Pernah tak rasa duit ada sikit je macam tak cukup, tapi tup tup boleh bertahan sampai hujung bulan. Bila cek balik, mungkin disebabkan niat kita yang suka bersedekah dan menyenangkan isteri dan anak-anak.
Misalnya seperti saudara kita ini, Mohd Fadli Salleh yang selama 9 tahun ini bertungkus lumus bekerja siang dan malam demi membahagiakan isteri dan anak-anaknya, malah tidak putus rezeki yang beliau dapat disebabkan niat murni beliau. Jom ikuti perkongsiannya.
Sejujurnya, 9 tahun pertama perkahwinan kami, sebentuk cincin emas murah pun tak pernah aku hadiahkan.
Dan puan isteri aku tak pernah merungut, tak pernah memujuk, jauh sekali merayu meminta. Kerana dia tahu kemampuan aku.
Hampir 10 tahun berkahwin, anak nak masuk 4 dah, aku tak pernah bawa keluarga aku melancong ke mana-mana. Sekadar ke pasar malam, ke supermarket dan tepi pantai sahaja.
Kawan-kawan dia, adik-beradik, saudara mara pakat tayang emas baru, puan isteri senyum dan diam sahaja. Sekali pun tidak pernah meminta-minta.
Saat orang lain melancong ke sana ke sini waktu cuti, kami hanya balik ke kampung. Paling kuat pun ke Pantai Batu Buruk tengok ombak. Anak nak naik kereta kuda pun tak boleh.
Mahal. Ayah tak mampu. Kita tengok saja nak ya. Nanti ayah ada duit kita naik.
Anak-anak ajak pergi pulau, duduk resort dan mandi kolam pun ibunya akan bisik kat anak,
“Arshad, Asyraff dan Amar doakan tau. Agar rezeki ayah mencurah. InsyaAllah bila ada rezeki ayah bawa kita. Doa sungguh-sungguh”.
Aku yang mendengar hujung telinga ini terkoyak teruk emosi dalaman. Cuma tak luahkan sahaja. Dalam jiwa, menangis berkoyan air mata.
Rasa loser gila. Rasa tak berguna. Rasa bukan seorang suami dan ayah yang baik untuk isteri dan anak-anak.
Aku nak sediakan segala. Aku nak tunaikan apa jua permintaan puan isteri dan anak-anak, tapi aku tak mampu.
Gaji diploma, duduk di kota raya, dengan bebanan hutang peribadi, hutang kereta, hutang rumah, bukan cabaran kecil.
Tolak itu tolak ini, balance tak sampai seribu. Nak kena berjimat sampai akhir bulan. Silap percaturan pasti kena berhutang. Sekali berhutang, akan efek perbelanjaan bulanan seterusnya pula.
Nak bayar roadtax terpaksa main kutu rm50 sebulan. Minta tarikh hari roadtax mati. Aku rm50, puan isteri rm50. Sekali tayar botak, tabung haji jadi penyelamat.
Tabung haji potong rm50 sebulan tak pernah simpanan cecah RM1k. Kejap-kejap cucuk, kejap-kejap cucuk.
Ads
Kerja siang malam untuk duit lebih
Semua peluang kerja aku buat. Jual simkad, jual air, jual kasut, pelayan kedai makan. Semua aku rembat.
Aku pernah listkan dua tahun lepas, aku buat 16 kerja berbeza untuk mengubah ekonomi keluarga. Pendek kata, asal halal aku akan buat. Penat tolak ke tepi.
Pulang sekolah jam 7 malam, jam 8 malam lepas solat maghrib terus keluar pergi jual kasut bundle. Pulang jam 4 pagi. Dapat la gaji RM30 satu malam. Kadang tak ada pelanggan, tak ada gaji.
Pulang kepenatan, esoknya perlu ke sekolah lagi. Habis musim kasut jadi pelayan kedai makan. Kadang dapat gaji RM10-RM30, kadang dapat makan free tanpa gaji. Pun kerja malam dari jam 8 pagi hingga 3 pagi.
Mujur aku mengajar petang masa tu. Lepas Subuh sambung tidur. Bangkit jam 11 pagi bersiap ke sekolah pula. Begitu rutin bertahun lamanya.
