“Untuk Pakcik Yang Langgar Anak Saya, Saya Sudah Maafkan”, Reda Bapa Kehilangan Anak Depan Sekolah
6 Mei 2026
Ahmad Fareez Khalid, 39, berkata, beliau dan keluarga menerima ketentuan tersebut dengan hati terbuka serta tidak menyalahkan pemandu van yang melanggar anaknya.
Kasih seorang ayah, walau diuji dengan kehilangan paling pedih, tetap memilih untuk reda dan memaafkan.
Itulah ketabahan luar biasa yang ditunjukkan oleh seorang bapa, Ahmad Fareez Khalid, 39, selepas kehilangan anak perempuannya, Nur Aini Umairah Mohd Fareez, 8, dalam satu kemalangan di hadapan Sekolah Kebangsaan Seri Maimon, Parit Sulong.
Dalam kejadian yang berlaku pada tengah hari itu, arwah dilaporkan maut selepas dilanggar sebuah van di hadapan pintu pagar sekolah berkenaan. Berita pemergian si kecil ini pastinya meruntun hati ramai, lebih-lebih lagi apabila ia berlaku hanya beberapa minit sebelum dijemput pulang oleh ibunya.
Gambar Alias Abd Rani: Jenazah Nur Aini Umairah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Parit Mustaffa, dekat Parit Sulong malam tadi.
Namun di sebalik luka yang begitu dalam, Ahmad Fareez memilih untuk tidak menyalahkan pemandu van terbabit. Sebaliknya, beliau menerima kejadian itu sebagai ketentuan Allah SWT.
“Untuk pakcik yang melanggar anak saya, saya sudah memaafkannya,” katanya.
Ahmad Fareez Pilih Reda Dalam Ujian Berat
Menurut Ahmad Fareez, beliau dan keluarga menerima takdir tersebut dengan hati terbuka. Baginya, tiada siapa yang mahu kemalangan seperti itu berlaku.
“Sesuatu yang berlaku sudah tentu ada ketetapan. Kalau hendak menyalahkan sesiapa pun tidak boleh… siapa yang mahu perkara ini terjadi?” ujarnya.
Malah, Ahmad Fareez turut merayu kepada orang ramai agar tidak terus menyalahkan pemandu van berkenaan. Katanya, jika mereka sebagai ibu bapa sudah memaafkan, tidak perlulah orang lain terus menghukum lelaki terbabit.
“Permintaan saya, janganlah marah kepada pakcik itu. Jika kami sebagai ibu bapa sudah reda, tidak perlulah orang lain terus menyalahkannya. Kasihanilah dia,” katanya.
Gambar Alias Abd Rani: Asmilah (tengah) ketika ditenangkan ahli keluarga di Jabatan Forensik HSNI.
Detik Pilu Ibu Mangsa Sebelum Kejadian
Sementara itu, ibu mangsa, Asmilah Tukiran, 37, berkongsi detik pilu apabila dia terlewat beberapa minit untuk mengambil anaknya pulang dari sekolah.
Menurut Asmilah, kelewatan itu berlaku kerana dia terlebih dahulu menguruskan anak bongsunya, Ahmad Sufi Mohd Fareez, 5, yang baru pulang dari prasekolah sekitar jam 12.30 tengah hari.
Seperti kebiasaan, dia memandikan dan menukar pakaian anak bongsunya sebelum keluar semula kira-kira 10 minit kemudian untuk menjemput arwah Aini.
Namun setibanya di hadapan sekolah, suasana yang dilihat membuatkan hatinya mula tidak keruan apabila orang ramai sedang berkerumun di lokasi kejadian.
“Saya nampak orang ramai berkumpul dan terdengar murid menyebut nama ‘Aini’. Saya terus bertanya kepada guru sebelum dimaklumkan anak saya yang terlibat.
“Badan saya terus lemah dan saya tidak sanggup melihat jenazah kerana keadaannya parah,” katanya sebak.
Lebih memilukan, Asmilah sebelum ini sentiasa berpesan kepada arwah supaya menunggu di dalam kawasan pagar sekolah setiap kali tamat sesi persekolahan.
“Biasanya apabila saya tiba, barulah dia keluar. Namun hari itu saya tidak pasti mengapa dia berada di luar pagar, mungkin mahu membeli sesuatu,” katanya.
Kenangan Terakhir Bersama Nur Aini Umairah
Mengimbas kenangan bersama arwah, Ahmad Fareez berkata anaknya seorang yang ceria dan gemar bersolek. Malah, arwah pernah meniru gaya solekan yang ditonton menerusi YouTube.
Kenangan terakhir mereka sekeluarga bersama arwah juga cukup menyentuh hati.
“Kali terakhir arwah menyolek saya ketika kami membawanya berjalan-jalan ke Melaka minggu lalu. Itu menjadi kenangan terakhir kami,” katanya.
Ahmad Fareez Jadi Inspirasi Ketabahan Seorang Ayah
Benarlah, memaafkan ketika hati sedang terluka bukan perkara mudah. Tetapi apabila reda mengatasi amarah, di situlah terserlah kekuatan jiwa seorang ayah.
Semoga roh adik Nur Aini Umairah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan hamba Allah yang beriman. Buat Ahmad Fareez, Asmilah dan seluruh keluarga, semoga terus diberi ketabahan, kesabaran dan kekuatan untuk melalui hari-hari mendatang.