Pada zaman moden kini, anda tidak perlu memulas kunci untuk menghidupkan enjin kereta malah tekan butang sahaja. Tetapi, pernahkah anda melihat enjin van yang dihidupkan dengan memetik suis seperti di rumah?
Mengikut siri video yang tular di TikTok yang dikongsikan oleh Faeqs, suis berwarna putih di dalam keretanya adalah jenis yang selalu digunakan untuk menghidupkan lampu, kipas dan elektrik.
Lebih mengejutkan apabila van tersebut turut dipasang “air conditioner” seperti yang kita lihat di rumah dan pejabat, dan bukannya dari papan pemuka seperti biasa.
Berkongsi kepada mStar, ia merupakan van terpakai yang dibelinya daripada bapa saudara dua tahun lalu untuk berniaga snek terkenal yang berasal dari Jepun yang dipanggil sebagai “takoyaki”.
Faeqs memberitahu, dua suis yang berfungsi seperti “push start button” telah dipasang oleh bapa saudaranya sebelum van tersebut dibeli olehnya.
Ads
“Pakcik memang pandai buat wiring. Sekarang ni saya yang buat untuk semua bahagian lain termasuk push start button dalam bilik tidur tu saya juga pasang. Lain-lain saya pasang adalah suis dan ‘aircond’ di bahagian tempat duduk hadapan. Kunci digunakan untuk lock pintu dan stereng” kata Faeqs.
Anak muda itu tidak menyangka ‘fungsi terbalik’ yang diperkenalkan meraih perhatian ramai warganet untuk mengikuti video-video di akaun TikToknya yang ditonton lebih daripada sejuta pengguna.
“Suis bilik dalam kereta dan push start button ‘kereta’ di bilik tidur. Kemahiran masa belajar dulu membuatkan saya boleh buat semua sendiri,” ujarnya yang mempunyai pendidikan Diploma Sistem Komputer dan Rangkaian di Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) di Batu Pahat, Johor.
Ads
Faeqs juga berkata bahawa “air cond” seperti di rumah yang dipasang dalam vannya tidak seperti yang disangkakan.
“Aircond tu dari rumah dan sudah rosak. Jadi, timbul idea untuk bawa aircond tu pasang dalam van. Tapi luaran saja nampak macam aircond dan dalam adalah kipas. Saya keluarkan semua komponen di dalamnya dan pasang kipas kecil di bahagian dalam. Bila petik suis, kipas akan berfungsi dan memang rasa sejuk. Tapi sejuk kipaslah, bukan aircond. Dulu dua tahun saya bawa van dengan aircond rosak, jadi dah biasa kalau berpanas dan kena tempias hujan. Kalau nak baiki aircond kena caj RM500, tapi ‘aircond’ cara saya ni baru RM20 kos beli kipas” ujarnya yang berniaga takoyaki.
Mengikuti inovasinya yang lain, Faeqs juga mengubah suai bahagian belakang van sebagai ruang rehat dengan meletakkan sofa, kipas siling, lampu kalimantang, peti sejukbeku dan televisyen.
Ads
“Kalau hari-hari biasa, belakang van saya letakkan barang-barang berniaga. Tapi kalau ada orang nak view van saya ni selepas viral, saya pasang semula. Kipas siling dan TV berfungsi menggunakan generator. Bilah kipas tu lembut, jadi tak bahaya dan kalau duduk atas sofa atau karpet memang tak akan kena kipas,” katanya sambil menambah ruang rehat tersebut boleh menampung lima orang pada satu-satu masa.
Mengenai van berusia lebih 20 tahun itu, Faeqs berkata, dia bercadang untuk menjadikannya sebagai sebuah “pameran” ketika berniaga di gerai.
“Saya sekadar mahu berkongsi minat dan hasil kreativiti dan inovasi, sebagai pembelajaran dalam menghasilkan sesuatu yang kita mampu milik” katanya.
Semoga artikel ini memberi inspirasi kepada para pembaca di luar sana.
