
Belum reda kesedihan kehilangan insan tersayang, keluarga Allahyarhamah Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, kini terpaksa berdepan satu lagi ujian apabila pelbagai spekulasi dan dakwaan tidak sahih mengenai kes Irene Sofiya terus tersebar di media sosial.
Pemergian tragis pelajar Tingkatan Empat itu nyata meninggalkan kesan mendalam kepada ahli keluarga, lebih-lebih lagi apabila ada pihak seolah-olah mendahului siasatan polis dengan menyebarkan cerita yang belum dipastikan kesahihannya.
Terbaharu, ibu saudara Allahyarhamah, Siti Nur Farhana Khyar, tampil merayu orang ramai supaya menghentikan segala spekulasi dan menghormati perasaan keluarga yang masih berduka.

Kes Irene Sofiya: “Siapa Awak Nak Mendahului Segala Berita?”
Menerusi perkongsian di TikTok, Siti Nur Farhana menegaskan bahawa ahli keluarga sendiri memilih untuk tidak mendedahkan maklumat berkaitan kejadian demi menghormati proses siasatan pihak berkuasa.
“Saya selaku ibu saudara Irene Sofiya memohon semua agar berhenti membuat spekulasi, sebar cerita tidak sahih dan tidak betul. Tolonglah hormati kami di keluarga arwah ni.
“Saya sebagai ibu saudara pun tidak berani komen berkaitan kes anak buah saya ini. Walau saya tahu cerita, saya pun tidak berani membuka cerita kepada awam kerana tidak mahu mengganggu kes siasatan polis.
“Siapa awak nak mendahului segala berita? Adalah awak ahli keluarga kami? Tolonglah, hentikan sebar fitnah,” luahnya.
Rayuan itu dibuat ketika kes Irene Sofiya mendapat perhatian ramai dan pelbagai dakwaan mengenai kejadian berkenaan diperkatakan di media sosial.
Bagi keluarga, penyebaran cerita yang belum disahkan bukan sahaja berpotensi menimbulkan kekeliruan, malah mengganggu emosi mereka ketika masih melalui tempoh berduka.

“Kami Bela Irene Sejak Kematian Ibunya”
Lebih menyentuh hati, Siti Nur Farhana turut berkongsi bahawa Irene Sofiya dijaga oleh keluarga mereka sejak kehilangan ibu ketika berusia sembilan tahun.
Justeru, kehilangan remaja kesayangan itu amat memberi kesan kepada seluruh ahli keluarga yang membesarkannya.
“Kami manusia biasa dan (kes Irene Sofiya) adalah asbab kematian. Kesnya penuh tragis. Kami bela Irene Sofiya sejak kematian ibunya, memang kami amat terkesan dengan kematiannya.
“Kalau rasa komen awak tidak mendatangkan faedah, lebih baik senyap. Kami sekeluarga ni tak perlukan simpati.
“Tapi komen, posting dan fitnah yang awak sebarkan tu mengganggu emosi kami sekeluarga,” katanya dalam nada sebak.
Di sebalik perhatian masyarakat terhadap tragedi tersebut, keluarga masih perlu melalui kehilangan besar membabitkan seorang anak yang sudah dijaga dan dibesarkan sejak kematian ibunya.
Keluarga Enggan Buka Aib Suspek
Dalam masa sama, beliau turut menegur tindakan segelintir individu yang menyebarkan gambar suspek di media sosial.
Menurutnya, walaupun keluarga sedang berdepan kehilangan yang amat menyakitkan, mereka tetap tidak mahu membuka aib mana-mana pihak.
“Kami ahli keluarga mangsa pun tak ada sampai membuka aib suspek. Awak pula siapa nak buka gambar suspek kepada awam?
“Sedangkan emak dan kakak saya beritahu, jika ibu bapa suspek datang pun kami terima dengan hati terbuka sebagai tetamu.
“Memanglah kami reda, tapi bukannya bermaksud bila kami menerima begitu sahaja dan membiarkan pesalah bebas. Apa-apa pun, muka pengadilanlah yang akan tetapkan semua tu,” jelasnya.
Dalam konteks kes Irene Sofiya, keluarga menyerahkan proses menentukan tanggungjawab dan tindakan selanjutnya kepada pihak berkuasa serta proses undang-undang.
Sedia Ambil Tindakan Undang-Undang
Tidak mahu fitnah terus berleluasa, Siti Nur Farhana turut memberi amaran bahawa beliau tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang menyebarkan maklumat palsu mengenai kes berkenaan.
“Saya tidak teragak-agak untuk ambil tindakan undang-undang kepada anda yang buat spekulasi dan menyebarkan perkara tidak betul,” tegasnya.
Beliau turut meminta masyarakat mendapatkan maklumat daripada saluran berita yang sahih dan tidak mengganggu siasatan polis.
Orang ramai juga wajar berhati-hati sebelum berkongsi sebarang dakwaan mengenai kes Irene Sofiya, terutama maklumat yang tidak mempunyai pengesahan daripada pihak berkuasa atau sumber yang boleh dipercayai.
Irene Sofiya Ditemukan Meninggal Dunia Di Sekolah
Terdahulu, Irene Sofiya ditemukan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di dewan sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Batu Pahat, Johor, kira-kira jam 5.50 petang pada 3 Oktober lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad memaklumkan mangsa mengalami beberapa kecederaan pada bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Polis kemudian menahan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun pada hari sama sebelum mendapatkan perintah reman selama enam hari sehingga 9 Oktober bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Hasil bedah siasat yang diumumkan pihak polis kemudiannya mengesahkan punca kematian Irene Sofiya adalah akibat trauma tumpul pada kepala.
Jenazah Allahyarhamah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Arshad, Batu Pahat, pada 4 Oktober lalu.
Hormati Siasatan Kes Irene Sofiya Dan Perasaan Keluarga
Semoga keluarga Allahyarhamah terus diberi kekuatan menghadapi ujian ini dan mendapat keadilan melalui proses undang-undang yang sewajarnya.
BACA LAGI : Raja Permaisuri Agong Ziarah Keluarga Arwah Irene Sofiya, Kurnia Sumbangan Peribadi Penuh Prihatin
Sumber: TikTok
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di

