Kesusahan hidup bukan alasan untuk berhenti mengejar impian. Itulah yang dibuktikan oleh Nur Hazwani Mat Sum, anak pengait sawit dari Felcra Nasaruddin, Perak yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).
Anak kelima daripada enam beradik itu meraih Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.92 dan kini menyimpan impian untuk bergelar guru demi mengubah nasib keluarganya. Kejayaan anak pengait sawit ini menjadi bukti bahawa usaha gigih, doa ibu bapa dan sokongan guru mampu mengatasi segala kekangan hidup.
Inspirasi Anak Pengait Sawit Daripada Guru Kaunseling
Menurut Nur Hazwani, minatnya dalam bidang pendidikan mula berkembang selepas mendapat banyak sokongan daripada seorang guru kaunseling ketika dia berdepan tekanan semasa menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Saya hendak jadi pendidik kerana ketika menghadapi tekanan semasa SPM dahulu, guru kaunseling banyak memberi sokongan dan mendengar setiap masalah saya.
“Sikap sabar serta dorongan yang diberikan beliau menjadi inspirasi untuk saya membantu pelajar lain pada masa depan,” katanya.
Pengalaman tersebut menjadi titik perubahan dalam hidupnya sehingga dia berazam untuk menjadi seorang guru yang mampu membimbing pelajar yang berdepan cabaran seperti yang pernah dialaminya.
Bapa Mengait Sawit Demi Pendidikan Anak
Bapanya, Mat Sum Ujud, 60, bekerja sebagai peneroka dan melakukan kerja mengait sawit, manakala ibunya, Normala Muhayat, 53, merupakan suri rumah.
Ads
Walaupun hidup serba sederhana, ibu dan bapanya tidak pernah mengabaikan pendidikan anak-anak. Malah, bapanya sanggup berulang-alik menghantar Nur Hazwani ke sekolah dengan menaiki motosikal setiap hari.
Selepas menamatkan persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Iskandar dengan keputusan 9A dan 1B dalam SPM, Nur Hazwani menyambung pengajian di Tingkatan Enam di SMK Iskandar Shah yang terletak kira-kira 20 kilometer dari rumah.
“Setiap hari, ayah berulang-alik menghantar saya dengan menaiki motosikal.
“Alhamdulillah, berkat bimbingan guru serta doa ibu dan ayah, keputusan STPM yang diumumkan baru-baru ini saya memperoleh PNGK 3.92,” katanya.
Pengorbanan bapanya yang bekerja sebagai pengait sawit dan tidak pernah mengenal penat menjadi sumber kekuatan buat Nur Hazwani untuk terus belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya memperoleh keputusan membanggakan.
Bantuan Program Anak Angkat Membantu Anak Pengait Sawit
Kesulitan hidup keluarganya turut mendapat perhatian kerajaan negeri Perak apabila Nur Hazwani dipilih menyertai Program Anak Angkat Cikgu Saarani (AACS) kendalian Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR).
Ads
Dia mula menyertai program itu ketika berada di penghujung Tingkatan Empat selepas dipilih berdasarkan prestasi akademik sebelum melalui proses temu duga dan lawatan ke rumah.
Sepanjang mengikuti program tersebut, Nur Hazwani menerima pelbagai bentuk bantuan termasuk komputer riba, kelas tuisyen, elaun bulanan RM100 dan penyertaan dalam aktiviti pembangunan diri.
“Semua bantuan itu saya gunakan untuk keperluan pembelajaran seperti menyiapkan kerja kursus, membayar yuran dan membeli kelengkapan termasuk pencetak,” katanya.
Bantuan yang diterima membolehkan beliau memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran tanpa terlalu dibebani masalah kewangan keluarga.
Anak Pengait Sawit Mahu Sambung Pengajian Di UPSI
Sementara menunggu keputusan permohonan kemasukan ke universiti melalui Unit Pusat Universiti (UPU), Nur Hazwani kini bekerja sambilan sebagai pembantu jualan di sebuah kedai pakaian kanak-kanak di Seri Iskandar.
Sekiranya diberi peluang, dia mahu melanjutkan pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam bidang pendidikan, khususnya Bahasa Melayu atau Geografi.
