Anak Dr Fauziah Hassan bimbang – “Ibu pernah ditahan sebelum ini, saya bimbang dia diperlakukan lebih teruk.” Anak kepada dua delegasi Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan FFC x TMTG, Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali serta isteri, Dr Fauziah Hassan, meluahkan rasa bimbang selepas menerima berita bahawa kapal yang membawa kedua ibu bapanya telah dirampas oleh tentera.
Shamil Mohd Alauddin, 40, berkata beliau mengetahui perkembangan tersebut melalui laporan media sosial pada pagi ini dan menyemak ‘tracker’ kapal yang menunjukkan ia tidak lagi bergerak serta terputus hubungan. Menurutnya, beliau kemudian dimaklumkan oleh MyCARE bahawa kapal yang dinaiki ibu bapanya telah dipintas oleh tentera Israel.
Kebimbangan Keluarga Delegasi Malaysia
Menurut Shamil, keluarganya sudah menjangkakan kemungkinan kejadian penahanan itu berlaku, namun tidak menyangka ia akan terjadi seawal ini. “Kami memang sudah bersedia, tapi apa yang mengejutkan ialah ia berlaku terlalu awal,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat MyCARE.
Beliau memaklumkan bahawa kali terakhir berhubung dengan ibu bapanya adalah pada petang semalam, ketika mereka masih berada dalam keadaan baik. Namun, perkembangan terbaru ini menimbulkan kebimbangan besar terhadap keselamatan ibu bapanya yang kini dipercayai berada dalam tahanan tentera Israel.
Ads
Kebimbangan Terhadap Layanan Tentera Israel
Shamil turut melahirkan rasa gusar terhadap kemungkinan layanan kasar tentera Israel terhadap kedua ibu bapanya. Menurutnya, ibunya, Dr Fauziah Hassan, pernah mempunyai rekod ditahan Israel sebelum ini sewaktu menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF). “Saya bimbang ibu akan diperlakukan dengan lebih teruk kerana mereka sudah mengenali beliau,” ujarnya.
Kebimbangan itu turut dikongsi oleh ahli keluarga lain dan masyarakat Malaysia yang mengikuti perkembangan misi kemanusiaan FFC x TMTG yang kini menjadi tumpuan antarabangsa.
Seruan Kepada Kerajaan Malaysia
Shamil menyeru kerajaan Malaysia supaya mengambil tindakan segera bagi membantu membebaskan ibu bapanya dan semua sukarelawan kemanusiaan yang kini ditahan oleh pihak berkuasa Israel. Katanya, keprihatinan dan tindakan diplomatik segera amat diperlukan bagi memastikan keselamatan semua delegasi Malaysia yang terlibat.
Ads
Misi Kemanusiaan FFC x TMTG ke Gaza
Misi kemanusiaan FFC x TMTG (Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza) membawa bantuan makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan ke Gaza melalui Laut Mediterranean. Misi ini bertujuan menyeru penghentian peperangan dan pembukaan semula akses koridor kemanusiaan di wilayah bergolak tersebut.
Difahamkan, sembilan wakil Malaysia menyertai pelayaran tersebut — lapan daripadanya menaiki Kapal Conscience milik Freedom Flotilla Coalition, manakala seorang lagi berada di atas kapal layar Umm Saad. Antara delegasi Malaysia di atas Kapal Conscience ialah ketua misi Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Fauziah Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, wartawan Syafik Shukri Abdul Jalil, Prof Dr Mohd Afandi Salleh, Dr Noorhasyimah Ismail serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar.
Misi kemanusiaan ini menjadi simbol perjuangan rakyat Malaysia dalam menegakkan keadilan dan solidariti terhadap rakyat Gaza, walaupun berdepan risiko tinggi akibat tindakan agresif tentera Israel.
Cikgu BM dapat hadiah minyak angin waktu sambutan Hari Guru, memang rare. Jika kebiasaannya guru menerima bunga atau pen sempena Hari Guru, lain pula kisah seorang guru Bahasa Melayu ini yang mendapat hadiah tak dijangka, sebotol minyak angin cap kapak daripada salah seorang muridnya.