Sedikit demi sedikit aku menabung. Sedikit demi sedikit aku menyimpan. Aku punya hasrat dah lama. Lama sangat-sangat.
Nak hadiahkan isteri barang kemas. Nak bawa anak melancong puas-puas.
9 tahun bukan tempoh singkat. Bukan sedikit perit, luka, dan airmata yang aku tahan dan telan sendirian selama ini.
Capai impian belanja isteri dan anak-anak
Akhirnya, pada anniversary kami ke sembilan pada Jun tahun 2018, buat kali pertama aku memimpin tangan ini; tangan yang aku nikahi 9 tahun lalu masuk ke kedai emas untuk memilih apa jua barang yang dia suka.
Ads
Terkejut, terharu puan isteri usah cerita. Hampir saja airmata tumpah dalam kedai emas kerana beliau tak sangka aku nak bawanya masuk ke kedai itu.
Pun masih, betapa setia dan memahaminya seorang isteri, bilamana aku minta untuk pilih barang kemas kesukaan dia cuma memilih sebentuk cincin belah rotan yang harga lebih kurang RM400 sahaja.
Betapa beliau risau akan membebankan aku. Betapa beliau runsing aku tidak bersedia untuk itu.
Hari tersebut, aku suruh ambil rantai emas harga lebih 6k. Geleng kepala dia tengok harga, siap suruh trade in rantai lama.
Aku senyum dan larang trade rantai lama. Sayang. Bahkan aku suruh pilih seutas lagi gelang emas lebih 2k harga.
“Ambillah. Abang dah bersedia lama untuk saat ini. Abang menahan diri dari berbelanja, abang menyimpan, abang main kutu, abang berjimat cermat bertahun-tahun hanya untuk hari ini.
Usah risau. Semua dalam kawalan”.
Saat tu je bergenang mata puan isteri lantas meramas erat tangan aku. Tuan kedai terkebil-kebil saja melihat situasi kami.
‘Drama apakah ini?’ agaknya itu yang bermain di dalam kepalanya. 🤣🤣
Rezeki datang mencurah-curah
Dari hari itu, dari tarikh itu, Tuhan mula melorongkan rezeki mencurah-curah. Apa saja aku buat, alhamdulillah berjaya.
Datang seorang demi seorang kawan, mereka yang berjaya tunjukkan jalan dan buka peluang untuk aku terus maju jaya.
Ads
Agaknya inilah rezeki yang orang selalu sebut, rezeki belanja untuk isteri. Dalam rezeki suami, terselit rezeki isteri.
Bahkan mungkin berkat doa anak-anak yang memohon penuh tulus agar Tuhan buka jalan rezeki untuk ayahnya semata-mata mereka hendak tidur hotel dan mandi kolam seperti keluarga lain.
Dan tanggal Disember 2018, setelah gigih menyimpan, akhirnya buat pertama kali aku mampu bawa anak isteri, mak mertua dan adik-adik ipar melancong ke Kundasang, Sabah.
Kawan-kawan…
Jika hari ini kalian belum berjaya, jika hari ini kalian belum mampu, jangan pernah menyerah kalah.
Terus usaha dan usaha sahaja. Terus yakin dengan doa dan sedekah. Dua senjata ajaib yang tak mampu mana-mana saintis di dunia rungkai kesannya.
Aku menulis hari ini bukan untuk menunjuk-nunjuk. Jauh sekali nak bercerita aku dah berjaya, kaya dan seumpamanya.
Sehingga hari ini aku masih gigih berusaha untuk mengubah nasib diri. Sehingga hari ini aku masih banyak menahan diri dan menyimpan untuk masa depan.
Aku belum berjaya. Tapi aku sedang berusaha ke itu. Aku tak pernah berhenti walau sekali. Aku masih gigih dan berjuang, bukan goyang kaki bersenang-lenang.
Semoga sedikit perkongsian ini membuka mata dan memberi inspirasi kepada mereka yang ingin mengambil ‘isi’ di dalam tulisan ini.
Aku doakan kalian semua akan berjaya dan terus maju jaya. Doakan aku juga ya.
Ingatlah firman Allah,
“Tuhan tidak mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu sendiri yg mengubahnya”.
