
Bagi seorang anak, kenangan terhadap ibu bukan hanya pada perkara besar yang pernah dilakukan, tetapi juga rutin kecil yang disaksikan setiap hari.
Itulah yang dirasai Datuk Seri Mukhriz Mahathir apabila mengenang amalan Allahyarham ibunya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang tidak pernah meninggalkan bacaan Surah Yasin setiap petang sebelum masuk waktu Maghrib.
Menurut Mukhriz, amalan itu terus dilakukan Allahyarham walaupun penglihatannya semakin terhad sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Tun Dr Siti Hasmah Tetap Baca Yasin Setiap Petang
Mukhriz berkata, membaca Surah Yasin sebelum Maghrib memang menjadi kebiasaan bondanya setiap hari.
“Sebelum Maghrib, dia akan membaca Yasin dan tidak pernah meninggalkannya. Itu memang amalan kebiasaan beliau setiap hari.
“Walaupun penglihatan beliau dalam tiga atau empat tahun kebelakangan ini tidak begitu baik, beliau tetap membaca kerana sudah menghafalnya,” katanya.
Walaupun berdepan keterbatasan penglihatan, keadaan itu menurut Mukhriz tidak menghalang bondanya daripada meneruskan rutin yang sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan hariannya.
Dengar Bacaan Al-Quran Melalui Alat Audio
Allahyarham juga mempunyai alat audio yang mengandungi bacaan al-Quran dan Surah Yasin antara yang paling kerap didengarinya.
Sama ada sedang duduk atau berbaring, Allahyarham akan memasang bacaan tersebut sebelum turut mengikutinya.
Ia menggambarkan bagaimana bacaan al-Quran terus menemani rutin hariannya walaupun penglihatannya sudah tidak sebaik dahulu.

Kenangan Mukhriz Bersama Tun Dr Siti Hasmah Di Hospital
Lebih menyentuh hati, Mukhriz turut berkongsi kenangan apabila pernah duduk bersama bondanya di hospital dan membaca Surah Yasin bersama-sama.
“Saya sendiri pernah duduk bersama beliau di hospital dan membaca Yasin bersama-sama.
“Sebab itu apabila kita menghadiahkan pahala bacaan Yasin dan tahlil kepada bonda, saya rasa itulah yang paling beliau hargai kerana ia memang menjadi amalan hariannya,” katanya.
Kenangan membaca bersama-sama itu tentunya mempunyai tempat tersendiri di hati Mukhriz. Apa yang dahulunya merupakan satu rutin bersama bonda kini menjadi memori yang terus dikenang selepas pemergiannya.
Majlis Yasin Dan Tahlil Buat Tun Dr Siti Hasmah
Mukhriz berkongsi perkara itu selepas menghadiri Majlis Bacaan Tahlil dan Yasin buat Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menganjurkan bacaan Yasin dan tahlil, termasuk secara dalam talian.
Majlis berkenaan dihadiri kira-kira 400 orang terdiri daripada ahli keluarga, rakan terdekat dan orang ramai yang hadir mendoakan Allahyarham.
Amalan Sederhana Yang Kekal Dalam Ingatan Anak
Buat Mukhriz, rutin membaca Yasin setiap petang itu kini bukan sekadar satu amalan, tetapi menjadi antara kenangan paling dekat di hati terhadap bonda tercinta.
Kadang-kadang, perkara yang paling sederhana itulah yang paling lama kekal dalam ingatan seorang anak.
BACA LAGI : Tun Siti Hasmah! Ini Sebab Istimewa Masjid As-Syarif Dipilih Untuk Urusan Jenazah
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di