Hasratnya adalah untuk kembali berbakti sebagai pendidik dan membantu lebih ramai pelajar yang memerlukan bimbingan serta motivasi seperti yang pernah diterimanya.
Kejayaan Membuktikan Impian Mampu Direalisasikan
Kisah anak pengait sawit ini diharap menjadi inspirasi kepada generasi muda supaya tidak mudah berputus asa walaupun berdepan pelbagai cabaran hidup. Dengan kesungguhan, disiplin dan semangat yang tinggi, kejayaan pasti mampu dicapai.
Umum terutamanya umat Islam sedia maklum air zamzam berasal dari telaga di kawasan Masjidil Haram, Mekah. Biasanya, mereka yang menunaikan Haji dan Umrah akan berkunjung ke telaga zamzam dan bawa pulang ke tanah air untuk disedekahkan atau disimpan sebagai bekalan.
Terbaharu, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini telah mengeluarkan satu posting di Facebook tentang larangan jualan air zamzam. Hal ini kerana ada segelintir individu mengambil kesempatan dengan membuat perniagaan air zamzam disebabkan permintaan yang tinggi kerana banyak khasiatnya.
Terdapat pihak yang mengambil kesempatan mengimport, menjual dan mengedarkan air zamzam sempena kedatangan musim haji pada tahun ini. Diingatkan semula bahawa penjualan air zamzam di Malaysia adalah DILARANG dan pihak yang melakukan perkara tersebut bakal dikenakan hukuman jika disabitkan kesalahan.
Malah, pihak kerajaan Arab juga melarang pengeksportan dan penjualan air zamzam.
Untuk pengetahuan, air zamzam ini termasuk dalam kategori air mineral semula jadi yang telah termaktub di bawah Peraturan360A, Peraturan-peraturan Makanan 1985.
Bagi yang mempunyai maklumat tentang kegiatan pengimportan, pengedaran dan penjualan air zamzam ini, diminta menyalurkan aduan kepada Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM, Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat.
Sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh dilakukan secara atas talian di laman web rasmi dan laman Facebook KKM.
Kanser atau barah sememangnya penyakit yang paling ditakuti kerana merupakan pembunuh nombor satu di dunia. Rawatannya juga mengambil masa yang lama untuk bebas daripada penyakit ini.
Itulah yang dihadapi olrh seorang wanita bernama Kristen Juliet Soh. Sebulan selepas perkahwinannya, Kristen Juliet Soh mendapati dia menghidap barah limfoma, sejenis barah darah yang menjejaskan sistem limfa badan.
Namun atas kecekalannya, dia berjaya menangani ujian luar biasa itu bersama suaminya dan kini mereka dikurniakan dua orang anak.
Menurut Kristen Juliet Soh, ia bermula dengan simptom batuk kering yang ringan pada Mei 2014, sebulan sebelum perkahwinan Kristen Juliet Soh. Pada mulanya, bakal pengantin perempuan berusia 29 tahun itu tidak terlalu memikirkannya dan meneruskan persiapan untuk hari bahagianya itu.
Walau bagaimanapun, dalam beberapa minggu, batuknya semakin teruk. “Ia sampai ke tahap di mana setiap kali saya bercakap atau berjalan, saya akan batuk. Kemudian, saya mula merasakan sakit yang tajam di bahagian belakang badan saya dan saya fikir akibat otot yang tertarik akibat terlalu kerap batuk,” katanya.
Soh telah berjumpa dengan dua orang doktor atau pengamal perubatan (GP) dan diberikan ubat batuk setiap kali berunding. Namun begitu, batuknya berterusan.
“Saya melalui majlis perkahwinan saya tanpa mengetahui apa yang berlaku. Semasa suami berbual dengan tetamu, saya batuk-batuk,” katanya.
Sebulan kemudian, dia mengalami batuk darah. Ini sangat meresahkannya sehingga dia bergegas ke hospital untuk melakukan pemeriksaan X-ray, yang menunjukkan ketumbuhan besar di paru-paru kanannya.
Doktor pada mulanya mengesyaki radang paru-paru dan meletakkan Soh untuk melalui rawatan titisan (drip) antibiotik. Bagaimanapun, Soh mula mengalami demam panas dan selepas imbasan tomografi berkomputer (CT) yang lebih terperinci, doktor menemui tumor besar sebesar sekeping roti di paru-parunya.
