Bercerita tentang entry yang dikongsikan oleh pemilik akaun Muhamed Ridzuan yang juga merupakan seorang doktor atau lebih mesra disapa Ciwan rupanya ada kisah yang tersendiri yang menyebabkan dia nekad jual Passat dan beli Proton Perdana!
Semoga apa yang dikongsikan ini menjadi tauladan dan kebaikan untuk lelaki yang bergelar suami dan ayah khususnya dalam membuat pilihan terbaik untuk keluarga.
Minat Kereta Mewah
Difahamkan minat Dr Ridzuan terhadap kereta bukan baru setahun dua, tetapi sejak masih belajar lagi.
“Sejak dulu lagi saya memang minat kereta jenis sedan macam Honda City atau Toyota Camry tapi masa tu masih belajar, jadi saya pakai Perodua Viva.
“Pada 2019, saya buat keputusan untuk tukar kereta baharu. Saya pergi banyak showroom untuk test drive kereta-kereta mewah. Saya cuba pandu kereta Honda, Toyota, Hyundai dan Mazda termaksuklah Volkswagen.
“Apabila cuba pandu kereta Volkswagen saya terus tertarik dengan Passat yang laju dan kawalan steering yang mantap. Tanpa berfikir panjang, saya terus tempah kereta tu,” ceritanya bersungguh-sungguh.
Ads
Beli Untuk Enjoy
Menyambung cerita lagi, kereta tersebut dibeli ketika dia sudah bergelar bapa kepada seorang cahaya mata dengan membuat bayaran deposit sebanyak RM6,000.
“Saya beli kereta tu memang fikir untuk enjoy saja. Kereta dibeli pada harga RM195,000 dan RM5,000 insuran. Pada masa tu saya ditawarkan rebat sebanyak RM20,000 dan saya buat pinjaman bank sebanyak 170,000 sahaja.
“Setiap bulan saya kena bayar ansuran hampir RM2,000 untuk kereta. Walaupun gaji RM5,000 hingga ke RM6,000 ketika tu dan ada pendapatan sampingan buat locum swasta sebanyak RM2,000, saya tak sedar yang saya masih tak layak beli kereta macam tu,” jelasnya lagi.
Berat Hati Melepaskan
Selepas berkahwin dan dikurniakan anak dan dia mula menyedari bahawa komitmen hidup semakin bertambah kerana pada masa dia turut membeli sebuah rumah selain isteri sedang hamil anak kedua mereka.
Akur dengan keperluan semasa, Dr Ridzuan akhirnya menjual kereta kesayangannya itu pada April 2022 pada harga RM120,000 dan menukar kepada sebuah kereta terpakai dengan bayaran bulanan yang jauh lebih rendah.
Ads
“Saya mula sedar komitmen hidup sudah melebihi kemampuan sejak menyertai seminar hartanah dan pengurusan kewangan awal tahun haritu. Sedikit sebanyak ilmu berkaitan kewangan saya ketahui sejak tu.
“Awal Mac tahun ni, saya ambil keputusan jual Passat tu. Saya iklankan dekat Facebook untuk cari pembeli walaupun berat hati nak lepaskan. Sebulan lepas tu kereta terjual tapi terpaksa tambah duit RM30,000 dekat bank sebab harga kereta terjual lebih rendah berbanding baki hutang.
“Kemudiannya, saya cari kereta terpakai untuk gantikan kereta tu. Saya perlukan kereta besar supaya lebih selesa untuk bawa keluarga. Alhamdulillah saya jumpa kereta Proton Perdana tahun 2017 berharga RM60,000,” ujarnya lagi.
Keputusan Dr Ridzuan mendapat sokongan penuh oleh keluarga dan kawan-kawan yang menghormati langkah dibuat secara drastik ini.
Dalam pada itu, Dr Ridzuan turut mengingatkan orang ramai supaya membuat perkiraan yang betul sebelum membeli kereta idaman.
Bila bergelar anak tunggal umum membayangkan pastinya anak tersebut akan menerima kasih sayang yang tidak berbelah bahagi dari ibuayahnya. Anak tunggal juga tidak perlu berkongsi kasih sayang dengan adik-beradik yang lain malah kebanyakan dari anak tunggal ini lebih manja sifatnya.
Mungkin ini jugalah yang pernah dirasai oleh seorang anak remaja ini yang dikenali sebagai Muhammad Akmal Danial, menjadi anak tunggal selama 17 tahun! Pun begitu pada bulan Ogos yang lalu ibunya telah selamat melahirkan anak perempuan yang diberi nama Nur Ayra Delisha.
