Gajet daripada satu sudut dilihat dapat membantu kanak-kanak dalam proses pembelajaran. Namun, andai tidak dikawal ia boleh mengundang masalah.
Antaranya seperti yang berlaku tidak lama dulu apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun terpaksa menjalani rawatan psikiatri kerana ketagih bermain tablet.
Perkara ini sekali gus membuktikan betapa seriusnya kesan jika anak-anak bermain gajet secara berlebihan. Jadi ibu bapa perlu mula mengambil langkah berikut untuk memastikan anak tidak ketagih bermain atau melayani telefon bimbit mahu pun tablet.
1. Jangan beli selagi tiada kepentingan
Jangan beli telefon atau tablet untuk anak-anak selagi tiada kepentingan untuk menggunakannya. Tidak perlu kenalkan mereka dengan komputer di awal usia apatah lagi game di internet.
2. Jangan main game depan anak
Walau pun anda suka bermain game tapi jangan tunjukkan ‘kegilaan’ itu di depan anak-anak. Bagaimana mahu menegur anak jika bapa sendiri pun berjam-jam melayan game.
Ads
3. Bawa ke majlis ilmu
Mahu memberi ilmu atau pengetahuan caranya bukan semata-mata memberi gajet. Adalah lebih baik ibu bapa terus membawa anak-anak ke majlis ilmu. Ajak anak mendengar tazkirah di masjid atau surau, kem, kelas agama atau mana-mana majlis ilmu.
4. Bawa anak beriadah
Jika tidak memberi gajet, ibu bapa mesti mencari aktiviti untuk memenuhi masa anak sebagai gantinya. Ajak anak berbasikal, beriadah di taman permainan atau apa-apa aktiviti di luar rumah agar mereka tidak bosan.
Ads
5. Ajak anak baca al-Quran
Daripada menghabiskan masa dengan telefon berjam-jam, hadkan masanya. Ajak pula anak baca al-Quran tapi pastikan ibu ayah turut membacanya bukan hanya menyuruh.
6. Hadkan masa menonton TV
Kesan menonton tv berlebihan sama juga dengan gajet, jadi hadkan masa menonton anak. Jangan dibiarkan saja anak-anak menonton kartun pagi, petang, dan malam. Kartun dikatakan merangsang minda kanak-kanak, tapi jika berlebihan, tak elok juga.
Ads
7. Tanamkan sifat zuhud
Tanamkan dalam jiwa anak-anak sifat zuhud dan tidak bermewah-mewah. Terus-terang pada anak-anak, ‘keluarga kita orang susah‘. Fahamkan anak-anak, jangan terpengaruh dengan anak-anak orang berada yang membeli telefon bimbit atau gajet yang mahal.
8. Kenalkan dengan buku ilmiah
Kenalkan anak dengan buku-buku ilmiah. Kalau boleh kurangkan mereka membaca buku kisah-kisah dongeng. Berikan mereka buku-buku ringkas sirah Nabi s.a.w. Ada banyak di pasaran. Bacakan pada mereka sehingga mereka minat. Ambil sedikit masa 10 minit sebelum tidur sebagai contoh cerita tentang Nabi s.a.w.
Sumber : tazkirah.net
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Jika bayi membesar dengan susu dan waktu tidur yang cukup, begitu juga dengan anak-anak kecil yang sedang membesar. Mereka memerlukan waktu tidur yang mencukupi terutama untuk ke sekolah dan dapat belajar dengan baik.
Macam mana nak pastikan anak cukup tidur dan lebih senang untuk tidur? Paling mencabar buat mak ayah. Apa kata cuba tip ini dulu.
Punca anak terlalu aktif susah tidur
* Takut kehilangan sesuatu terutamanya adik-beradik yang lebih tua biasanya beroleh ‘keistimewaan’ untuk tidur lebih lewat
* Rasa takut pada kegelapan
* Mengalami masalah untuk melakukan transisi daripada kesibukan siang kepada rutin malam yang lebih perlahan
Cara tidurkan anak yang susah tidur
Anak kecil memerlukan tempoh tidur antara 11-14 jam sehari. Ia penting untuk memastikan anak mendapatkan waktu rehat di siang dan malam hari yang mencukupi.
