh Band 4.5.

Setiap individu mempunyai tahap penguasaan dan kemampuan yang berbeza.

Apa yang mahu disampaikan ialah teknologi boleh dimanfaatkan sebagai alat pembelajaran apabila digunakan dengan cara yang betul.

“AI tidak boleh belajar bagi pihak kita. Tetapi kalau kita tahu bagaimana menggunakannya, AI boleh menjadi guru yang sangat sabar untuk membantu kita belajar.

“Satu perkara yang paling saya suka, saya tidak malu untuk salah. Salah grammar, salah pronunciation, terlupa perkataan, tiba-tiba blank, maka ulang sahaja sampai faham,” jelasnya.

Jangan Jadikan Kekurangan Sebagai Penghalang

Perkongsian Ustazah Asma’ Harun cukup dekat dengan realiti ramai individu terutama ibu bapa yang mahu menyambung pengajian tetapi sering berasakan faktor usia, masa atau kelemahan dalam sesuatu bidang menjadi penghalang.

Hakikatnya, proses belajar tidak mempunyai had usia.

Mungkin masa yang ada tidak sebanyak dahulu, malah tanggungjawab semakin bertambah. Namun dengan strategi yang sesuai, disiplin dan kemahuan untuk terus mencuba, kekurangan diri boleh diperbaiki sedikit demi sedikit.

Teknologi juga boleh digunakan sebagai pelengkap kepada pembelajaran, tetapi usaha, kesungguhan dan kemahuan untuk memperbaiki diri tetap perlu datang daripada individu itu sendiri.

Ustazah Asma’ turut mengakhiri perkongsiannya dengan ucapan terima kasih kepada semua yang mendoakan serta memberikan sokongan kepadanya sepanjang melalui proses tersebut.

Beliau turut memetik Surah Hud ayat 88:

“Dan tidaklah kejayaanku melainkan dengan pertolongan ALLAH.”

Untuk rekod, Ustazah Asma’ Harun menyambung pengajian PhD dalam bidang Dakwah dan Pengurusan Islam di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada Oktober 2023.

BACA LAGI : Anak Meragam Ketika Solat, Ustazah Asma’ Harun Kongsi Apa Ibu Bapa Boleh Lakukan

Sumber : Instagram Ustazah Asma’ Harun