
Muka anak Neelofa kembali menjadi perhatian apabila wajah Muhammad Bilal tanpa sticker mencuri tumpuan ramai. Perkara itu berlaku selepas sebuah video lama yang memaparkan momen istimewa antara ibu dan anak berkenaan kembali tular di media sosial.
Seperti yang diketahui umum, personaliti terkenal tanah air, Neelofa, sememangnya cukup menjaga privasi anak-anaknya. Setiap kali berkongsi gambar atau video di media sosial, wajah anak-anaknya lazimnya akan ditutup menggunakan ‘filter’ atau ‘sticker’ bagi mengelakkan pendedahan kepada khalayak ramai. Namun kali ini, tanpa disengajakan, wajah anak sulungnya, Muhammad Bilal, kelihatan dengan jelas sehingga mengundang keterujaan peminat.
Momen berkenaan tular menerusi sebuah video berdurasi satu minit 35 saat yang memaparkan Neelofa sedang membimbing Muhammad Bilal membaca Surah Al-Fatihah dengan penuh kelembutan. Dalam rakaman tersebut, wajah Muhammad Bilal dapat dilihat dengan jelas, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi positif daripada netizen.
Difahamkan, video itu sebenarnya dirakam sekitar tahun 2024 ketika Muhammad Bilal masih berusia dua tahun. Walaupun bukan rakaman terbaharu, video tersebut dimuat naik semula sebagai sebahagian daripada kandungan promosi produk makanan berasaskan kambing perap, namun tetap berjaya mencuri tumpuan ramai pengguna media sosial.
Kecomelan wajah Muhammad Bilal serta suasana tenang ketika sesi mengaji bersama ibunya membuatkan ramai tersentuh. Ruangan komen dipenuhi dengan pujian serta doa daripada netizen yang rata-rata kagum dengan pendekatan Neelofa dalam mendidik anak sejak usia kecil.
“Ini masa Bilal kecil, sekarang dia dah besar dan pandai baca al-Quran. Comel sangat,” tulis seorang netizen.
“Walaupun video lama, tetap nampak comel dan menenangkan,” komen seorang lagi.
Untuk rekod, ini bukan kali pertama Neelofa mendedahkan wajah Muhammad Bilal. Sebelum ini, beliau pernah berkongsi wajah anak sulungnya ketika masih bayi selepas terdapat pihak tidak bertanggungjawab menyunting dan menyebarkan gambar anaknya tanpa kebenaran.
Langkah tersebut mendapat sokongan ramai pihak yang memahami pendirian Neelofa dalam melindungi privasi dan keselamatan anak-anaknya, lebih-lebih lagi sebagai figura awam yang sering menjadi perhatian umum.
Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor mendirikan rumah tangga bersama pendakwah bebas, PU Riz, pada 27 Mac 2021. Hasil perkahwinan itu, pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Muhammad Bilal yang kini berusia empat tahun dan Abdullah Abbas yang berusia dua tahun.
Momen ringkas yang tular ini bukan sahaja mencuri perhatian peminat, malah memperlihatkan sisi keibuan Neelofa yang menitikberatkan pendidikan agama sejak usia awal. Ia secara tidak langsung memberi inspirasi kepada ibu bapa tentang kepentingan didikan berteraskan kasih sayang dan nilai Islam dalam membina keluarga harmoni.
BACA LAGI : Cara Neelofa ‘Groceries Shopping’ Raih Perhatian Mak-Mak
Sumber : Harian Metro