
Dalam suasana keluarga yang masih berduka dengan kehilangan insan tersayang, kehadiran dan kata-kata semangat daripada orang sekeliling pastinya cukup bermakna.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat menziarahi keluarga arwah Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal di Kampung Selamat, Yong Peng pada 5 Oktober.
Berangkat sama mengiringi Seri Paduka Baginda ialah Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor.

Bacaan Yasin Dan Tahlil
Pertemuan bersama keluarga arwah dimulakan dengan bacaan surah Yasin dan tahlil yang dipimpin oleh Kadi Daerah Batu Pahat, Mohd Fauzi Bachok.
Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan peribadi bagi membantu meringankan beban keluarga, selain memberikan kata-kata semangat kepada bapa arwah, Mohd Khairool Faisal Khyar, neneknya, Jameyah Rabani serta ahli keluarga lain.
Pertemuan bersama keluarga arwah berlangsung selama hampir sejam.

Kronologi Ringkas Kes Irene Sofiya
Terdahulu, Irene Sofiya, 16, yang mesra dipanggil Fiya ditemukan tidak sedarkan diri dengan kecederaan parah di dalam dewan sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Johor.
Sebelum ditemukan, rakan sekelas menyedari Irene tidak kelihatan seperti biasa sebelum ibu saudara, nenek serta beberapa rakannya keluar mencarinya di sekitar kawasan sekolah. Mereka kemudian menemukan remaja itu di dalam dewan dalam keadaan lemah.
Susulan kejadian itu, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan dan direman selama enam hari bagi membantu siasatan. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Walaupun cinta tidak berbalas dipercayai menjadi antara kemungkinan motif kejadian, pihak polis menegaskan bahawa motif sebenar masih dalam siasatan.
Arwah Irene dikenang keluarganya sebagai seorang pelajar pendiam, rajin belajar dan sering memperoleh keputusan cemerlang. Remaja itu juga menyimpan cita-cita untuk menjadi doktor seperti arwah ibunya.
Kunjungan Raja Permaisuri Agong dalam saat keluarga sedang melalui kehilangan besar itu menjadi tanda keprihatinan, selain memberi sokongan dan kekuatan kepada mereka dalam menghadapi detik sukar ini
BACA LAGI: Mahu Fokus Pelajaran, Cinta Tidak Berbalas Dipercayai Antara Motif Irene Sofiya Terkorban
Sumber: Facebook Rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di

