
Tiada yang lebih memilukan buat seorang ibu apabila terpaksa menerima hakikat kehilangan dua anak tersayang dalam sekelip mata. Lebih meruntun hati, anak sulung dan anak bongsu yang selama ini menjadi tempatnya menumpang kasih pergi serentak akibat kemalangan jalan raya.
Itulah dugaan berat yang menimpa Seedah Arwae, 51, apabila anak sulungnya, Mohamad Zulkefli, 32, bersama isteri, Norshila Zali, 36, dan anak bongsunya, Muhammad Alif Syukri, 18, maut dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke Kelantan pada Ahad lalu.
Ibu Hampir Pitam Terima Berita Kehilangan Dua Anak
Menurut anak keempat keluarga itu, Ruqaiyah Ishak, 28, ibunya hampir pitam sebaik menerima berita kemalangan yang meragut nyawa dua anak lelaki kesayangannya.
“Ibu hampir pitam terkejut mendapat tahu abang dan adik maut dalam kemalangan, malah dia tidak tidur sepanjang malam menunggu ketibaan jenazah,” katanya.
Ruqaiyah berkata, mereka menerima berita duka itu sekitar jam 7 malam selepas dimaklumkan oleh seorang rakan abangnya.
Sejak itu, ibunya tidak mampu melelapkan mata dan hanya menunggu kepulangan jenazah kedua-dua anaknya di rumah mereka di Kampung Pasir Era, Kuala Krai.
“Jenazah abang dan adik tiba di rumah sekitar jam 9 pagi.
“Sehingga sekarang ibu hanya mampu menangis setiap kali melihat jenazah abang serta adik,” katanya.
Gambar Dalam Kereta Jadi Kenangan Terakhir
Paling menyentuh hati, Ruqaiyah sempat berhubung dengan abang sulungnya menerusi WhatsApp kira-kira jam 3.38 petang, tidak sampai dua jam sebelum kemalangan berlaku.
Ketika itu, dia hanya mahu mengetahui lokasi perjalanan mereka.
Tidak disangka, gambar yang dihantar abangnya memperlihatkan mereka bertiga di dalam kereta menjadi kenangan terakhir buat keluarga.
“Abang membalas mesej dengan menghantar gambar mereka bertiga di dalam kereta. Itulah kenangan terakhir kami,” katanya.
Pernah Kehilangan Suami, Kini Dua Anak Pula Menyusul Pergi
Kehilangan dua anak lelaki serentak cukup memberi kesan kepada Seedah yang sebelum ini diuji dengan pemergian suami pada tahun 2017.
Menurut Ruqaiyah, ibunya mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan kedua-dua arwah, terutama Mohamad Zulkefli yang gemar bergurau dan pernah tinggal bersamanya sebelum mendirikan rumah tangga pada tahun 2023.
Allahyarham bekerja sebagai kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB), manakala isterinya merupakan seorang peniaga.
Difahamkan, pasangan itu tinggal di Sungai Durian bersama dua anak tiri Allahyarham serta seorang anak saudara sebelah isterinya.
Niat Jemput Adik Pulang Bertukar Tragedi
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang, Ahad, ketiga-tiga mangsa terbabit dalam kemalangan di Kilometer 90, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, berhampiran Bukit Bauk, Terengganu.
Mereka dalam perjalanan pulang ke Kelantan selepas menjemput Muhammad Alif Syukri yang menuntut di Politeknik Sultan Ahmad Shah (POLISAS), Kuantan, Pahang.
Mohamad Zulkefli dan isterinya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah, manakala Muhammad Alif Syukri menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Dungun.
Menurut Ruqaiyah, jenazah abang sulung dan adik bongsunya akan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Era, manakala jenazah kakak iparnya di Ketereh.
Sesungguhnya, pemergian insan tersayang secara mengejut meninggalkan luka yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Semoga Seedah sekeluarga diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian berat ini, serta roh ketiga-tiga Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT.
BACA LAGI: Sekolah Tutup Akibat Jerebu, Tiga Beradik Maut Dalam Perjalanan Ke Sekolah
Sumber: Sinar Harian
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di

