Lagi 2 hari je lagi kita nak memasuki bulan yang mulia, bulan Ramadan. Yang merisaukan mak ayah, macam mana nak latih anak berpuasa. Yang mana pertama kali nak ajar anak berpuasa tu, boleh cuba tip mudah ini dari Hello Doktor. Harap perkongsian ini membantu anda semua ya…
Tip bantu anak menahan lapar dahaga sepanjang puasa
Berpuasa pada bulan Ramadan adalah salah satu rukun Islam yang wajib ditunaikan oleh individu dewasa yang sihat. Bagi kanak-kanak yang belum baligh, mereka tidak diwajibkan untuk berpuasa.
Tetapi bagaimana jika si kecil ingin berpuasa? Mampukah mereka untuk berpuasa?
Sudah tentu mereka boleh! Bahkan ia amat digalakkan jika mereka menunjukkan minat untuk berpuasa walaupun belum memasuki usia yang diwajibkan berpuasa.
Sebagai ibu bapa, berikut adalah beberapa petua yang boleh anda lakukan untuk memudahkan anak berpuasa dan bagi memastikan mereka dapat menjalani ibadah tersebut dengan selamat:
- Sentiasa berikan sokongan kepada anak terutamanya jika ini adalah kali pertama mereka berpuasa
- Galakkan anak berpuasa secara berperingkat supaya tubuh mereka dapat membiasakan diri untuk tidak makan selama berjam-jam
- Sarankan anak berpuasa puasa dengan kurma dan/atau air
- Nasihatkan anak untuk makan hidangan iftar atau berbuka puasa secara perlahan-lahan
- Pastikan diet harian anak tetap mengandungi semua kumpulan makanan seperti bijirin, daging, buah-buahan dan sayuran
- Galakkan anak untuk minum air secukupnya antara waktu berbuka puasa dan makan sahur – 6-8 gelas sehari. Pilihan minuman boleh terdiri daripada jus segar dan susu
resepi sahur mudah
- Selain menyediakan menu sahur simple dan lazat, makanan yang disediakan juga perlulah berkhasiat serta mengandungi karbohidrat seperti nasi dan roti, protein seperti daging dan ayam, serat daripada buah dan sayuran. Ini bagi membantu membekalkan anak tenaga sepanjang tempoh berpuasa
- Elakkan daripada menghidangkan makanan masin, berlemak, makanan ringan dan tinggi gula kepada anak
- Pastikan anak bangun untuk bersahur setiap hari. Ini dapat membantu mereka kekal fokus di dalam kelas dan sepanjang hari
- Libatkan anak dapat penyediaan resepi sahur mudah dan berpuasa, serta sediakanlah juadah kegemaran mereka
- Jangan benarkan anak berpuasa tanpa bersahur kerana ia boleh menyebabkan mereka lemah dan letih
- Benarkan anak berbuka puasa sekiranya mereka keletihan atau pening
- Pastikan anak mendapat tidur yang mencukupi pada malam hari dan tidur siang untuk membolehkan mereka mengharungi hari dengan lebih bertenaga
- Elakkan senaman berat yang boleh menyebabkan anak kehausan dan keletihan semasa berpuasa
Resepi sahur mudah untuk anak
Berdepan kerenah anak yang cerewat makan semenangnya boleh menguji kesabaran, apatah lagi jika dalam bulan Ramadan, anda pastinya akan lebih tertekan.
Apa kata anda cuba menu sahur simple dan mudah berikut untuk memastikan si kecil kenyang sepanjang tempoh berpuasa.
#1 Susu kurma dan badam, resepi sahur mudah dan berkhasiat
Susu kurma yang dicampur badam adalah cara terbaik untuk memulakan hari. Minuman lazat ini pastinya dapat menjadi kegemaran anak. Ia bukan sahaja membekalkan tenaga buat si manja, tetapi turut membuatkan mereka kenyang untuk tempoh yang lebih lama.
#2 Menu sahur simple Lempeng pisang madu
Lempeng yang lembut dan gebu pastinya boleh menarik perhatian anak untuk bersahur dan ia juga mengenyangkan. Selain itu, lempeng merupakan antara menu yang mudah untuk disediakan pada waktu sahur.
Untuk menjadikan ia lebih menarik, jangan lupa menambah madu dan juga pisang untuk memberikan tenaga tambahan buat mereka!
#3 Pilihan resepi sahur mudah Nasi goreng telur
Nasi goreng adalah salah satu menu kegemaran kebanyakan individu, termasuk kanak-kanak. Menu yang satu ini juga sesuai dihidangkan sebagai menu sahur simple kerana ia tidak memerlukan banyak bahan dan boleh disediakan dalam masa singkat.
Untuk versi sihat, elakkan daripada menambah nuget atau sosej kegemaran anak.
Sebaliknya, masukkan bahan yang lebih sihat seperti pelbagai jenis sayur seperti kubis, brokoli, lobak merah atau kacang pis supaya keperluan serat anak anda dikekalkan.
Di samping itu, anda juga boleh menambah telur mata atau telur dadar sebagai sumber protein haiwan yang baik untuk anak.
#4 Omelet keju brokoli
Telur adalah sumber protein yang sangat baik untuk kanak-kanak yang semakin meningkat umur, dan telur dadar merupakan antara menu sahur yang boleh ibu sediakan.
Buatkan telur dadar dengan potongan brokoli, kacang pis serta bayam. Pastikan juga anda memasukkan keju supaya keperluan vitamin dan mineral anak anda dipenuhi sepanjang hari.
#5 Nuget tauhu sayur
Nuget antara makanan digemari kanak-kanak disebabkan rasa dan juga terdapat dalam pelbagai bentuk yang menarik.
Jadi apa kata anda sediakan nuget sendiri? Anda boleh menyiapkannya pada waktu malam dan meletakkannya di dalam penyejuk beku atau sejuk. Jadi, apabila tiba waktu sahur, anda hanya perlu menggorengnya.
Untuk menjadikannya lebih sihat, buat versi nuget dengan menambah lobak merah dan tauhu. Kedua-dua bahan ini mengandungi vitamin dan mineral yang diperlukan oleh kanak-kanak.
Semoga resepi sahur mudah yang dikongsikan di atas dapat memberikan anda idea untuk hidangan si kecil sahur nanti. Selamat mencuba!
Sumber : Hello Doktor