Benarlah rezeki itu datang tanpa diduga, pasangan suami isteri, Norhafizi Mohamed dan Siti Aisyah Ibrahim telah dikurniakan bayi perempuan selepas 17 tahun menunggu.
Kegembiraan itu telah dikongsikan bersama wargamaya dan kisahnya tular di TikTok selepas Siti Aisyah, 40, memuat naik video anak sulung, Muhammad Akmal Danial, 17, dan Nur Ayra Delisha yang dilahirkan pada 28 Ogos lalu.
Bukan sahaja jarak usia antara anak pertama dan kedua yang begitu jauh menarik tumpuan warganet, malah warga TikTok tertarik melihat abang mengasuh adik dan keakraban hubungan dua beradik tersebut yang cukup membahagiakan di lihat hingga video ini mencecah 1M tontonan.
Memetik kisah lanjut berkenaan keluarga ini di Harian Metro, Norhafizi, 44, yang menetap di Kampung Gong Kepas di sini berkata, anak sulungnya dilahirkan pada 2004 iaitu tahun pertama perkahwinan mereka.
Menurutnya, dia dan isteri memang mengimpikan zuriat lagi cuma tiada rezeki buat mereka selepas itu.
“Kami tidak merancang dan isteri pernah hamil pada 2008 tetapi kandungannya itu keguguran dan dianggap kami tiada rezeki untuk menimang cahaya mata kedua ketika itu.
“Selepas mengalami keguguran, isteri tidak hamil dan bagi mendapatkan kepastian, kami bertemu pakar di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu, Kelantan selain berikhtiar dengan menjalani rawatan kesuburan, Inseminasi Intrauterine (IUI).
“Bagaimanapun, masih tiada hasil namun kami tidak berputus asa malah teruskan hidup dengan membesarkan dan beri kasih sayang kepada Muhammad Akmal Danial,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Berkongsi pengalamannya sejak ada cahaya mata kedua, Norhafizi mengakui agak kekok kerana sudah lama tidak menjaga dan menguruskan keperluan bayi.
Bagaimanapun, Norhafizi bersyukur kerana ada banyak waktu bersama anak keduanya itu memandangkan sudah bersara sebagai anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada Mei tahun lalu.
“Bukan hanya saya malah isteri juga kekok kerana sudah lama tidak menguruskan bayi dan berjaga malam untuk menyediakan keperluannya.
“Seolah-olah kami baru pertama kali menimang cahaya mata walaupun pada hakikatnya pernah mempunyai pengalaman sebelum ini.
“Mujurlah saya sudah bersara jadi ada banyak masa bersama bayi kerana isteri bekerja sebagai jururawat di klinik kesihatan dan tidak lama lagi akan kembali bertugas selepas tamat cuti,” katanya.
Menceritakan penerimaan anak sulungnya, Norhafizi berkata, Muhammad Akmal Danial tidak gembira ketika kali pertama dapat tahu akan ada adik.
“Mulanya dia (Muhammad Akmal Danial) agak memberontak kerana bimbang kami beri perhatian lebih kepada adiknya kerana sebelum ini, dia anak tunggal jadi tumpuan untuknya saja.
“Bagaimanapun, segalanya berubah selepas Nur Ayra Delisha dilahirkan apabila Muhammad Akmal Danial yang paling teruja dan dia juga banyak menghabiskan masa melayan keletah adiknya itu di rumah.
“Sebagai bapa, saya suka melihat keakraban mereka berdua dan gembira apabila Muhammad Akmal Danial sudah ada teman baru di rumah lagipun kasihan juga kepadanya sebelum ini kerana sering diusik rakan gara-gara menjadi anak tunggal,” katanya.
Norhafizi menganggap kehadiran Nur Ayra Delisha dalam hidupnya dan isteri sebagai anugerah terindah yang menceriakan keluarga.
“Ini ketentuan Ilahi dan kelahiran Nur Ayra Delisha membuatkan seluruh keluarga teruja terutama keluarga belah saya kerana kebanyakan anak saudara sudah besar.
“Bagi pasangan di luar sana yang lalui perjalanan sama seperti saya dan isteri supaya bersabar, jangan putus asa dan terus berdoa kepada Allah,” katanya.
