
Ada pasangan yang sudah melalui hampir seluruh perjalanan hidup bersama. Dari usia muda, membesarkan anak-anak, melihat mereka membina keluarga sendiri, melalui susah senang sehinggalah rambut sama-sama memutih.
Apabila salah seorang pergi terlebih dahulu, yang tinggal bukan sekadar kehilangan seorang suami atau isteri.
Kadang-kadang, seluruh suasana kehidupan turut berubah. Itulah antara sisi kehilangan yang mungkin sukar difahami oleh mereka yang tidak pernah melaluinya.
Kredit: Astro Awani
Setiap Sudut Rumah Ada Kenangan
Perkara ini turut tergambar menerusi perkembangan terkini Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas pemergian isterinya, Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali.
Anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, bapanya memerlukan masa untuk benar-benar menerima kehilangan isteri yang telah bersamanya selama kira-kira tujuh dekad.
Menurut Mukhriz, berada di rumah juga bukan sesuatu yang mudah kerana benda-benda yang dipandang boleh mengingatkan Tun Dr. Mahathir kepada Allahyarhamah.
Pada 1 Oktober, Tun Dr. Mahathir turut menziarahi pusara isterinya di Pusara Negara, Putrajaya. Beliau berada di situ kira-kira 20 minit bersama ahli keluarga dan dilihat sebak mengenangkan insan yang telah menemaninya selama lebih tujuh dekad.
Mungkin inilah yang ramai pernah alami selepas kehilangan seseorang yang sangat dekat.
Bukan Mudah Kehilangan Teman Hidup
Menurut National Institute on Aging (NIA), kesedihan selepas kematian seseorang yang disayangi adalah sebahagian daripada proses berkabung. Setiap individu pula boleh melalui pengalaman tersebut dengan cara yang berbeza.
Lebih-lebih lagi apabila yang pergi ialah seseorang yang sudah menemani hidup selama puluhan tahun.
Perkara yang dahulunya kelihatan biasa itulah akhirnya menjadi kenangan yang paling dirindui.
Anak-Anak Jadi Tempat Bersandar
Anak-anak mungkin tidak mampu menghilangkan kesedihan ibu atau bapa yang kehilangan pasangan. Mereka juga tidak perlu memaksa ibu atau bapa untuk cepat kembali ceria.
Duduk menemani makan. Membawa keluar sebentar. Mendengar cerita lama yang mungkin sudah berkali-kali diceritakan. Membiarkan mereka mengenang pasangan tanpa menyuruh mereka berhenti bersedih.
Ada hari seseorang kelihatan kuat, tetapi keesokan harinya sebuah lagu, tempat duduk kosong atau barang kecil di rumah boleh menghidupkan kembali kenangan.
Kredit: Threads @tokdinsight
Jangan Tunggu Kehilangan Untuk Menghargai
Kisah kehilangan juga meninggalkan satu peringatan untuk kita yang masih mempunyai pasangan di sisi.
Dalam kesibukan membesarkan anak, mencari rezeki dan mengurus rumah tangga, mudah untuk kita menganggap kehadiran pasangan sebagai sesuatu yang biasa.
Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah dan Tun Dr. Mahathir melalui perjalanan bersama selama lebih tujuh dekad. Anak mereka, Tan Sri Mokhzani Mahathir sendiri menyifatkan apa yang ditinggalkan ibunya bukan satu kenangan terakhir, tetapi “jutaan kenangan” yang akan terus dikenang keluarga.
Kita bermula sebagai dua orang yang memilih untuk hidup bersama. Selepas berpuluh tahun, kehadiran masing-masing menjadi sebahagian daripada kehidupan yang sukar dipisahkan.
Dan apabila seorang pergi terlebih dahulu, rumahnya mungkin masih sama. Cuma rasanya tidak akan pernah benar-benar sama lagi.
BACA LAGI: “Setiap Benda Yang Dipandang Akan Ingatkan Arwah Bonda”, Mukhriz Kongsi Keadaan Tun M
Sumber: Harian Metro & National Institute on Aging (NIA)
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di