Ini kerana anak yang tidak mendapatkan tidur yang diperlukan oleh badan dan minda yang sedang membesar akan lebih kerap meragam dan mudah naik angin.
Mewujudkan tabiat tidur yang sihat dan mengelakkan sebarang rintangan waktu tidur pada si kecil mungkin mengambil masa dan memerlukan kesabaran yang tinggi. Tetapi percayalah ia adalah langkah penting perlu dilakukan oleh ibu bapa untuk kebaikan anak-anak.
#1. Konsisten dengan jadual bangun tidur
Mengikut jadual harian boleh menyebabkan anak menjadi letih pada masa yang sama setiap hari, jadi pastikan anda mematuhi jadual ini sebaik mungkin – walaupun pada hujung minggu.
#2. Biarkan anak aktif waktu siang dapat bantu anak susah tidur malam
Biarkan si kecil aktif – berlari keliling taman, bermain atau melakukan apa sahaja untuk membolehkan mereka membakar tenaga secukupnya pada siang hari. Ini menjadikan anak lebih mudah tidur apabila tiba waktunya.
#3. Cipta rutin waktu tidur yang santai
Jadikan waktu tidur sebagai waktu yang amat dinantikan anak dengan mewujudkan rutin menenangkan seperti bercerita, mendodoikannya dan memperbanyakkan pelukan dan ciuman.
#4. Bantu si kecil berehat, antara cara tidurkan anak yang susah tidur
Matikan semua gajet dan peranti, elakkan anak menonton televisyen, malapkan lampu dan mainkan lagu lembut serta menenangkan dalam sejam sebelum waktu tidur supaya fasa peralihan tidak begitu dramatik.
#5. Berikan masa mencukupi untuk rutin tidur
Pastikan rutin tidur seperti mandi, membaca buku, memeluk dan memberikan ciuman dapat diselesaikan sebelum waktu tidur anak. Jika sebaliknya, anda mungkin perlu memulakan rutin tidur lebih awal agar tidak melepasi waktu tidur mereka.
#6. Galakkan anak tidur sendiri dengan kesayangannya
Jika anak mempunyai bantal atau selimut kesayangan, teddy kegemaran atau mungkin menginginkan sentuhan peribadi ibu seperti baju T yang anda pakai pada hari tersebut, biarkan mereka untuk tidur bersamanya. Mempunyai objek kesayangan atau kegemaran di sisi boleh membantu anak susah tidur malam untuk melelapkan mata.
#7. Tidak perlu memaksa anak pejamkan mata segera
Sekiranya anak sudah berbaring di atas katil, anda tidak perlu memaksanya untuk lena dengan segera. Anda boleh mencuba perkara berikut untuk membuat anak anda terlena:
* Mendengar lagu
* Membaca buku
* Berbual dengan mainan kesayangan
* Memasang zikir bagi yang beragama Islam
Menghadapi anak terlalu aktif susah tidur sememangnya memerlukan kesabaran yang tinggi. Walaupun pada permulaan ia mungkin sukar untuk dilakukan, namun mengamalkan rutin tidur yang baik adalah penting untuk tumbesaran si kecil.
Perkahwinan ikatan dua hati dalam melayari alam rumah tangga. Dua insan yang berbeza hidup sebumbung dan berkongsi segala-galanya. Suami sebagai pemimpin dan ketua keluarga, manakala sang isteri sebagi suri yang menjadi pembantu kepada pemimpin.
Sebagai suri dalam rumah tangga, sudah pasti menuntut banyak pengorbanan dari seorang wanita yang bergelar isteri dan juga ibu. Justeru, sang suami patut menghargai setiap apa yang isteri lakukan.
Tidak perlu hadiah atau barangan mahal, memadai dengan perhatian, ucapan terima kasih dan paling penting menghargai apa yang isteri dan ibu kepada anak-anak mereka lakukan.