Hidup ini keras dan memeritkan bagi sebahagian kita. Jangan mengalah, sentiasa bangkit setiap kali jatuh, jangan lupa sedekah dan doa, pasti akan ada jalan terbuka luas terbentang di depan sana.
Ribut yang paling dahsyat pun pasti akan berhenti. Dan sebaik ia berhenti, muncullah pelangi. Begitu juga ujian hidup ini.
Terus kental bertahan. Bahagia dan kejayaan sudah menghampirimu.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Namanya tidak pernah tercicir dari senarai 10 pelajar terbaik di sekolah. Usaha gigihnya yang sentiasa mengulang kaji pelajaran dan tidak suka membuang masa antara faktor yang membolehkan dia mencapai kejayaan cemerlang dalam UPSR tahun lepas.
Muhammad Zaki Mahdi bin Chamam, muncul sebagai anak Melayu pertama yang memperoleh 8A di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC).
“Zaki merupakan seorang yang sensitif dan boleh dikatakan manja. Selagi kerja rumah atau hasrat dia tidak saya turut selagi itu dia tidak akan berhenti berusaha. Dalam erti kata lain dia seorang yang konsisten dan tahu apa yang dia nak.
Dia juga lebih suka habiskan masa dengan membaca buku cerita pada waktu lapang. Sekiranya kami ke Ampang Point, kedai buku Popular sudah menjadi keutamaan untuk dia singgah. Selain itu, di rumah dia ada jadual belajar sendiri yang memang dia akan ikut sepenuhnya.
“Malah, dia rajin buat peta minda dengan pen warna-warni. Zaki juga gemar membaca buku cerita. Untuk memperbaiki bahasa Mandarin saya bawa dia ke kedai buku Popular dan belikan buku cerita yang dia pilih sendiri. Setiap buku cerita yang dibeli pasti Zaki akan meminta saya balut terlebih dahulu.
“Seminggu 3 kali mereka akan ikuti kelas bimbingan untuk mata pelajaran UPSR. Saya menyediakan mereka dengan pelbagai jenis kamus sebagai bahan rujukan. Saya juga beli kan buku latih tubi sebagai persediaan dan saya akan tetapkan masa seperti peperiksaan sebenar agar mereka terbiasa untuk menyiapkan soalan dalam masa yang ditetapkan. Selain dari itu saya juga menyediakan whiteboard untuk mereka gunakan sebagai alat bantuan agar dapat ajar satu sama lain,”jelas Nurhidayu ibu kepada si kembar Muhammad Aqil Mahdi dan Muhammad Zaki Mahdi ketika ditemu bual oleh Majalah Keluarga baru-baru ini.
Kembar tidak bermakna minat dan pemikiran sama. Namun satu kelebihannya mereka punya hati dan perasaan yang sama. Saling menyayangi dan tidak wujud perasaan iri hati jauh sekali cemburu biarpun salah seorang daripada mereka lebih berjaya.
“Waktu mengambil keputusan UPSR baru-baru ini, saya dari awal sudah tahu keputusan mereka kerana menerima melalui SMS. Sebagai ibu, saya rasa gembira dan terharu sehingga menitis air mata. Cuma saya kena bijak main peranan supaya tidak ada yang terasa hati. Walaupun abang tidak mendapat A dalam Bahasa Mandarin, tetapi dia seolah olah dapat menjangka yang adiknya pasti mendapat keputusan lebih baik dan dia turut rasa bangga atas pencapaian adiknya. Keputusan Zaki mendapat 8A’s juga semuanya atas izin Allah SWT. Saya selalu mengingatkan Aqil dan Zaki, UPSR hanya permulaan, mereka perlu tempuh ujian yang lebih besar lagi selepas ini. Justeru, sebagai ibu, saya sentiasa mendoakan anak-anak saya akan mendapat keputusan yang cemerlang juga di PT3 dan SPM.
