Adik Beradik Left Group, Seumpana Memutuskan Silaturahim. Ini Darah Daging Bukan Kawan-kawan

Share

Pertelingkahan atau ketidak persefahaman antara adik beradik bukanlah perkara asing dalam institusi kekeluargaan.

Malah banyak insiden mengerikan berlaku sama ada di dalam mahupun luar negara.

Pun begitu, hubungan antara adik-beradik sering disifatkan sebagai ‘air yang dicincang takkan putus’.

Menerusi nukilan Setiausaha Majlis Ulama Isma (MUIS), Dr Ahmad Sanusi Azmi, mendoakan adik-beradik sendiri adalah sifat yang mulia dan ia dinyatakan dalam al-Quran.

Perkara ini dapat dilihat apabila Nabi Musa mendoakan abangnya Nabi Harun.

Hubungan abang adik ini adalah antara perkara yang menarik untuk diterokai kerana kehidupan mereka yang digambarkan di dalam al-Quran sebagai adik-beradik yang saling bantu-membantu antara satu sama lain dalam usaha dakwah.

Nabi Musa dan Nabi Harun memiliki dua karakter berbeza yang ditampilkan di dalam al-Quran.

Nabi Musa orangnya keras, sedangkan Nabi Harun itu sikapnya lembut.

Ini dapat dilihat daripada peristiwa yang berlaku setelah kaum mereka menyeleweng dari ajaran Islam, Musa memarahi abangnya Harun dengan menggenggam janggutnya dan menarik rambutnya.

Namun Harun membalas dengan baik dengan katanya yang bermaksud:
“Wahai anak ibuku (Nabi Musa)! Janganlah engkau meragut janggutku dan janganlah menarik (rambut) kepalaku.

Sesungguhnya aku takut bahawa engkau akan berkata kepadaku: “Engkau telah memecah-belahkan kaum Bani lsrail sesama sendiri, dan engkau tidak berhati-hati mengambil berat pesananku!” Surah Taha: 94.

Nabi Harun orangnya fasih sedang Nabi Musa barangkali tuturnya tidak berapa lancar.

Artikel Berkaitan

Perkara ini diakui sendiri oleh Nabi Musa ketika meminta bantuan daripada Allah supaya Allah mengutuskan Harun sebagai pembantunya kerana beliau lebih fasih dalam bertutur.

Kata Nabi Musa yang bermaksud: “Dan saudaraku Harun, dia lebih fasih dari diriku” Surah al-Qasas: 34.
Walaupun memiliki karakter yang berbeza, dua beradik ini adalah pasangan yang ideal dalam dakwah.

Ketika Allah memerintahkan Nabi Musa untuk berdakwah kepada Firaun, beliau memohon supaya Allah melantik Harun, abangnya sebagai pembantu.

Pelantikan Nabi Harun sebagai pembantu Nabi Musa ini disebut berulang-ulang kali di dalam al-Quran yang menggambarkan betapa besar peranan Harun sebagai pembantu misi dakwah tersebut.

Allah menceritakan dialog Musa ini di dalam al-Quran. Firman Allah yang bermaksud: “Dan jadikanlah bagiku, seorang pembantu dari keluargaku. [30] Iaitu Harun saudaraku [31] Kuatkanlah pendirianku dengan sokongannya [32] Dan jadikanlah dia turut campur bertanggungjawab dalam urusanku [33] Supaya kami sentiasa beribadat dan memujiMu [34] – Surah Taha: 30-34.

Bukan sahaja saling membantu, Nabi Musa juga direkodkan sebagai mendoakan keampunan buat abangnya. Berapa ramai dalam kalangan kita yang mendoakan sesama adik-beradik sendiri?

“Wahai Tuhanku, ampunilah dosaku dan dosa saudaraku dan masukkanlah kami ke dalam syurga.” (Surah al-A’raf:151)

Melihatkan kepada doa ini, alangkah baiknya andai sesama adik-beradik itu saling mendoakan kebaikan dan keampunan sesama mereka agar mereka semua sentiasa berada di dalam rahmat Allah.

Jika timbul masalah sesama adik-beradik, selesaikan secara baik menerusi perbincangan tanpa perlu mengambil langkah tidak matang seperti left WhatsApp group!

Sumber : Mstar

Artikel Berkaitan

Nak macam-macam info? Sila subscribe channel Telegram KELUARGA  dan join keluargagader club

IKLAN