Perkongsian wanita ini cukup menggambarkan betapa penghargaan itu cukup bermakna. Hilang segala penat dan letih tatkala menerima ucapan yang cukup ringkas namun besar maknanya. Betapa ajaibnya ucapan TERIMA KASIH dari seorang suami itu buat seorang isteri.
Namun, tidak bermakna tidak perlu langsung sebarang hadiah dari suami untuk isteri. Sesekali buat kejutan tanpa perlu yang mahal-mahal pun pasti isteri akan gembira dan tersenyum lebar. Tak percaya cuba buat nanti ya.
Sebelum itu, jom baca perkongsian dari Intan Dzulkefli ini. Moga memberi manfaat kepada pasangan lain di luar sana.
Langit gelap seakan mahu meruntuhkan air. Resah hati apabila melihat jam, sudah tiba waktu menjemput anakanda solehah.
“Bismillahi tawakkaltu ‘alallah,” bisik bibir sambil menyarungkan kasut ke kaki Insyirah. Tiada pilihan. Kereta dibawa suami ke tempat kerja. Payung besar ada di bonet.
Berbekal payung kecil merah jambu bercorak strawberi kepunyaan anakanda, langkah kaki laju menapak menuju ke sekolah Maira sambil melayan Insyirah yang becok bertanya itu ini.
Tepat seperti yang dijangka, hujan titik demi titik mula turun waktu tiba di bawah pokok depan sekolah.
Apa lagi, berlarianlah sambil mendukung Insyirah menuju ke tepi sekolah ada rumah yang sudah direnovasi, berbumbung tambahan dan bertangga untuk berteduh.
MasyaAllah. Hujan terus lebat seolah dicurah-curah melalui tempayan yang sangat besar dan penuh air. Kami berdiri di atas tangga, taklah basah kuyup terkena air.
Dalam pada itu mata ini nampak satu persatu kereta ibubapa yang lain menjemput anakanda masing-masing.
‘Ya Allah, harapnya kakak tak menangis.’
Lama menunggu hujan reda. Sampai Insyirah yang mulanya ceria menyanyi mula menghulur tangan minta didukung sebab sudah penat berdiri.
Rasanya lebih kurang 45 minit berlalu, hujan sudah tidak terlalu lebat. Tetapi payah juga jika mahu mendukung Insyirah sambil pegang payung dan dukung kakak juga sebab tak ada tempat berteduh depan sekolah. Basah jawabnya nanti.
Insyirah yang baru 2 tahun tersenyum mengangguk sambil menunjukkan isyarat ‘bagus’. Ummi positif, insyaAllah kejap je nak ambil kakak. Bukan jauh pun. Nanti lari cepat-cepat semula ke adik.
Berlarian ke depan sekolah yang cuma sejengkal. Nampak kakak di sebalik pintu kaca sedang duduk di kerusi. Mukanya nampak penat, sedih pun iya juga.
Sebaik melihat ummi, dia tersenyum lebar dengan mata bersinar.
‘Allahu, kesian anak ummi,’
Sementara menunggu dia menyarung kasut, melayan pertanyaan dan cerita cikgu, ‘dum!’ berdentum bunyi guruh.
“Terima kasih cikgu, maaf saya lambat ambil Maira,” kata ummi.
Kemudian bergegas mendukung Maira menuju semula ke adik Insyirah. Sambil itu mulut Maira pun becok bertanya kenapa lambat menjemputnya hari ini.
Di belakang rumah tadi, nampak adik didukung.
“Menangis dia takut guruh..” ujar insan yang baik hati menenangkan anak solehah. Beliau tuan rumah yang duduk di dapur dengar adik menangis, lalu mendukung adik. Sebaik nampak ummi mendekat terus makin laju esakannya.
Ummi menurunkan kakak di tangga. Lalu mengambil adik. Memujuk keduanya. Jiran yang baik hati meminjamkan payung yang lebih besar.
“Terima kasih banyak-banyak ya…” ucap ummi terharu kebaikan hati wanita itu. Berjalanlah sambil mendukung adik dan kakak. Jarak tak jauh pun dengan rumah tetapi bila mendukung kedua puteri rasa jauh pula tiba-tiba.