“Bab layanan tidak timbul soal berat sebelah kerana sejak dahulu lagi saya berusaha sedaya upaya untuk memberi layanan sama rata baik abang mahupun adik. Soal gaduh itu perkara biasa nama pun adik- beradik kan. Oleh kerana mereka belajar di SJKC, setiap Sabtu dan Ahad pagi mereka akan belajar agama dan mengaji Al-Quran di Azraq Center. Selepas itu kami akan melakukan aktiviti bersama seperti bermain badminton di Sport Planet, roller blade di Taman Cabaran Putrajaya, berenang di rumah. Aktiviti seperti ini setiap minggu saya akan ganti-ganti agar mereka tidak bosan.
“Pada hujung minggu juga saya akan bawa Aqil Zaki untuk berjumpa atok dan nyang mereka di Kota Warisan Sepang. Bila di rumah atok pasti Tok Wan akan masakan kari ayam lauk kegemaran Aqil Zaki. Di sana mereka juga akan meluangkan masa bermain bersama sepupu,” ujar Nurhidayu Kamaludin sambil memberitahu anaknya gemar makan bijirin dengan susu sebelum pergi sekolah dan setiap hujung minggu dia akan bawa anak-anak ke bakery untuk memilih roti kegemaran mereka sebagai bekal sekolah.
Memegang jawatan sebagai Regional Sales Manager, GeoTeric di salah sebuah syarikat oil & gas services, Nurhidayu bagaimanapun tidak mahu kerjaya menyebabkan masanya dengan anak-anak terbatas. Bahkan, setiap kali menjelang peperiksaan baik dia mahupun suami, Chamam Zulkarnen yang bertugas sebagai Freelance Konsultant Geophysicist sentiasa menadah telinga dan membuka mata untuk anak-anak andai diperlukan.
“Satu yang penting apabila menghantar anak-anak ke sekolah jenis kebangsaan adalah menyediakan pelbagai kamus supaya mereka dapat banyak manfaat daripadanya. Saya dan suami tiada pengetahuan dengan Bahasa Mandarin, jadi kami kena banyak guna kamus untuk membantu mereka. Sebab itu saya belikan pelbagai kamus kerana dapat memahami banyak perkataan baru.
“Dua minggu sebelum UPSR, ibu saya iaitu nenek kepada Aqil dan Zaki yang telah pun bersara merupakan seorang guru bahasa Melayu, turut membantu mereka mengulang kaji dalam subjek bahasa Melayu. Sehari sebelum peperiksaan, saya mengingatkan mereka untuk menelefon nenek dan atok agar mendoakan kejayaan buat mereka.
“Ketika hari peperiksaan UPSR saya memberi mereka motivasi dengan menghantar mereka ke sekolah dan teman mereka ulang kaji di dewan sekolah sehingga lah loceng berbunyi. Saya cuma berpesan, lakukan yang terbaik dan berserah pada Allah. Sekiranya panik ingat pada Allah dan berdoa lah.
“Kami tidak pernah bertanya bagaimana kertas soalan peperiksaan pada hari tersebut sehingga lah semua kertas UPSR telah selesai sepenuhnya. Yang sudah selesai tidak perlu dibicarakan. Fokus pada kertas yang seterusnya,” ujar Nurhidayu lagi sambil memberitahu anak-anaknya juga seperti kanak-kanak lain yang berminat main game dan mereka hanya boleh berbuat demikian pada hujung minggu selepas selesai kerja sekolah dan membasuh kasut.
Ditanya mengenai pemakanan untuk anak-anaknya, akui Nurhidayu selain bijirin dan susu, menu sayur antara yang wajib ada di meja makan baik siang mahupun malam.
“Sejak dari kecil mereka suka makan sayur. Sayur kegemaran mereka seperti bayam, kacang panjang, sawi dan kangkung. Susu pula minuman pilihan selepas makan malam dan sarapan mereka. Setiap minggu saya akan masak tempe dan tauhu goreng buat mereka. Selain dari itu Zaki juga suka sangat makan telur mata separuh masak. Alhamdulillah mereka pengemar sayur tetapi kurang gemar makan daging dan tidak makan seafood. Nasi goreng cina dan nasi goreng telur menjadi pilihan bila makan di luar.
“Saya jadikan waktu makan dan hujung minggu sebagai waktu bersama-sama keluarga. Oleh itu pada waktu makan malam saya akan sentiasa bertanya kegiatan dan kejadian yang berlaku seharian di sekolah. Masakan spegetti bolognise yang saya masak merupakan makanan kegemaran Zaki. Oleh itu hujung minggu saya akan hidangkan untuk mereka.
