
Tular di media sosial kisah seorang lelaki yang dikenali sebagai ‘Abang Minyak Hitam Jalanan’ apabila mencuri perhatian ramai kerana sikapnya yang konsisten membantu orang lain tanpa berkira, walaupun sekadar membaiki motosikal di tepi jalan.
Siapa sangka, pertolongan yang dilakukan Mohd Yusof Mohd Noor tanpa meminta sebarang balasan akhirnya dibalas dengan rezeki tidak disangka-sangka apabila menerima tajaan dua tiket penerbangan umrah daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Dr Zulkifli Hasan.

Peluang itu cukup bermakna buat Mohd Yusof kerana membuka ruang untuk merealisasikan hasrat lamanya membawa ibu ke Tanah Suci.
“Alhamdulillah, semua ini rezeki daripada Allah. Terima kasih kepada Dr Zulkifli dan TV Al-Hijrah atas peluang ini.
“Sejak tahun lepas lagi saya memang berniat nak bawa mak ke umrah,” ujarnya.
Abang Minyak Hitam Jalanan Dapat Rezeki Umrah
Mohd Yusof berkata demikian ketika ditemui SinarPlus di majlis Sidang Media Aidiladha TV AlHijrah yang berlangsung di Saloma, Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Mohd Yusof turut berkongsi luahan menerusi hantaran di Facebook miliknya.
“Hari ini aku dijemput dari TV AlHijrah, disebabkan mak aku memang suka tengok TV AlHijrah, aku datang.
“Aku pun sampai duduk makan, datang bos besar TV AlHijrah sebelah aku, dia cakap dengan aku – Usop awak pernah pergi umrah ke haji ke, saya tak pernah lagi tuan.
“Dah nak habis makan, sekali nama aku dipanggil untuk naik atas pentas, rupanya Menteri Agama & bos besar TV AlHijrah bagi tiket untuk pergi umrah.
“Allahuakbar Alhamdulillah rezeki, aku terus Whatsapp mak bagi tahu dia – Mak… Usop nak mak pergi umrah, Alhamdulillah sebelum ini ada niat untuk mak, Alhamdulillah ini rezeki mak,” tulisnya.

Bantu Orang Kerana Allah, Bukan Minta Balasan
Walaupun kini menjadi perhatian ramai, Mohd Yusof menegaskan segala yang dilakukan selama ini bukan untuk mencari balasan.
Selama tujuh tahun menggerakkan inisiatif ‘Minyak Hitam Jalanan’, dia hanya menjalankan amanah daripada infak orang ramai untuk membantu mereka yang memerlukan.
“Saya buat semua ini kerana Allah. Saya tak minta apa-apa balasan. Ini tanggungjawab saya untuk salurkan bantuan,” ujarnya.
Berhati-Hati Urus Duit Infak Orang Ramai
Pada masa sama, Mohd Yusof mengakui sentiasa berhati-hati dalam menguruskan sumbangan yang diterima, malah tidak berani mengambil dalam jumlah yang banyak kerana bimbang tersalah guna.
“Saya juga tak berani ambil duit infak banyak-banyak sebab takut tersalah guna atau gelap mata.
“Apa yang saya buat ini sekadar membantu setakat mana yang mampu sahaja,” katanya lagi.
Dalam pada itu, dia cukup berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang tidak putus-putus memberi sokongan serta mendoakan usahanya.
Baginya, masih ramai lagi individu lain yang melakukan kebaikan, cuma tidak ditonjolkan.
“Kadang-kadang benda nampak kecil, tapi besar maknanya,” katanya.
Sokongan daripada isteri juga menjadi antara kekuatan utama dalam meneruskan usaha tersebut.
Tajaan Umrah Jadi Penghargaan Buat Kebaikan
Sementara itu, Dr Zulkifli berkata, tajaan berkenaan diberikan selepas mengetahui Mohd Yusof belum pernah menunaikan umrah sebelum ini.
“Saya tanya, pernah pergi haji atau umrah? Jawapannya belum.
“Jadi kita hadiahkan dua tiket penerbangan umrah. Siapa yang ingin dibawa, terpulang kepadanya,” katanya.
Kisah Bantu Pemuda Cina Tengah Malam
Sebelum ini, Mohd Yusof tular apabila membantu seorang pemuda Cina dikenali sebagai Dicky yang mengalami kerosakan motosikal di tepi jalan sekitar tengah malam.
Walaupun kos pembaikan mencecah RM145, pemuda itu hanya mempunyai wang yang cukup untuk kegunaan sendiri.
Tersentuh dengan keadaan tersebut, Mohd Yusof mengambil keputusan untuk tidak mengenakan sebarang bayaran dan menggunakan wang infak bagi menampung kos berkenaan.
Kisah ini memberi makna besar tentang keikhlasan dalam membantu orang lain. Biarpun bantuan yang diberi nampak kecil pada pandangan mata, namun besar nilainya buat mereka yang sedang memerlukan.
Lebih indah, kisah Mohd Yusof menjadi peringatan bahawa rezeki tidak semestinya datang dalam bentuk wang. Ada masanya, rezeki hadir dalam bentuk doa, penghargaan dan peluang untuk menunaikan impian yang sudah lama disimpan dalam hati.
BACA LAGI : Sheikh Muszaphar Tunaikan Impian Ibu Ke Tanah Suci, “Ibu Termimpi-mimpi Nak Pergi”
Sumber : Sinar Plus
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di