Fuhhhhh.. Dalam keadaan hujan yang masih renyai, Alhamdulillah akhirnya sampai juga ke muka pintu rumah. Semput ummi mendukung hampir 30kg puteri-puteri solehah.
Masuk ke rumah, terus mandikan anak-anak.
Lepas itu contact suami. Bercerita panjang lebar tentang peristiwa sebentar tadi seperti tipikalnya para isteri- yang semua hal pun mahu bercerita dengan suami.
Panjang bercerita kisah lama tunggu hujan lebat di belakang rumah jiran sampai lenguh kaki.
“Sorry yang…” balas suami.
Si isteri terus menyambung lagi bercerita kisah Maira hampir menangis tunggu ummi di sekolah. Kisah anak seorang lagi menangis takut bunyi guruh. Dan tak dilupakan kisah ummi berlarian sambil mendukung anak-anak solehah yang boleh tahan beratnya.
Ting! Mesej masuk.
“TERIMA KASIH YANG…”
Zup!
Eh hilang sudah ayat panjang berjela-jela dalam kepala, yang rancak mahu bercerita lagi tadi.
Semput, penat tadi pun lesap juga. Tiba-tiba diganti rasa seronok seolah baru dapat perkhabaran gembira.
MasyaAllah….
Begitulah ajaibnya ucapan TERIMA KASIH dari seorang suami itu buat seorang isteri.
Simple sangat ayatnya. Namun besar sangat impaknya buat seseorang yang sayangkan kita.
TERIMA KASIH.
SORRY.
LOVE YOU.
Tiga ayat ringkas tetapi mampu mengubah emosi isteri sekelip mata. Fitrah wanita dia suka baca dan dengar kata-kata azimat seperti ini.
Sebab itu bila pasangannya ambil mudah, jarang mengucapkan kata-kata ini, mereka akan membebel, mereka memberontak, mereka marah. Muka mereka kelat.
Kerana apa? Sangka mereka kalian suami tak nampak dan tak pandai menghargai pengorbanan mereka.
Kalian tak sayang mereka.
Iya, kadang hal tersebut remeh sangat, seperti menyediakan makanan yang ringkas untuk makan malam, tetapi percayalah apabila ucapan penghargaan TERIMA KASIH suami ucapkan dengan senyuman, dalam hati mereka berbunga-bunga ibarat ladang Tulip KeuKenhof tahu?
Sebab apa? Sebab bagi wanita bergelar isteri, penghargaan suami itu juga adalah tanda cinta.
Dia suka nak dengar 3 ayat yang ringkas ini diucapkan kepadanya.
‘Terima kasih masakkan saya makanan.’
‘Terima kasih jagakan anak-anak.’
‘Terima kasih sebab tolong jemput anak-anak sekolah.’
‘Sorry susahkan sayang.’
‘Love you yang…’
Silap-silap tiba-tiba basah pipinya bila suami ucap kata-kata sebegitu.
Kalau kalian suami jarang ucapkan ayat-ayat ni, cuba lazimi mulai sekarang. Lihatlah sendiri kesannya bagaimana. InsyaAllah kalian akan nampak perubahan pada mood isteri, intonasi suaranya, layanannya pada anak-anak. Taklah asyik nak marah je memanjang.
Tak percaya cuba dulu.
Jujur, kiranya isteri asyik marah-marah, kurang senyum, asyik tak ada ‘mood’ , malas nak berbual, cuba koreksi diri. Mungkin itu kerana kalian sebagai suami terlalu jarang menunjukkan penghargaan melalui kata-kata.
Betul, isteri berkhidmat kepada suami dan anak-anak kerana inginkan redha Allah semata. Tetapi jangan lupa, mereka juga manusia biasa yang suka dibelai, dipuji, dipeluk, disayang. Emosi mereka memerlukan semua itu.
Mereka mengungkit kerana mereka terlalu mahukan kata penghargaan dari lelaki yang mereka cinta.