Pada tengah malam hari yang sama, Soh dibawa masuk ke dewan bedah untuk proses biopsi bagi mengeluarkan sampel tisu sel untuk ujian. Sekitar pukul 3 pagi, keputusan telah dikeluarkan.
“Doktor meminta ibu bapa, abang dan suami saya keluar dari bilik untuk bercakap dengan mereka secara tertutup terlebih dahulu. Ketika itulah saya tahu ada sesuatu yang tidak kena dan bersedia secara mental untuk menghadapi yang terburuk,” katanya.
Ia adalah limfoma tahap 3.5, barah kelima paling biasa di Singapura. Dalam kes Soh, dia mengalami limfoma Non-Hodgkin sel B, barah yang disebabkan oleh mutasi dalam DNA sejenis sel darah putih yang membantu tubuh melawan jangkitan.
Barah menjejaskan sistem limfa badan. Oleh kerana barah yang dihidapinya agresif, dia perlu memulakan kemoterapi intensif dengan segera.
“Pada masa itu, saya tidak pernah mendengar tentang limfoma sebelum ini. Tetapi tanggapan saya tentang barah adalah ia menakutkan,” katanya.
Walaupun tahu ia sukar, Soh memberanikan diri untuk berbincang dengan suaminya. “Saya bertanya sama ada dia mahu membatalkan perkahwinan itu. Lagipun, perkahwinan kami baru sebulan dan menjaga orang sakit bukanlah sesuatu yang dikehendakinya. Saya tidak tahu sama ada saya akan sembuh,” katanya.
Tanpa berlengah, suaminya berjanji akan terus bersamanya.
Ini bukan satu-satunya perbualan yang sukar bagi pasangan itu. Memandangkan kemoterapi diketahui menjejaskan kesuburan, mereka turut berbincang tentang pilihan untuk membuat kaedah rawatan pembekuan telur.
Bagaimanapun, berpandukan kepercayaan Katolik mereka dan tidak mahu menangguhkan lagi rawatan, pasangan itu akhirnya memutuskan untuk tidak melakukannya. “Kami memutuskan untuk membiarkan perkara berjalan secara semula jadi dan mempertimbangkan mengambil anak angkat jika saya benar-benar tidak dapat melahirkan bayi,” kata Soh.
Malah, Soh menerima diagnosis dan rancangan perawatannya. Dia berkata: “Saya sangat tenang. Saya fikir baik-baik saja, berserah saja. Saya hanya akan buat yang terbaik.”
Saban hari, Soh sentiasa berfikir secara positif sehinggalah hari dia dihantar ke wad barah.
“Saya berkongsi wad saya dengan tiga orang pesakit lain. Mereka tidak lagi mempunyai rambut. Seorang mengerang kesakitan sepanjang hari dan malam. Seorang lagi benar-benar kembung kerana dimasukkan air – kakinya bengkak sehingga dia sukar berjalan.
“Melihat bagaimana pesakit lain menderita seolah-olah cermin bagi masa depan saya sendiri,” katanya.
“Sepanjang hidup saya sehingga ke tahap ini, saya tidak pernah dimasukkan ke hospital. Apabila jururawat memberi saya bekas air kencing dan membersihkan saya kerana saya mempunyai beberapa tiub dimasukkan dan ia bukan satu idea yang bagus untuk saya berjalan ke tandas, saya berasa sangat malu. Saya berasa teruk. Itulah kali pertama saya benar-benar putus asa,” katanya.
PERJALANAN MELAWAN BARAH
Sepanjang empat bulan berikutnya, Soh menjalani enam kitaran kemoterapi intensif. Dia menghabiskan seminggu di hospital, menjalani kemoterapi sepanjang masa, berehat di rumah selama dua minggu, dan kemudian kembali ke hospital untuk mengulangi kitaran itu.
“Ubat itu dimasukkan melalui titisan (drip), diikuti dengan titis salius di antara setiap pusingan ubat itu. Saya hanya terlantar sepanjang minggu itu sementara jururawat datang untuk menukarkan ‘drip’ untuk saya. Walaupun saya pergi ke tandas, saya akan menarik ‘drip’ itu bersama, “katanya.