Meninjau di ruangan komen ada pelbagai reaksi diberikan malah ramai juga yang berkongsi kisah dan pengalaman peribadi berkenaan jarak kelahiran anak yang terlalu jauh. Antaranya adalah perkongsian daripada Puan Elin Hasekh, tulisnya, “alhamdulillah macam anak sulong saya juga sis tak boleh terima ada adik sebab 4 tahun dia dengan saya, tahu-tahu ada adik merajuk dia. Bila saya bersalin dia yang paling teruja sangat”
Komen Noorrasikin Mohamad pula, ” Anak saya yang sulong umur 21, yang nombor 2 17 tahun, ada adik umur 3 tahun.
Tidak dengan itu, malah ramai yang mendoakan agar keakraban adik beradik ini terus kekal bahagia buat selama-semalanya dan mengucapkan tahniah.
Setiap antara kita tentu ada kisah hidup yang unik dan tersendiri. Begitu juga buat suami ini, apabila keseronokkanya adalah dengan memasak hidangan untuk keluarganya.
Atas alasan ini juga, membuatkan dirinya tidak kisah untuk bangun seawal jam 5 pagi setiap hari semata -mata untuk menyediakan hidangan untuk dijadikan bekalan anak-anak ke sekolah.
Mengetahui lanjut kisah suami yang luar biasa ini, bolehlah dijadikan inspirasi kepada kita.
Ini perkongsiannya.
Ini rahsia saya…
“Bangun pukul berapa nak masak-masak sarapan pagi dan bekal sekolah ni?” ini satu soalan yang selalu ditanyakan.
“Bangun awal, tak rasa penat ke? Makan apa supaya tak rasa mengantuk apabila kerja….” juga salah satu soalan paling popular.
Jawapannya,
1) Bangun awal. Jam berapa? Saya cerita di bawah.
2) Kalau tak penat tu bukan manusialah. Mestilah kepenatan itu wujud dan dirasa. Tetapi bukan penat itu yang sebenarnya patut difikirkan…
Begini ceritanya,
Sekitar bulan November hingga Disember 2017, kami sedang menyiapkan barang persekolahan Along ST yang akan melangkah ke Tahun 1 pada Januari 2018, ketika itu saya fikir apabila Along mula bersekolah, anak ketiga kami Aboy (akan) berusia 1 tahun 1 bulan, masih menyusu badan.
Sebagai seorang ayah, saya mahu anak ke sekolah dengan bersarapan terlebih dahulu di rumah sebelum ke sekolah. Malah, saya fikir, bekalkan anak dengan makanan dari rumah adalah lebih baik daripada membeli makanan di kantin/luar.
Namun, sebagai seorang suami, saya tidak rasa idea untuk membiarkan isteri saya bersusah di dapur dengan kapasiti Aboy yang masih menyusu badan itu adalah idea yang baik. Maka, saya buat keputusan lebih baik saya yang memasak sarapan sekaligus bekal untuk anak sekolah.
Thus, the struggle begins.
Susah pada mulanya, tetapi setelah terbiasa, jadi ringan, mudah dan sekarang (setelah lebih 2 tahun melakukannya), saya jadi seronok! Subhanallah.
Rahsia saya,
1) Bangun pagi ikut ‘menu’ makanan yang akan dimasak.
Ada menu yang susah atau memakan masa untuk memasaknya (contoh kek, perlu bakar atau kukus lama), maka saya bangun sekitar 4.30 atau 4.45 pagi.
Ada menu yang senang (contoh nasi goreng), saya bangun sekitar 5 atau 5.15 pagi.
Ada menu yang boleh dimasak dengan cepat tetapi penyediaan bahannya agak cerewet (contoh nak buat mi kari atau potato salad), ada bahan-bahan yang saya sediakan malam sebelum tidur dan bangun sekitar 5 pagi esoknya untuk memasak.
Ada masanya ‘terbabas’ maka kelam-kabutlah memasak, tetapi Alhamdulillah Allah mempermudahkan semua urusan.
Ya, saya rancang apa nak masak esok paginya pada petang atau malam sebelum itu. Dah ada idea dah, jadi senang. Paginya bangun terus masak, tak perlu mengelamun cari idea .
2) Menunaikan solat sunat, sekurang-kurangnya 2 rakaat, sebelum mula memasak.
Sedar dari tidur, bangun, cuci muka dan ambil wudhu’, tunaikan solat. Sekurang-kurangnya 2 rakaat.
Biasa saya buat 2 rakaat solat sunat tahajjud. Jika ada masa, tambah 2 rakaat solat sunat taubat. Jika masih ada masa, tambah 2 rakaat solat sunat hajat. Dan ‘tutup’ dengan solat sunat witir, ikut keadaan.