Bukan calang-calang orang mampu laksanakan tanggungjawab sebagai ibu dan ayah seperti apa yang keluarga ini lakukan. Dikurniakan lima orang anak lelaki, dan kelima-limanya kini berjaya menjawat jawatan profesional dan huffaz Al-Quran.
Umum mengetahui, cabaran membentuk keluarga masa kini tidak semudah yang dibayangkan. Namun pendekatan yang dibawa oleh Puan Hajah Siti Nadzrah dan pasangannya Dr Mohammad Salmi Mohd Sohod dalam melahirkan generasi huffaz Al-Quran, wajar dijadikan inspirasi buat keluarga lainnya.
Ternyata, berbekalkan didikan ibu bapa yang berterusan telah menjadi faktor utama membentuk peribadi dan sahsiah yang baik buat lima orang anaknya; anak sulong bernama Aiman Salmi merupakan seorang Peguam, anak kedua Syamil Salmi bergelar doktor, begitu juga anak ke tiga bernama Irfan Salmi juga seorang doktor, kemudian Farhan Salmi pula Pengurus di PROFAZZ Traning & Consaltancy dan yang paling bongsu Suhayl Salmi sebagai jurulatih motivasi.
Pastinya peranan ibu yang dimainkan oleh Puan Hajjah Siti Nadzrah atau lebih mesra disapa Ummi yang juga bertindak sebagai penyeri atau ‘nadi’ rumah tangga, punya rahsia disebalik semua kejayaan yang diraih oleh anak-anaknya itu.
Apatah lagi bila ditanya bagaimana seorang ibu yang mempunyai latar belakang pendidikan sekular, boleh terpanggil untuk membina keluarga hebat yang mencintai ayat-ayat Al-Quran dalam kehidupan harian anak-anaknya, nyata punya kisahnya yang tersendiri.
“Alhamdulillah, Ummi diberi hidayah dari Allah untuk membina keluarga yang setiap anak Ummi mempunyai ayat Al-Quran dalam jiwa dan diri mereka. Asalnya Ummi tidaklah reti sangat membaca al Quran. Yalah, Ummi dilahirkan bukan daripada keluarga bergelar ustaz ustazah. Ummi tiba-tiba tergerak hati dan teringin sangat nak ada anak yang hafal Al-Quran.
“Memang sejak berkahwin Ummi dan suami berjanji untuk membina keluarga dengan sebaiknya. Oleh itu kami buat pembahagian tugas, Ummi fokus dengan anak-anak dan suami lebih dalam bab mencari rezeki. Bila Ummi tidak bekerja dan sebab itu juga Ummi mempunyai banyak masa merencanakan jadual harian mereka lebih terperinci.
“Ummi dan suami mulai menanam bibit cintakan Al-Quran dalam kalangan anak-anak sejak daripada anak sulong lagi, dan dialah menjadi trendsetter dalam banyak hal membabitkan pendidikan, akhlak dan jatidiri adik-adiknya yang lain,” terang Ummi yang meletakkan dirinya sebagai mendidik anak-anak itu sebagai satu profesion utama dalam dirinya sambil tersenyum puas melihat pencapaian anak-anaknya kini.
Bahagianya Jadi Anak Emas
Mengajukan soalan pada anak bongsu, Suhayl sebagai anak bongsu di dalam keluarga tentang personaliti dan pandangannya tentang ibunya, nyata cukup istimewa jawapan yang diberikan olehnya.
“Kalau ditanya saya, antara adik beradik siapa menjadi anak emas Ummi. Saya akan kata sayalah anak emas Ummi, sebab layanan yang diberikan kepada saya memang teristimewa. Tapi kalau soalan yang sama juga ditanya pada abang-abang yang lain,semua juga mengaku merekalah anak emas Ummi. Ini membuktikan layanan sama rata Ummi pada kami anak-anaknya tidak dapat dibezakan. Hakikatnya itulah yang kami adik beradik dapat rasakan.
“Walaupun sebenarnya saya adalah anak yang nakal berbanding abang-abang yang lain. Saya jugalah yang selalu kena panggil pihak kaunseling ketika zaman persekolahan. Keputusan peperiksaan biasa-biasa sahaja dan hanya sekadar SPM jelah boleh tayang dekat orang. Tapi itu semua tidak membezakan layanan Ummi kepada saya berbanding anak-anaknya yang lain.