Talian kateter pusat (PICC) yang dimasukkan secara periferi, yang pada asasnya adalah tiub panjang, dimasukkan ke dalam lengannya yang menuju ke jantungnya di mana ubat kemoterapi dihantar terus.
Soh juga dimasukkan sejenis alat untuk memasukkan ubat kemoterapi pada lengannya, dikenali ‘peripherally inserted central catheter’ (PICC). PICC adalah sejenis alat yang berfungsi sebagai ‘port’ kemoterapi bagi pesakit barah. Alat itu kekal dalam tubuh Soh selama empat bulan.
“Minggu pertama selepas setiap kitaran kemoterapi adalah yang paling sukar. Saya berasa sangat lemah sehinggakan walaupun saya berjalan dari bilik tidur ke tandas, saya akan rasa tercungap-cungap seolah-olah saya baru selepas berlari. Saya hilang selera makan, mulut dan tekak saya dipenuhi dengan ulser. Saya makan makanan bayi, puri dan jus,” katanya.
“Oleh kerana kemoterapi berfungsi dengan membunuh sel-sel yang merebak cepat dalam badan – sel-sel barah serta sel-sel baik, ia menyebabkan keguguran rambut dan memusnahkan sel darah putih (yang membantu tubuh melawan jangkitan dan penyakit lain).
“Saya terpaksa menyuntik perut saya setiap hari untuk meningkatkan sel darah putih saya. Saya juga menjalani dua transfusi selama empat bulan apabila jumlah darah saya tidak normal,” tambahnya.
Ketidakpastian itu lebih sukar ditanggungnya berbanding kesakitan fizikal. “Oleh kerana kemoterapi memusnahkan sel anda, saya berasa lebih teruk semasa kemoterapi berbanding ketika saya hanya mengalami simptom barah sahaja. Saya tidak tahu sama ada rawatan itu berkesan,” katanya.
“Saya pernah menjadi seorang yang merancang segala-galanya tetapi tiba-tiba, saya rasa seperti tidak dapat mengawal apa-apa yang berlaku kepada tubuh badan saya. Saya tidak tahu bagaimana saya akan bertahan. Ini membuatkan saya berjaga sepanjang malam,” katanya.
DUGAAN HEBAT
Soh juga terpaksa akur dengan kesan rawatan barah yang menyebabkan rambutnya gugur. “Dahulu saya ada rambut yang sangat panjang dan ia amat menakutkan apabila melihatnya terbang bergumpal-gumpal apabila ditiup angin. Saya memutuskan untuk mencukurnya. Saya rasa ia seperti satu cara untuk mengambil semula kawalan ke atas tubuh saya,” katanya.
Perubahan fizikal ini menjejaskan imej dirinya. “Saya rasa saya kelihatan seperti makhluk asing tanpa rambut dan kening. Saya berasa hodoh dan tidak disayangi, walaupun suami saya memulakan sebarang sentuhan keintiman, saya berasa sangat tidak selesa,” katanya sambil menambah bahawa suaminya sangat memahami.
Emosi Soh juga terjejas dengan kemungkinan dia tidak akan mempunyai anak. “Apabila saya menonton video bayi perempuan dengan lesung pipit membuat reaksi comel, saya berasa sangat terharu. Saya terfikir sama ada saya akan mempunyai anak yang mungkin secomel itu?” ceritanya.
Walaupun Soh mengambil cuti sakit daripada kerja sepenuh masanya, sebagai pengurus kandungan sebuah aplikasi berita, dia masih masih meneruskan kerja sampingan pada masa itu, iaitu dengan sebuah majalah kecantikan digital, Daily Vanity. Dia menulis tiga hingga empat rencana mengenai topik kecantikan setiap minggu.
Ia mungkin sesuatu yang amat tidak menyelesakan untuk menulis tentang produk kecantikan seperti maskara dan syampu sedang rambut sendiri mengalami keguguran. Namun, Soh berkata bahawa menulis membantunya mengalihkan fikirannya kepada perkara-perkara lain. Ia membuatkan dirinya berasa produktif dan tidak ubah seperti dirinya sebelum ini.