Kalau bukan dari suami mereka mengharapkan semua ini.. Siapa lagi kan?
Sayangnya kadang hal remeh sebegini ramai suami terlepas pandang hingga kadang isteri rasa dirinya ibarat pengemis yang meminta-minta.
Yang dikatakan para orang alim tentang hakikat suami perlu memberi nafkah batin, bukan semata bab jimak ya tuan-puan. Hal sebegini juga salah satu daripadanya.
Itulah dia, menggembirakan dan menenangkan hati isteri dengan kata pujian dan penghargaan. Kata sokongan dan kasih sayang.
Every woman deserves a man that will value her, respect her, that loves her and above all that will PROVE it to her.
Isteri yang dihargai akan menghargai. Isteri yang berasa aman tenteram hatinya akan mententeramkan dan menyejukkan hati suaminya. InsyaAllah.
After all marriage is about mutual respect, a healthy dose of admiration and never ending portion of love and grace. – Fawn Weaver
Intan Dzulkefli
Memori payung strawberi.
010419
#intandzulkefli
#notabaitulmuslim
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Pelakon Fattah Amin mengakui isterinya, Fazura adalah satu dalam sejuta dan dia suami yang teramat bertuah kerana memiliki Fazura.
Menerusi Podcast bersama Pa&Ma, Fattah berkongsi kisah kehidupan bahagianya bersama isteri dan anak kesayangan mereka, Nur Fatima Aisya.
Malah suami penyayang ini turut berkongsi sikap sebenar Fazura di rumah yang membuatkan dia terus jatuh hati hari demi hari.
“Sudah tujuh tahun dengan dia (Fazura), saya memang sangat sayangkannya kerana dia suka hargai suami, bukan saya sahaja tetapi orang sekelilingnya.
“Fazura ni dia seorang yang sangat menghargai suami dan orang sekeliling dia. Kalau birthday kawan-kawan dia celebrate, suami dekat rumah jangan cakaplah.
“Paling saya sangat-sangat terharu dia sangat murah hati dengan orang sekeliling dia.
“Saya sangat terinspirasi dengan Fazura sebab dia sangat ikhlas dan tak harapkan apa-apa balasan pun. Dan sebagai seorang suami, banyak sangat pengorbanan yang dia lakukan.
“Kalau ikutkan sebenarnya dia boleh duduk rumah, saya seorang je bekerja pun dah cukup tapi dia tetap nak bekerja dan buat bisnes sama-sama,” katanya berkongsi.
Tak miss senduk nasi untuk suami
Ketika ditanya mengenai diri Fazura sebagai isteri di rumah, Fattah mengakui isterinya adalah satu dalam seribu.
“Dekat rumah pula dia sebenarnya kalau saya duduk makan, dia tak pernah biarkan saya senduk nasi sendiri. Sebolehnya dia akan buatkan semua itu untuk saya.
“Dia tak nak saya sendukkan nasi, kalau boleh dia nak buat. Saya rasa dia one in million dan saya hargai layanan dia untuk saya.
“Saya sangat bertuah memiliki Fazura sebagai isteri. Apa yang dia buat selalunya lebih dari apa yang saya buat, atau untuk kawan-kawan dia jugak.
“Sebagai suami ni saya jenis tak kisah pun nak sendukkan nasi sendiri tapi dia everytime without miss, mesti dia ada. Walaupun dia dah makan, dia akan duduk sebelah saya. Saya rasa bertuah miliki dia,” tambah Fattah lagi.
Fattah juga tidak lokek berkongsi kisah Fatima yang banyak mengikut jejak ibunya terutama dalam soal bergaya.
Terdahulu Fattah dan Fazura mendirikan rumah tangga pada November 2017 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Nur Fatima Aisya yang kini berusia 4 tahun.
Lisbon Hotel Melaka menawarkan pengalaman tenang dan mewah di Perkampungan Portugis. Dengan reka bentuk ala Mediterranean, kolam infiniti dan restoran Festa yang eksklusif, ia destinasi ideal untuk percutian keluarga.