“Sampai satu tahap ketika hendak ambil SPM saya jadi calun OKU sebab urat lengan bahu saya putus akibat main badminton. Jadi pada waktu itu saya banyak tidak hadir ke sekolah dan masa percubaan SPM, saya gagal 5 subjek.
“Pun begitu, hari demi hari tiba-tiba hidayah itu datang untuk saya rasa ingin berubah hinggalah pada malam hari hendak menduduki peperiksaan SPM, saya tidak boleh tidur. Masa itu pukul 2 3 pagi saya tidak tidur lagi. Jadi saya keluar bilik dan nampak ada satu bilik bercahaya dan saya hampiri bilik tersebut, ingatkan siapa rupanya Ummi sedang mendoakan saya. Saya dengar sendirilah setiap doa Ummi untuk saya.
“Jadi barulah saya tahu inilah insan yang mendoakan saya daripada seorang pelajar yang nakal hingga boleh berubah. Jadi waktu tu saya berdoa betul-betullah, “Ya Allah apa-apa sahaja hasil esok ni adalah kerana asbab doa daripada mak aku”.
“Dan siapa sangka semasa keputusan SPM di umumkan saya menjadi calon SPM terbaik di sekolah tu dan semua orang terkejut dan tidak menyangka,” ulas Suhayl dengan nada sayu.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Kanak-kanak ibarat kain putih yang suci dan bersih. Di usia kanak kanak inilah mereka masih dan sedang belajar mengenai kehidupan dan persekitaran mereka. Disebabkan itu, tidak hairanlah banyak perkara mereka masih lagi naif dan memerlukan tunjuk ajar daripada ibu bapa dan orang sekelilingnya.
Bahkan kadang-kadang apa yang ingin difahami oleh anak-anak kecil ini melalui soalan-soalan yang diajukan kepada kita hingga tidak terduga dibuatnya. Malah memerlukan kemahiran untuk kita pula menjelaskannya dengan sebaik mungkin.
Apatah lagi bila menyentuh tentang aspek seksualiti dan seumpamanya.
Ini sebagaimana yang telah dikongsikan oleh Mohd Fairuz Abu atau lebih dikenali sebagai Akhi Fairuz Al-Jengkawi di akaun facebooknya berkenaan ada pelajar sekolah rendah bertanyakan soalan bagaimana sperma boleh masuk ke dalam badan perempuan.
Andai soalan yang sama diajukan oleh anak-anak kepada kita sebagai ibu ayah, apa pula jawapan yang boleh kita berikan? Mati ‘kutu’ juga dibuatnya untuk memahamkan soal seksualiti ini pada anak kecil.
Untuk itu, jom kita baca perkongsiannya untuk jadikan panduan bersama bagi mempersiapkan diri berdepan dengan soalan-soalan yang dijangka keluar daripada mulut anak-anak. Semoga apa yang dapat kita terangkan kelak pada anak-anak adalah untuk memberikan kebaikan buat mereka.
Penerangan Tak Boleh Terhenti
Bila pelajar sekolah rendah (tahap 2) tanya macam mana sperma boleh masuk badan perempuan, maka saya kena bersilat sikit untuk jawab.
Mula-mula kena fahamkan mereka beza lelaki dan perempuan, kenapa Allah bagi lelaki zakar dan perempuan faraj. Kemudian saya akan terangkan secara terperinci anatomi kemaluan, fungsi testis, sperma, ovum, kenapa lelaki baligh keluar air mani, kenapa perempuan keluar darah haid.
Bila dah selesai bab tu, maka saya cerita pula bagaimana hidupan ini membiak. Pokok, buah-buahan, bunga, haiwan dan terakhir manusia.
Saya selalu guna contoh kucing yang mengawan. Kebiasaannya majoriti murid pernah tengok kucing beraksi. Cuma ada antara mereka tak tahu dengan cara itu kucing akan membiak.
Mereka juga tak sedar kucing jantan ada air mani. Jadi, air mani si jantan perlu dimasukkan ke dalam kemaluan kucing betina untuk berlakunya persenyawaan.