Percayalah kata saya, pagi yang dimulakan dengan solat qiyamullail itu buat saya cergas, bertenaga, seronok, gembira dan tak penat, bukan sekadar masa memasak pagi sahaja, tetapi sepanjang hari.
Berbeza sangat dengan pagi/hari tak buat solat sunat, ada je benda tak kena. Penat tu salah satu benda yang berlaku. Rasa lemah badan. Terkadang jadi moody, tak ada mood.
Tetapi hari solat, tak rasa susah pun. Kita minta Allah mudahkan urusan kita, maka Allah mudahkan. Subhanallah.
Jadi 5 hari anak-anak bersekolah, maka sekurang-sekurangnya 5 pagi/malam/hari saya dapat tunaikan qiyamullail. Dulu agak payah juga, sekarang mudah. Dah jadi rutin.
Jangan risau, memang sempat je ke surau atau masjid. Mahu atau tak mahu je.
3) Masak resepi yang ringkas, bagi saya. Saya tak suka komplikated, maka saya customize resepi ikut selera kami sekeluarga sahaja.
Orang lain masak bihun goreng letak itu ini, wajib blend cili kering segala bagai, saya pilih resepi bihun goreng Singapura yang tak perlu guna cili kisar tetapi sekadar bawang dan black pepper saja. Orang lain masak spageti sos tomato kena buat itu ini jadi rumit, saya pilih memasak spegati aglio e olio yang guna minyak zaitun, chilli flakes dan bawang putih je. Pilih yang memudahkan.
4) Saya kongsi di Facebook, dengan tujuan mahu naikkan semangat sendiri.
Saya share gambar, celoteh atau resepi, ada orang Like dan Komen, saya rasa seronok. Tak kisahlah walaupun tak ramai yang Like, saya anggap perkongsian saya tak negatif, tak buruk, of course niat LillahiTaala, maka saya share.
Secara jujurnya, saya nak ucapkan terima kasih kepada semua yang pernah Like dan Komen (dan Share), sebab anda semua memberi semangat kepada saya untuk terus istiqamah memasak sarapan pagi sekeluarga dan bekal sekolah anak-anak. You guys are awesome!
5) Pelbagaikan menu, supaya kita sebagai tukang masak, tak rasa jemu nak memasak.
Saya benar-benar pelbagaikan.
Masakan Melayu, Cina, Barat, India, pelbagai. Semalam masak mi, hari ni sediakan roti, esok sediakan pasta. Gilir-gilir, selang-seli, tukar-tukar.
Bahkan apabila kita buat sebegini, kita jadi kreatif, kita jadi seronok, kita boleh cari idea baru, saya jadikan aktiviti dengan anak-anak mencari resepi dan idea masakan, macam-macam. Jadi teruja, seronok dan mengeratkan hubungan.
Boleh join support groups seperti Masak Apa Hari Ni di Facebook. Ramaaaaaaiiiiii orang kongsi gambar masakan, resepi dan seumpamanya. Macam-macam idea boleh dapat.
Tetapi perlu ingat fokus utama mencari idea dan resepi, bukan membawang, bukan saja-saja tengok, bukan skrol situ sini tanpa tujuan, nanti membazir masa tengok Facebook pun tak guna juga.
6) Sebagai suami, isteri menjadi support kuat saya. Isteri tak komplen masakan tak sedap ke, tetapi diam saja. Lama-lama si suami ni belajar sendiri rasa itu dan menambahbaikkan rasa sendiri. Isteri saya bangun awal pagi juga, saya masak isteri solat atau lipat baju atau kemas rumah…
Sebagai seorang lelaki, ibu saya support saya memasak untuk keluarga saya. Ini juga support kuat. Ibu perlu beri galakan kepada anaknya (kita) untuk memasak, bukan komplen menantu (isteri kita) tak memasak.
Anak-anak pasti support punya. Saya ni, masak apa pun, setiap hari anak-anak kata saya masak sedap. Perghhhhhhh, seronok weyyyyy.
7) Semestinya semua ini perlu dilakukan dengan niat yang baik.
Niat lillahi taala, pastilah terbaik.
Niat bantu isteri, terbaik.
Niat masak makanan sihat untuk keluarga, terbaik.
Niat tak nak guna MSG segala tu, terbaik.
Niat jimatkan duit, terbaik.
Niat ibadah sama ada solat, masak, urus keluarga, semua ini terbaik.