Apa pun pada akhirnya, kasih sayang dan sokongan daripada ibu bapa, suami, abang dan rakan-rakannya yang membantu Soh tabah dengan ujian itu. “Mereka mengambil giliran untuk membawa saya ke hospital dan membuat jadual untuk memastikan bahawa seboleh-bolehnya, seseorang akan berada di hospital bersama saya,” tambahnya.
BERJUANG LAWAN BARAH
Masih kuat dalam ingatan Soh pada hari dimana dia akan menjalani keputusan imbasan dengan doktornya, lima bulan selepas dia mula batuk darah. “Saya berasa lebih gementar berbanding saat saya mengambil keputusan (peperiksaan peringkat) O,” katanya sambil ketawa.
“Ada juga sedikit keterujaan. Saya tahu jika tiada apa-apa, saya tidak perlu lagi menjalani kemoterapi.”
“Saya masih ingat ketika melangkah masuk ke pejabat doktor dan melihat senyuman besar di wajahnya. Ini adalah kali pertama saya melihat dia tersenyum lebar kepada saya; dia selalu mempunyai kerutan di wajahnya sebelum ini.
Sebaik sahaja saya melihat wajahnya, saya melepaskan rasa beban itu ke dalam hati saya,” katanya.
Soh mendengar penjelasan daripada doktornya. barahnya secara rasmi berada pada tahap mereda.
Ia adalah satu perjalanan yang mengerikan. Tetapi, seperti banyak pengalaman yang telah merubah hidupnya, hubungannya dengan kematian mengubah perspektif dan keutamaan yang harus dikejar.
Soh meninggalkan kerjanya sebagai pengurus kandungan. Dia dan suaminya kini mengendalikan Daily Vanity, di mana dia menjadi pengarah editorial.
Menyedari betapa dia ingin menjadi seorang ibu, dia mula mencuba untuk hamil dua tahun selepas pengalamannya dengan barah. Selepas mengalami keguguran, dia berjaya melahirkan anak sulungnya setahun kemudian.
Hari ini, Soh yang berusia 37 tahun menjadi ibu kepada dua anak lelaki, berusia empat dan satu tahun. Walaupun pengalamannya sebagai ibu sangat memuaskan, rasa takut bahawa barahnya akan berulang lagi masih menyelubungi dirinya.
“Baru-baru ini, saya mula berkongsi dengan anak sulung saya tentang kematian,” katanya.
“Dan apabila mereka lebih tua, saya pasti akan berkongsi perjalanan saya dengan penyakit barah bersama anak-anak saya.”
Pengalaman melawan barah juga membuatkan dia lebih menghargai keluarga dan rakan-rakan.
“Saya tidak pernah menjangkakannya, tetapi rakan-rakan (boleh) meninggalkan kita apabila kita menghidap barah, walaupun kita tidak (pernah) meminjam wang daripada mereka. Sebahagian daripada mereka hilang begitu sahaja.
Yang lain hanya menghantar mesej sokongan kepada saya hanya untuk mengucapkan:
‘Semoga cepat sembuh’.
Menurut Soh lagi: “Hanya segelintir rakan yang setia bersama saya, dan melakukan yang terbaik untuk memudahkan kehidupan saya dan penjaga saya”.
“Sebelum menghidapi barah, saya suka menyibukkan diri di tempat kerja, melepak dengan rakan-rakan dan mengisi kalendar sosial saya. Tetapi saya kini sedar bahawa memandangkan kehidupan hanya singkat, apa yang penting adalah orang yang benar-benar menyayangi kita,” kongsinya.
“Walaupun saya pernah terlalu merancang hidup saya, saya juga kini menyedari bahawa walaupun saya boleh merancang apa yang akan kita mahu buat untuk 10 tahun akan datang, saya mungkin sudah tiada dalam 10 tahun lagi.
“Episod ini mengajar saya untuk tidak terlalu berpegang kepada apa yang kita rancangkan. Sebaliknya biarlah kita menjadi lebih spontan, memberi diri kita sedikit kelonggaran, dan cuba untuk lebih menikmati kehidupan pada saat ini,” jelasnya lagi.
Ikan di laut, asam di darat dalam kuali bertemu juga. Itu antara pepatah Melayu yang cukup sinonim menggambarkan tentang soal jodoh dan sememangnya soal jodoh itu rahsia Allah.