Akhirnya saya akan tanya pelajar kembali. “Awak rasa macam mana pula manusia membiak? Apa yang mereka lakukan? Macam mana sperma lelaki boleh bertemu dengan ovum yang berada dalam rahim perempuan?”
Ketika saya ajukan soalan ini, kebanyakan pelajar dah dapat tangkap apa point yang saya nak sampaikan.
Ramai dapat relate dengan topik hadas besar yang mereka belajar masa darjah 3. Salah satu sebab kena mandi wajib adalah bersetubuh/ persetubuhan.
Kemudian saya sambung.
“Jika kucing membiak melalui proses mengawan, maka manusia pula melalui persetubuhan, atau hubungan seksual. Zakar lelaki perlu dimasukkan ke dalam faraj perempuan. Barulah air mani (sperma) dapat bertemu ovum). Itulah yang dinamakan persetubuhan.”
Tapi penerangan tak boleh terhenti setakat tu je. Kena ‘bersilat’ lagi.
“Kita tak sama macam haiwan. Kucing tu ikut sukalah nak mengawan kat mana-mana pun. Tepi kaki lima sekolah ke, sebelah tayar kereta ke, lantak. Depa mana ada akal. Tapi manusia Allah dah tetapkan peraturannya.
Kalau nak buat hubungan seksual, wajib berkahwin. Barulah boleh lalukan hubungan berkenaan. Dan sebab itu juga pasangan yang berkahwin tidur sebilik. Mak dan ayah kita.”
Masuk bab bilik ni, saya akan tanya pelajar siapa masih tidur sama bilik dengan mak ayah.
Biasanya kalau ada 300 orang pelajar (murid 10-12 tahun), hampir 30-40 orang juga akan angkat tangan.
Jadi, saya terangkan lagi kepada pelajar.
“Awak tak boleh tidur lagi bersama mak ayah”
“Ibu bapa perlukan ruang privasi. Kasih sayang mak ayah ni bukan hanya pegang tangan masa berjalan, berpelukan, cium pipi, bahkan lebih dari tu. Aurat ibu, ayah kita boleh tengok, aurat ayah, ibu kita boleh tengok.
Kalau kita masih tidur bilik yang sama, kesianlah mak ayah kita untuk berkasih sayang.”
Sebenarnya bab ni saya tak salahkan anak, tapi salahkan mak ayah yang tak bertegas dan disiplinkan anak tidur bilik sendiri. Nak jadi apa sampai ada kes budak perempuan umur 14 tahun tidur dengan si bapak setiap malam!
Kemudian, saya sambung semula pasal pembiakan tadi.
“Bila persetubuhan berlaku dalam perkahwinan, Allah redha. Dapat pahala. Sama macam orang bersedekah.
Tapi! (Masa ni saya tekankan sungguh-sungguh)
Bila hubungan seksual ni berlaku di luar perkahwinan, maka ia dinamakan Zina. Ya, dosa besar. Haram! Nak dekati pun Allah larang.
Tapi kalau hubungan tu dibuat secara paksa, ia dinamakan rogol. Rogol ni jenayah! Perbuatan jahat, kejam, jijik!
Sabit kesalahan, boleh dipenjara selama 20 tahun dan sebatan.”
Biasanya saya akan tunjuk demo macam mana sebatan dilakukan. Kemudian saya sambung lagi.
“Tapi rogol ni bukan sekadar secara paksaan sahaja, ia juga dinamakan rogol walau hubungan seksual tu berlaku suka sama suka.
Contoh, pakwe dengan makwe ke, orang dewasa dengan budak perempuan ke, asal yang perempuan bawah umur 16 tahun, keluarganya buat report polis, sabit bersalah lelaki tu akan dipenjara dan disebat.
Nak ke meringkuk lama-lama dalam penjara atas kesalahan seperti tu? Ada tu baru pertama kali cuba buat, itupun sebab kawan-kawan ajak. Seronok dapat ‘kenduri’kan perempuan. Dah perempuan tu on, budak lelaki air naik atas kepalalah!