Cikgu BM Dapat Hadiah Minyak Angin Waktu Sambutan Hari Guru, Memang Rare
Fatin Nur Farhana Ruslan, yang sudah empat tahun mengajar, menganggap pemberian itu sebagai pengalaman luar biasa dalam kerjayanya sebagai pendidik. Malah, beliau tidak menyangka video ringkas tentang hadiah tersebut yang dimuat naik ke TikTok menjadi tular dan mencetuskan pelbagai reaksi lucu serta positif daripada warga maya.
“Video itu sebenarnya dirakam tahun lepas, tapi baru saya kongsikan di media sosial sebab Hari Guru jatuh pada Jumaat ini, 16 Mei. Saya fikir, mungkin boleh beri inspirasi kepada murid dan ibu bapa tentang idea hadiah yang lain daripada biasa,” katanya.
Rakaman berdurasi 22 saat itu memaparkan seorang murid lelaki berbangsa Cina memberikan minyak angin cap kapak kepada cikgunya sebagai hadiah Hari Guru. Aksinya yang bersahaja membuat ramai tersenyum, dan ada yang menyifatkan ia sebagai hadiah yang amat berguna terutamanya buat guru yang penat berdiri dan bercakap seharian di kelas.
Fatin turut berkongsi bahawa bukan beliau sahaja yang menerima hadiah istimewa itu, malah guru-guru lain yang mengajar murid tersebut turut mendapat minyak angin yang sama.
“Saya beritahu murid itu yang videonya dah viral, dan dia sangat teruja! Katanya, tahun ini dia nak beri hadiah serupa tapi dengan jenis minyak angin yang berbeza. Siap rancang nak rakam video baru pula,” tambah Fatin dengan nada terhibur.
Walaupun dianggap ‘simple’, Fatin mengakui hadiah itu sangat praktikal dan dihargai oleh guru-guru.
Fatin juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua pendidik dan berharap sambutan ini terus menyuntik semangat buat guru-guru untuk terus mengajar dengan penuh dedikasi dan kasih sayang.
Baru berusia tujuh tahun, si cilik Alisya Zehra Mohd Izuan yang baru berusia 7 tahun sudah memperoleh lebih 60 pingat buat dirinya menerusi kejuaraan menyertai pertandingan catur.
Ujar ibunya, Zahidahtul Kamaliah Saharun, 37 anak kecilnya itu sudah mula bermain catur seawal usia empat tahun apabila kerap ‘mengganggu’ abangnya, Muhammad Aiman Zarif, 11, bermain catur.
Apabila umurnya menjaukau usia lima tahun dia sudah mula menunjukkan potensi diri malah mula mengumpul pingat melalui acara itu.
Paling membanggakan, kanak-kanak cilik itu selaku Juara Catur Kebangsaan U8G turut bakal menyertai pertandingan di Greece daripada 12 hingga 18 April ini.
“Pada mulanya, jurulatih catur di sekolah Aiman iaitu Ismail Ahmad nampak potensi pada dirinya menyebabkan saya dan suami, Mohd Izuan Mustaffa, berusia 38 tahun, bersetuju untuk menghantarnya menjalani kelas peribadi dengan Ismail.
Zahidahtul yang juga guru berkata, anak kedua daripada tiga beradik itu sudah menyertai lebih 70 pertandingan catur termasuk secara dalam talian.
“Antara pertandingan yang pernah disertainya adalah Annual Russian House Open Chess Tournament 2025, Pearl Point Shopping Mall 2025 dan 18th IGB Malaysian Chess Festival.
“Dalam kebanyakan pertandingan disertai, Alisya dinobat juara kategori bawah tujuh tahun atau kategori bawah 12 tahun,” katanya.
Menurut Zahidahtul, beliau dan suami sentiasa memberi sokongan kepada Alisya dengan menghantarnya ke kelas peribadi serta membawanya menyertai pertandingan catur hampir setiap minggu.