“Buah yang mereka makan hanya Buah Naga yang berwarna merah. Buah ni dari kecil mereka makan sampai lah sekarang. Kalau buah lain mereka akan makan kalau dipaksa. Kalau bab makan mereka banyak persamaan tetapi hobi sedikit berbeza, Aqil suka membaca komik dan aktiviti lasak manakala Zaki pula suka membaca buku terutama novel selain melukis.
Ditanya sama ada akan terus belajar di SJKC selepas ini, Zaki hanya menggelengkan kepala kerana dia kini sudah ada impian lain iaitu ingin menyambung pengajian di Sekolah Aminuddin Baki bersama abangnya, Aqil jika ada rezeki dan terpilih.
“Sebagai ibu, saya tidak akan memaksa mereka untuk sambung belajar di sekolah menengah cina. Saya akur dengan pilihan mereka untuk tidak sambung belajar di sekolah menengah cina. Saya sendiri telah melihat bagaimana mereka luangkan masa mengulangkaji dan cuba memahami mata pelajaran yang tidak mampu saya ajar sendiri.
“Saya cuma boleh support mereka dengan membayar kelas tambahan. Kami hanya dapat mengajar mereka subjek Bahasa Melayu dan English sahaja. Matematik dan Sains semua nya dalam bahasa Mandarin.
‘Satu lagi, saya dan suami elakkan gajet pada anak-anak. Cuma apabila mereka capai kejayaan dalam UPSR jadi saya belikan hadiah telefon kerana itu yang mereka inginkan. Cuma jika mereka mahu belajar bahasa Mandarin, saya berikan telefon saya kerana ada apps di dalamnya yang boleh membantu mereka. Malah, kami tahu siapa kawan mereka dan dengan siapa mereka bergaul. Saya suka mereka bawa kawan ke rumah, saya akan memasak dan mereka akan makan bersama.
“Alhamdullillah mereka hargai pengorbanan yang kami lalukan buat mereka. Terima kasih Zaki dan Aqil telah berusaha dan juga membuktikan di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Saya berpesan kepada mereka agar lakukan yang terbaik untuk PT3 dan SPM agar terus mengharumkan nama bangsa Melayu,”ujar Nurhidayu lagi.
Tip belajar dari Zaki
Selepas balik sekolah pastikan di rumah luangkan masa untuk membaca buku dan buat ulang kaji sambil menyiapkan kerja sekolah.
Buat nota ketika cikgu tengah ajar agar boleh baca pada minggu peperiksaan.
Kalau tidak faham terus bertanya pada guru atau kawan supaya tidak ketinggalan.
Banyakkan buat latihan.
Banyakkan membaca kamus berbeza-beza dalam dwi bahasa untuk mendapat pengetahuan dan perkataan baru.
Buat peta minda dan nota kaki untuk lebih mudah memahami.
Sumber: Majalah Keluarga Jan-Feb 2018
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Menerusi akaun Instagram milik pelakon Datin Rebecca Nur Al-Islam, baru-baru ini telah membuka peluang pekerjaan kepada bangsa Melayu untuk menjadi pembantu dan pengasuh untuk mengurus 8 orang anaknya.
Datin Rebecca memaklumkan jenis pekerjaan dan jumlah gaji yang ditawarkan berserta syarat-syarat lain yang menjadi keutamaannya untuk memilih pembantu dan pengasuh anak-anaknya.
“Mummybecca nak tanya, sesiapa yang berminat nak kerja sebagai pembantu untuk anak anak Mummybecca di rumah?
“Gaji atas RM1,000, 3 bulan sekali cuti, after 3 month naik gaji.
“Waktu bangun 6pagi-solat dan menjaga anak-anak serta mengemas rumah but more jaga anak,”
“InsyaAllah kemana saya berjalan, saya sentiasa bawa anda juga,”tulisnya di instagram.
Jom turut serta bersama e-keluargagader Bonding Day #dirumahaje secara virtual untuk anda merasai seperti berada di Ripleys Believe It or Not Adventureland Genting Highlands! Bahkan anda juga layak menerima 2 tiket Ripleys Believe It or Not Adventureland Genting Highlands secara PERCUMA untuk anda sekeluarga.