Sekali bila keluarga perempuan buat laporan polis, habis semua pelaku disumbat ke penjara.
Tak berbaloi hidup macam ni. Hidup kau orang ni panjang lagi. Tuntut ilmu sungguh-sungguh. Seperti mana kita tak suka mak kita, kakak kita, adik perempuan kita diperlakukan seperti itu, begitu juga orang lain. Mereka juga punya wanita disekelilingnya.
Yang perempuan pula jaga diri elok-elok. Jangan mudah percaya janji manis lelaki. Tolong jadi pandai.
Lagi satu, kat sekolah jangan suka-suka hati dok sebut nak rogol kawan. Ingat perkataan tu boleh dibuat main? Kelakar? Ini sampai saya dengar budak darjah 1 pun dah berani sebut nak rogol kawan. Belajar dari siapa? Nak jadi penjenayah?
Bla bla bla..
Bla bla bla..”
Panjang sebenarnya ayat-ayat yang selalu saya gunakan untuk nasihat pelajar. Kalau saya sambung tulis lagi ni, mahu 30 minit baru habis baca.
Itu jika bersama murid sekolah rendah tahap dua, kalau dengan budak sekolah menengah, lagilah garang aku tekankan bab ni! Yang rasa kelakar pun sampai muka pucat lesi rasa takut.
Dia ingat semua benda boleh buat lawak.
Nak buat macam mana lawak lucah ni dah lama dinormalisasi. Dari segenap sudut kehidupan dilucahkan. Sampai bilalah muslim di Malaysia ni nak anggap serius benda ni.
Didik anak lelaki agar hormati wanita, lindungi mereka dan jangan sekali-kali ada niat merogol mereka. Ajar mereka jauhi pornografi dan segala lorong yang membawa ke arahnya.
Jika berminat boleh juga sertai event lawatan ke Escape secara virtual pada 6 Ogos ini. Bukan itu sahaja, malah lagi aktiviti menatik menanti anda. Jadi jangan lepaslan peluang segera hubungi nombor yang terdapat di dalam poster di bawah atau klik DI SINI
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Kadang ada masanya kita terlupa untuk membuka lampu kereta ketika memandu pada malam hari. Lebih-lebih lagi tempat yang dilalui itu terang dengan lampu yang ada disekelilingnya.
Situasi ini bukan sahaja membahayakan diri, malah orang di sekeliling kita juga turut mengundang bahaya jika tidak perasan kewujudan kita.
Baru-baru ini, tular satu video rakaman dari dashcam yang menarik perhatian orang ramai apabila seorang pemandu menunjukkan satu cara yang bijak untuk menegur pemandu yang terlupa membuka lampu kereta.
Melalui video tersebut, kelihatan sebuah kereta yang muncul dari sebelah kiri masuk ke dalam simpang yang agak gelap jalannya. Sebaik sahaja pemandu itu menghampiri palang had tinggi, dapat dilihat dengan jelas dia tidak membuka lampu kereta sekaligus menarik perhatian pemandu yang berada di belakangnya. Mungkin juga kerana lampu dari kereta belakang agak cerah menyebabkan pemandu itu menyangka dia telahpun membuka lampu keretanya.
Untuk menegur pemandu yang terlupa membuka lampu kereta itu, pemandu di belakangnya kemudian memadamkan lampu keretanya. Sebaik sahaja dia menutup lampu kereta, keadaan di jalan itu menjadi gelap gelita menyebabkan pemandu tersebut segera membuka lampu keretanya sendiri.
Tindakan bijak yang dilakukan oleh pemandu ini turut menerima pujian dari netizen kerana ia antara cara terbaik untuk menegur pemandu lain tanpa perlu membunyikan hon. Kebiasaannya jika membunyikan hon, ramai pemandu yang tidak dapat ‘menangkap’ apakah maksud di sebalik hon tersebut.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata netizen turut berterima kasih dengan perkongsian yang diberikan ini. Malah ada yang tidak pernah terfikir untuk melakukannya setiap kali berhadapan dengan pemandu yang tidak membuka lampu kereta semasa memandu.