“Sebagai persiapan mewakili Malaysia, Alisya sedang menjalani latihan intensif dengan jurulatihnya yang dijalankan setiap Ahad bermula jam 9 pagi hingga jam 4 petang.
“Malah, Alisya juga membuat latihan menyelesaikan minimum 100 ‘puzzle’ setiap hari selain menyertai pertandingan catur dalam talian,” katanya.
Zahidahtul berkata, Alisya bertekad untuk mengumpul 100 pingat dan piala dalam pertandingan catur pada tahun ini. Malah katanya lagi, anak kecilnya itu berhasrat untuk bergelar Women Grand Master (dalam catur) yang pertama di Malaysia.
“Kami berharap Alisya dapat mengharumkan nama negara pada pertandingan antarabangsa bulan depan dan berjaya mencapai cita-citanya bergelar Women Grand Master,” katanya.
Kredit: Harian Metro
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Wanita kongsi wajah anak mirip Zara Qairina – “Tetapi tidaklah sama 100 peratus. “Kalau nak kata sama persis, tidaklah sangat, cuma mirip sekali imbas sahaja.” Itulah reaksi Maria Liza Noriozaman apabila ada segelintir pengguna media sosial menyamakan wajah anak sulungnya, Marsya Ilmi Zairul, 19, dengan Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Wanita Kongsi Wajah Anak Mirip Zara Qairina – “Tetapi Tidaklah Sama 100 Peratus”
Menurut penolong pegawai tadbir itu, dia tidak menyangka perkara tersebut akan menjadi perhatian selepas gambar anaknya dikongsi dalam grup WhatsApp keluarga.
Walaupun ada pihak yang kurang setuju dengan perbandingan berkenaan, Maria Liza dan keluarganya memilih untuk melihat komen-komen itu daripada sudut positif selagi tiada unsur menghina.
“Bila saya tengok (gambar), Ya ALLAH, rasa macam berderau jantung sebab ada yang kata muka Marsya seperti Zara Qairina, tetapi tidaklah sama 100 peratus. Jadi, saya kongsikan di Facebook.
“Saya ambil pendekatan positif sahaja terhadap setiap komen mengenai gambar arwah dan Marsya. Cuma secara peribadi, usahlah dibandingkan keperibadian mereka kerana anak saya pun ada karakternya yang tersendiri,” katanya.
Sebagai ibu kepada tiga anak, Maria Liza mengakui sedikit bimbang apabila wajah anaknya dikaitkan dengan arwah memandangkan Marsya masih menuntut di sebuah sekolah berasrama di Gerik, Perak.
“Saya sebagai ibu ada juga rasa risau sebab kita semua mengikuti kes Zara Qairina sejak awal lagi. Setiap kali bila dengar cerita pasal Zara Qairina, memang menangislah sebab kita membayangkan anak kita.
“Dalam masa sama, ada juga yang mendoakan dan mereka sentiasa ingat bahawa #JusticeforZara tidak terhenti di situ, jadi saya ambil yang positif sahaja,” ujarnya.
Mengulas kemungkinan bertemu dengan ibu kepada Allahyarham, Noraidah Lamat, untuk melepaskan rindu, Maria Liza menyatakan dia terbuka dengan cadangan itu.
“Saya tiada masalah, cuma mungkin dari segi kekangan masa dan jarak perjalanan memandangkan kami tinggal di Sungai Buloh, anak saya pula bersekolah di Gerik.
“Insya-ALLAH saya okey sahaja. Kalau lihat gambar mungkin kebetulan sama, tetapi secara realitinya tidak pasti kerana pandangan setiap orang berbeza-beza.
“Apa pun, semoga sang ibu sentiasa diberikan kekuatan dan ketabahan untuk menghadapi ujian ini kerana tiada mak yang ingin kehilangan anak,” katanya lagi.
World Quran Convention 2025 mengetengahkan tema ‘Trade With Allah’ berasaskan Surah Al-Saff sebagai panduan utama solusi ekonomi Islam global. Program dua hari ini membuka ruang memahami keseimbangan antara spiritual dan ekonomi moden.