Bukan itu sahaja malah banyak lagi aktiviti menarik yang boleh dilakukan bersama-sama sepanjang program ini. Jadi jangan tunggu lagi, tempat terhad! Jom daftar segera di sini: http://www.wasap.my/60169647520
Perkhabaran duka. Hilang satu lagi permata yang mendidik kita tentang agama. Pendakwah terkenal, Datuk Ismail Kamus meninggal dunia kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi.
Perkara itu disahkan menerusi Facebook rasmi pendakwah berkenaan.
“Dukacita dimaklumkan Tuan Guru Datuk Ismail Kamus meninggal dunia sebentar tadi. Al-Fatihah,” menurut kenyataan di Facebook itu.
Sementara itu, laman Facebook Pusat Rawatan Islam Darussalam Malaysia dibanjiri ucapan takziah daripada orang ramai yang berkongsi rasa sedih dengan pemergian Allahyarham.
Ia turut memaklumkan Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya di kediaman di Ampang, dekat sini, pada jam 12.30 tengah malam tadi.
“Semoga Allah SWT menempatkan Allahyarham di tempat yang mulia di sisi Allah SWT,” katanya.
Menurut EXCO Penerangan Pusat Rawatan Islam Darussalam Malaysia, Abdul Hadi Jusoh, veteran Pas itu dimasukkan ke wad sejak 26 April disebabkan keadaan kesihatan yang agak lemah.
Allahyarham yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia selama sepenggal pada 1999 hingga 2004 dan pernah memegang jawatan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.
Pendakwah itu kemudian dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada hari sama dan didapati terdapat jangkitan di bahagian paru-paru.
Pada 9 Mei tahun lalu, Allahyarham yang juga Pengasas dan Penasihat Pusat Rawatan Islam Darussalam Malaysia dilaporkan menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN).
Allahyarham dilahirkan pada 2 Disember 1948 di Kampung Batang Rening , Ulu Selangor.
Mendapat pendidikan awal di Sekolah Arab Batang Kali sebelum meneruskan pengajian ke Ma’ahad Hisyamuddin, Klang di mana beliau berguru dengan seorang ulama tersohor, Asy-Syeikh Mahmood al-Arif al-Bukhori.
Allahyarham kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Kolej Islam Klang dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan mendapat ijazah Sarjana Muda Syariah dengan kepujian pada 1976.
Allahyarham juga pernah menuntut di Beaver College Pennsylvania, Amerika Syarikat.
Allahyarham pernah bertugas sebagai guru, Pegawai Penyelidik, Pegawai Dakwah selain bertugas selama 15 tahun di pelbagai jabatan seperti di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan Pusat Islam.
Jawatan terakhir Allahyarham ialah sebagai Pakar Rujuk di Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) Pusat Islam sebelum bersara secara pilihan.
Allahyarham juga adalah seorang perunding motivasi dan pendakwah bebas dengan memberi ceramah agama di seluruh dunia seperti Brunei Darussalam, Indonesia, Thailand, Singapura, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada dan negara Asia Barat.
Sementara itu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut mengucapkan takziah kepada keluarga dan anak murid Allahyarham.
“Semoga sabar dan reda dengan ujian ini.
“Rasa sedih menyelubungi suasana tengah malam ini di bulan Ramadan al-Mubarak, tatkala mendapat perkhabaran pemergian ustaz Datuk Ismail Kamus ke rahmatullah.
“Semoga Allah mencucuri rahmat kepada Allahyarham, diterima amal soleh, diampunkan segala dosanya dan ditempatkan di kalangan para solihin,” katanya.
Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut berkongsi rasa sedih dengan pemergian Allahyarham Ismail.
Di akaun Twitternya, Azmin mendoakan agar Allahyarham dikurniakan husnul khatimah dan diberikan ganjaran syurga Allah SWT.
Difahamkan, jenazah akan disolatkan di Masjid As-Sobirin, Lembah Keramat, Kuala Lumpur dan dikebumikan di Tanah Perkuburan As-Sobirin, pagi ini.
Sumber: Berita Harian Online
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di