“Saya tidak pernah menyangka akan berkahwin, sampai ke jinjang pelamin, namun inilah yang dinamakan takdir,” kata Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal, Muhammad Haziq Samrat.
Ini sebagaimana memetik laporan di myMetro berkenaan perkongsian seorang pemuda OKU yang berusia 27 tahun setelah selamat melangsungkan perkahwinanannya bersama wanita pilihan hati baru-baru ini.
Kisahnya menarik perhatian ramai selepas video majlis persandingannya bersama isteri, Nur Atiqah Amiera Ghazali, 29, tular di media sosial.
Dalam video itu, kelihatan Muhammad Haziq bergerak di atas papan selaju, beriringan dengan isterinya menuju ke pelamin untuk bersanding dan acara memotong kek.
Muhammad Haziq yang kini menetap di Bandar Tun Hussein Onn di sini berkata, video itu dirakam ketika majlis persandingan mereka di Dewan Besar Tun Rahah, Menara Yayasan Tun Razak pada 10 September lalu.
Katanya, dia tidak mengetahui ada pihak yang memuat naik video berkenaan di TikTok.
“Saya baru tahu sebenarnya dan tak sangka ia tular di laman sosial. Saya sedar ada tetamu yang mengambil gambar, video ketika datang majlis itu tapi tak sangka dimuat naik hingga tular,” ujarnya.
OKU Sejak Lahir
Berkongsi kisahnya, Muhammad Haziq berkata, dia merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik dan menjadi OKU sejak dilahirkan.
Katanya, sejak kecil dia diasuh untuk mengutamakan pendidikan dan tidak ketinggalan hingga memiliki Diploma Multimedia dan Animasi serta Ijazah Sarjana Muda Pengajian Perniagaan.
Muhammad Haziq juga tiada masalah bergaul dengan sesiapa, malah mempunyai ramai rakan normal.
“Saya terbuka dan tiada halangan berkawan dengan sesiapa baik lelaki mahupun perempuan.
“Cuma, bab pasangan itu saja yang tidak pernah saya jangka, apatah lagi terfikir sama ada perempuan mahukan saya atau tidak.
“Rupanya, ada juga yang sudi menerima diri saya seadanya dan kepercayaan itu akan cuba saya balas dengan melaksanakan tanggungjawab sebagai suami sebaiknya, menjaga dan mendidik isteri,” katanya.
Sementara itu, Nur Atiqah Amiera yang bekerja sebagai pembantu jururawat berkata, dia berkenalan dengan suaminya menerusi platform Bigo Live pada November 2020 dan tertarik dengan keperibadian lelaki itu.
“Kiranya, saya yang ‘mengayat’ suami dahulu pada awal perkenalan dan dia awalnya tidak suka cerita keadaan dirinya, jadi saya cuba juga kenali dia hingga pertemuan pertama kami pada 12 Disember 2020.
“Saya tidak kisah keadaannya macam mana, asalkan dia memahami dan boleh didik saya, malah keluarga juga tiada halangan serta terbuka menerima hubungan kami,” katanya yang memberitahu mereka melangsungkan akad nikah pada 23 Julai lalu.
Nur Atiqah Amiera berkata, tiada istilah terpaksa menerima pasangan OKU sebaliknya, dia bersedia menjadi isteri yang menjaga kebajikan suami istimewanya sekali pun berhadapan persepsi masyarakat.
“Daripada awal saya sudah tahu keadaan suami, jadi sudah tetapkan hati dan minda untuk bersedia dengan segala kemungkinan. Insya Allah saya mahu menjaganya sehingga akhir usia kami,” katanya.
Meninjau perkongsian video daripada photographer @alan.nordin di aplikasi TikTok berkenaan di sebalik tabir perkahwinan pasangan mempelai ini, nyata telah mendapat tontonan 2.2 juta setakat artikel ini ditulis.
Rata-rata wargamaya sangat berbangga dengan kemuliaan hati seorang wanita yang menerima pasangan dengan seadanya dan tidak kurang juga ramai yang mengucapkan tahniah dan mendoakan agar pasangan ini kekal bahagia hingga ke jannah.
Michelle Yeoh mencipta pencapaian membanggakan apabila dinobatkan The Asian Filmmaker of the Year 2026 sempena Festival Filem Antarabangsa Busan ke-31.