Niat nak ikut sunnah Rasulullah menyantuni keluarga dengan baik, terbaik.
Niat semua yang baik-baik, Allah pasti bantu.
Dan satu perkara penting juga, lakukannya dengan baik. MasyaAllah, kita rasa seronok sebab rasa dekaaaaaat dengan Allah. Amalan menyantuni keluarga dengan baik, termasuk memasak ini, adalah amalan ajaran Rasulullah SAW, kan?
Allah pasti bantu memudahkan.
Dan sekarang ini, anak-anak sudah tahu, setiap pagi nampak hidangan terhidang, anak-anak akan bantu ambilkan pinggan, sediakan sudu garfu, ambilkan gelas, duduk sama-sama, dan memastikan Papa (saya) ambil gambar sebelum makan.
Baca doa dan makan bersama. Subhanallah.
Kemudian bertolak ke sekolah, Papa (saya) pergi hantar anak-anak ke sekolah. Kemudian saya ke tempat kerja.
Bersama dalam post ini, saya sertakan gambar-gambar masakan sarapan pagi (makan pagi sebelum ke sekolah jam 7 pagi) sekaligus bekal sekolah anak-anak (makan waktu rehat jam 10 pagi di sekolah).
Memandangkan isteri saya berada di rumah (surirumah yang berniaga dari rumah), maka makan tengah hari dan malam isteri saya sediakan, saya jemput anak-anak balik dari sekolah pulang ke rumah dan lunch di rumah, tak makan luar pun jadi sebab itulah anda tak nampak saya makan di kafe tempat kerja. Heheheee.
Gambar-gambar ini adalah sebahagian koleksi dari Jun 2019 hingga awal Januari 2020 ini. Tanpa saya sedar, banyaaaaaak menu, resepi dan gambar saya kongsi. Hehehe…
Saya nak bukukan semua ni dari segi gambar, celoteh, kisah dan resepi. Nak beli buku resepi saya tak?
Kepada yang belum follow, tekan follow FB Syahr Musafir ye 😀
Sebelum anak mula sekolah rendah, saya ada juga masak. Kadang-kadang je la, sebab isteri nak masak. Sekarang ni pun isteri nak masakkan sebab tak nak susahkan saya, tetapi saya minta isteri beri peluang saya pun nak buat kebaikan untuk keluarga juga. Saya masak pagi, isteri masak tengah hari/malam. Kerjasama dengan penuh kasih sayang gittewww
Setelah sebulan lebih kita menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusannya hari ini mengingatkan supaya masyarakat tidak lalai dan meneruskan amalan kebiasaan baharu atau new normal.
Menurut beliau, jangan disebabkan kes-kes COVID-19 semakin berkurangan, masyarakat mula lalai dan tidak lagi memakai pelitup muka di tempat awam. Sama juga dengan penjarakan sosial yang semakin lama dipandang enteng oleh sesetengah pihak sehingga tidak menjarakkan diri mereka sekurang-kurangnya satu meter dari orang lain.
” Saya selalu berpesan supaya saudara-saudari semua elakkan berjabat tangan. Saya tengok sekarang dah ada yang bukan sahaja berjabat tangan, malah berpeluk ketika berjumpa sahabat-handai dan sanak-saudara.
” Ya, itu bagus untuk eratkan persahabatan dan persaudaraan. Tetapi jangan kita lupa. Kita masih berada dalam fasa pemulihan COVID-19. Jadi amalan-amalan ini walaupun baik dari segi pergaulan sosial, namun ianya amat tidak baik dari segi usaha kita untuk melindungi diri sendiri dan orang-orang di sekeliling kita daripada dijangkiti virus COVID-19,” katanya dalam sidang media.
Tambah beliau, dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan atau PKPP ini, setiap individu, keluarga dan komuniti adalah petugas barisan hadapan atau frontliners. Ahli keluarga dan anggota masyarakat mestilah sentiasa nasihat-menasihati dan ingat mengingati antara satu sama lain.
Dalam pada itu, kerajaan juga sedang menimbang untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat-tempat awam. Perincian mengenainya akan diumumkan apabila peraturan yang berkaitan dimuktamadkan oleh kerajaan.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
UNIQSAAS rasmi universiti al-Quran pertama Malaysia selepas dimasyhurkan Sultan Pahang. Penubuhan universiti ini menjadi sejarah baharu dalam pendidikan tinggi Islam serta memperkukuh pembangunan modal insan berteraskan al-Quran.