
Isu buli pelajar bukan sekadar tanggungjawab pihak sekolah dan guru, sebaliknya peranan ibu bapa di rumah juga sangat penting dalam membentuk sikap serta tingkah laku anak-anak.
Perkara itu disuarakan pengacara dan penceramah motivasi, Amin Idris, yang berkongsi pandangannya mengenai sikap segelintir ibu bapa yang didakwa terlalu mempertahankan anak meskipun mereka melakukan kesalahan.
Menerusi hantaran di Threads, Amin menegaskan bahawa pendidikan sebenarnya bermula dari rumah dan ibu bapa perlu memainkan peranan apabila anak terlibat dalam masalah disiplin.

Isu Buli Pelajar: Pendidikan Bermula Di Rumah
“Pendidikan bermula di rumah. Banyak kes bila anak buat salah, ibu bapa dipanggil. Respon ibu bapa sama ada tak datang langsung atau defensif kepada anak yang buat salah.
“Then ada audacity tuntut kembalikan rotan? Guru tegur anak tak siap kerja rumah pun merentan dalam group WhatsApp, siap ugut SISPAA!
“Ya, sekolah kena jadi tempat selamat. Ya, menteri pun ada peranan. Tapi ibu bapa?” tulisnya.
Menurut Amin, apabila berlaku sesuatu kes melibatkan pelajar, ibu bapa tidak seharusnya hanya menyerahkan tanggungjawab kepada pihak sekolah.
Sebaliknya, mereka juga perlu bersedia menerima teguran, mendengar penjelasan dan membantu anak memahami kesalahan yang dilakukan.
Dalam menangani isu buli pelajar, kerjasama antara sekolah dan keluarga penting kerana pendidikan serta pembentukan tingkah laku anak tidak hanya berlaku ketika mereka berada di sekolah. Apa yang diterapkan di rumah juga memainkan peranan dalam membentuk cara anak berinteraksi dengan orang lain.
Ibu Bapa Juga Perlu Bertanggungjawab
Dalam perkongsian sama, Amin turut berharap ibu bapa diberi tanggungjawab sewajarnya sekiranya berlaku kes serius membabitkan anak yang masih di bawah umur.
“Harapnya bila kes bawah umur, budak mungkin terlepas tapi ibu bapa mesti dipertanggungjawabkan,” katanya.
Bagi ibu bapa, naluri untuk melindungi anak sememangnya kuat. Namun, membela tanpa mengetahui keadaan sebenar boleh menyebabkan anak sukar belajar mengenai tanggungjawab dan akibat daripada perbuatan sendiri.
Dalam konteks isu buli pelajar, tindakan mempertahankan anak tanpa terlebih dahulu mendapatkan gambaran sebenar mengenai sesuatu kejadian juga boleh menyukarkan usaha untuk membimbing mereka memahami kesalahan sendiri.
Teguran tidak semestinya bermaksud ibu bapa tidak menyebelahi atau menyayangi anak. Sebaliknya, teguran boleh menjadi sebahagian daripada proses mendidik anak supaya memahami bahawa setiap tindakan mempunyai kesan terhadap diri sendiri dan orang lain.

Amin Idris Pernah Alami Anak Dibuli
Amin turut berkongsi pengalaman peribadi apabila anaknya pernah menjadi mangsa buli mental ketika di sekolah rendah.
“Saya ada pengalaman anak dibuli mental semasa sekolah rendah.
“Bila hubungi ibu budak yang membuli, dia boleh buat tak tahu. Malah disidainya kita.
“Nasib baik ayah respon beberapa lama kemudian,” kongsinya.
Pengalaman itu membuatkan Amin percaya bahawa memang ada ibu bapa yang sukar menerima hakikat apabila anak sendiri melakukan kesalahan.
“Memang wujud ibu bapa yang sama ada defensif ataupun ‘denial’ bila anak-anak buat salah dan didapati membuli kawan-kawan,” ujarnya.
Perkongsian pengalaman tersebut turut menggambarkan mengapa peranan ibu bapa menjadi antara perkara penting apabila membincangkan isu buli pelajar, terutama apabila sesuatu kejadian memerlukan kerjasama daripada keluarga kedua-dua pihak.
Kerjasama Ibu Bapa Dan Sekolah Penting
Dalam mendidik anak, kasih sayang bukan bermaksud setiap kesalahan perlu dipertahankan. Ada masanya, anak perlu ditegur, dibimbing dan diajar untuk mengakui kesilapan sendiri.
Ibu bapa juga perlu bersedia mendengar penjelasan daripada pihak sekolah sebelum membuat kesimpulan apabila anak berdepan masalah disiplin. Pada masa sama, pihak sekolah mempunyai peranan untuk menyediakan persekitaran yang selamat kepada pelajar dan menangani aduan secara sewajarnya.
Menangani isu buli pelajar memerlukan penglibatan kedua-dua pihak. Tanggungjawab tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya kepada guru dan sekolah, manakala peranan keluarga dalam membentuk tingkah laku anak juga tidak boleh diketepikan.
Kerjasama antara ibu bapa dan pihak sekolah amat penting supaya anak-anak membesar dengan nilai hormat, empati dan rasa tanggungjawab terhadap orang lain.
Pada masa sama, kesediaan ibu bapa menerima teguran apabila anak melakukan kesalahan boleh membantu proses mendidik mereka menjadi individu yang memahami batas tingkah laku serta kesan perbuatan terhadap orang di sekeliling.
Dalam usaha menangani isu buli pelajar, pendekatan yang melibatkan pendidikan di rumah, tindakan pihak sekolah serta kerjasama ibu bapa boleh menjadi asas penting untuk membentuk persekitaran yang lebih selamat dan bertanggungjawab untuk anak-anak.
Sumber: Threads
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di

