
Tak dapat digambarkan betapa beratnya ujian yang dilalui sepasang suami isteri ini apabila tidak dikurniakan rezeki zuriat meskipun sudah 42 tahun melayari alam perkahwinan.
Bagi setiap pasangan yang berkahwin, kehadiran cahaya mata pastinya menjadi antara impian terbesar dalam rumah tangga. Namun, tidak semua diberikan rezeki yang sama. Ada yang diuji menunggu bertahun-tahun, berusaha dengan pelbagai cara, namun akhirnya tetap memilih untuk reda dengan ketentuan Ilahi.
42 Tahun Kahwin Tanpa Zuriat, Tetap Setia Menemani Satu Sama Lain

Menerusi video yang dikongsikan semula di Threads, pasangan berusia 74 dan 64 tahun itu menyentuh hati ramai apabila berkongsi kisah hidup mereka yang tidak dikurniakan anak selepas lebih empat dekad hidup bersama.
Pasangan ini mengakui tersentuh apabila melihat seorang lelaki meminta bantuan untuk membeli susu anak dalam sebuah eksperimen sosial. Situasi itu membuatkan mereka sebak kerana mengingatkan kepada perjalanan rumah tangga sendiri yang tidak mempunyai zuriat.
“Kitorang dah 42 tahun kahwin, tak ada zuriat. Sebab tu bila makcik dengar… makcik sedih.
Kami tak boleh dengar orang nak beli susu anak ke, kitorang tak boleh.”
Luahan ikhlas itu membuatkan ramai yang menonton turut mengalirkan air mata kerana dapat merasakan kesedihan yang dipendam pasangan berkenaan selama puluhan tahun.
Pernah Berusaha Mendapatkan Zuriat
Wanita itu menjelaskan bahawa mereka pernah berusaha untuk mendapatkan cahaya mata. Namun apabila usia semakin meningkat, pasangan ini memilih untuk menerima takdir dengan hati yang terbuka.
“Mungkin dulu adalah, tapi bila dah berumur, dah redalah. Reda je. Dan jaga diri masing-masing.”
Beliau turut mendedahkan pernah menjalani pembedahan sebelum doktor menawarkan rawatan kesuburan. Namun, rawatan tersebut tidak diteruskan kerana mengambil kira faktor usia.
“Doktor kata, ‘Makcik nak buat treatment tak?’ Makcik kata tak payahlah sebab umur makcik masa tu dah 47.
Sekarang kalau makcik nak buat treatment pun, nanti takut anak Down Syndrome.”
Walaupun tidak lagi meneruskan ikhtiar tersebut, pasangan itu tetap bersyukur dengan kehidupan yang dikurniakan kepada mereka.
42 Tahun Kahwin Tanpa Zuriat, Tetap Bahagia Berdua
Apabila ditanya sama ada pernah mempertimbangkan untuk mengambil anak angkat, wanita itu menjelaskan mereka tidak berbuat demikian kerana sudah selesa menjalani kehidupan berdua.
Malah sehingga kini, hampir semua aktiviti harian dilakukan bersama. Keakraban mereka jelas memperlihatkan kasih sayang yang kekal utuh walaupun diuji tanpa kehadiran cahaya mata.
“Ke mana-mana pun berdua. Kalau pak cik pergi mana-mana seorang, mesti orang tanya, ‘Lagi seorang mana?'”
Kisah pasangan ini membuktikan bahawa kebahagiaan dalam rumah tangga bukan semata-mata diukur melalui kehadiran zuriat, tetapi juga melalui kasih sayang, kesetiaan dan sikap saling melengkapi sepanjang kehidupan.
View on Threads
Ramai Sebak Mendengar Kisah Pasangan Ini
Perkongsian tersebut mendapat perhatian ramai warganet yang rata-ratanya meluahkan rasa sebak selepas mendengar kisah pasangan berkenaan.
Setiap Rezeki Sudah Ditentukan Allah
Sesungguhnya, zuriat merupakan rezeki yang ditentukan oleh Allah SWT. Ada pasangan dikurniakan anak seawal perkahwinan, ada yang diuji menunggu bertahun-tahun, dan ada juga yang Allah anugerahkan kebahagiaan melalui bentuk rezeki yang lain.
Kisah pasangan ini mengajar bahawa reda, sabar dan kesetiaan merupakan nikmat yang tidak ternilai. Walaupun tidak dikurniakan cahaya mata, mereka tetap menjalani kehidupan dengan penuh kasih sayang dan saling menemani hingga ke usia senja.
Semoga pasangan ini terus diberikan kesihatan, ketenangan, kebahagiaan serta rahmat yang berpanjangan. Semoga kisah mereka menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk lebih menghargai pasangan dan menghormati setiap ujian yang dilalui oleh orang lain.
BACA LAGI : Datuk Siti Nurhaliza Taja 20 Pasangan Program IVF, Usaha Murni Bantu Miliki Zuriat Dipuji Warga Maya
Sumber: Threads
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di




