
Gambar Hiasan Gemini AI
Asma tidak terkawal bukan sekadar penyakit semput yang datang sekali-sekala. Bagi sesetengah keluarga, ia menjadi kebimbangan harian yang tidak kelihatan pada orang luar, tetapi cukup terasa dalam rutin kehidupan di rumah.
Setiap kali anak batuk berpanjangan, nafas berbunyi atau tiba-tiba kelihatan sukar bernafas, hati ibu ayah pasti tidak tenteram. Lebih mencemaskan apabila simptom berlaku pada waktu malam, ketika anak sedang tidur dan seluruh keluarga sepatutnya berehat.
Hakikatnya, asma tidak terkawal bukan sahaja memberi kesan kepada pesakit, malah turut menjejaskan emosi, kewangan, produktiviti dan kesejahteraan seisi keluarga.
Hari Asma Sedunia yang disambut setiap Selasa pertama bulan Mei oleh Global Initiative for Asthma atau GINA menjadi platform penting untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang penyakit ini. Di Malaysia, asma masih menjadi beban senyap apabila lebih 1.4 juta orang dewasa dan hampir setengah juta kanak-kanak berusia enam hingga 17 tahun didiagnosis menghidap asma.
Pensyarah Kanan Sekolah Perubatan, Fakulti Sains Kesihatan dan Perubatan Taylor’s University, Dr. Sulaimann Tint Soe Lwin menjelaskan bahawa asma bukan sekadar penyakit pernafasan biasa yang datang sekali-sekala. Ia merupakan kondisi kronik yang mampu mengubah keseluruhan rutin kehidupan pesakit dan keluarga tanpa disedari.
Asma berlaku apabila saluran pernafasan mengalami keradangan, menjadi sempit dan terlalu sensitif terhadap pencetus tertentu. Apabila terdedah kepada habuk, asap rokok, jerebu, wap rokok elektronik, udara sejuk atau aktiviti fizikal tertentu, pesakit boleh mengalami batuk, sesak nafas, dada ketat dan nafas berbunyi.
Masalahnya, ramai yang hanya menganggap asma serius apabila berlaku serangan teruk. Sedangkan batuk berulang, terutama pada waktu malam atau awal pagi, juga boleh menjadi tanda bahawa asma belum terkawal dengan baik.
Bagi ibu bapa yang mempunyai anak asma, rasa bimbang itu tidak pernah benar-benar hilang. Setiap perubahan kecil pada pernafasan anak boleh membuatkan mereka terus berjaga-jaga.
Menurut Pegawai Perubatan Kesihatan Awam, Dr. Siti Noor Hidayah Abdul Halim, ibu bapa kepada kanak-kanak asma lazimnya hidup dalam keadaan berjaga-jaga kerana serangan asma boleh berlaku secara tiba-tiba, terutama ketika anak sedang tidur atau berada jauh daripada mereka.
Keadaan ini bukan sahaja mengganggu tidur pesakit, malah turut menjejaskan rehat ibu bapa dan ahli keluarga lain. Lama-kelamaan, ia boleh menyebabkan keletihan, tekanan emosi dan penurunan produktiviti dalam kehidupan seharian.
Bagi kanak-kanak pula, asma tidak terkawal boleh menjejaskan perkembangan sosial dan emosi. Ada yang takut bermain di luar, tidak mahu menyertai aktiviti sukan atau berasa malu menggunakan inhaler di hadapan rakan-rakan. Perkara ini akhirnya boleh menjejaskan keyakinan diri mereka.
Ramai ibu bapa menyangka asma hanya berlaku apabila anak sesak nafas. Sebenarnya, asma juga boleh hadir dalam bentuk batuk berpanjangan dan nafas berbunyi yang datang secara berulang.
Faktor persekitaran seperti habuk, asap rokok, jerebu dan wap rokok elektronik antara pencetus utama serangan asma, terutama bagi kanak-kanak yang mempunyai saluran pernafasan sensitif.
Lebih membimbangkan, asap rokok yang melekat pada pakaian walaupun seseorang merokok di luar rumah masih boleh memberi kesan kepada anak apabila terdedah secara berterusan.
Sebab itu, rumah perlu menjadi kawasan selamat buat pesakit asma. Elakkan merokok di dalam atau berhampiran rumah, bersihkan habuk secara berkala, cuci cadar dan sarung bantal, pastikan pengudaraan baik serta kenal pasti pencetus yang menyebabkan simptom berulang.
Satu kesilapan yang kerap berlaku ialah menggunakan inhaler hanya apabila sudah sesak nafas, tetapi tidak mematuhi rawatan kawalan yang disarankan doktor.
Pengurusan asma memerlukan disiplin dan pemantauan berterusan. Ibu bapa perlu memastikan anak menggunakan inhaler kawalan mengikut jadual bagi mengelakkan serangan berulang serta mengurangkan kebergantungan kepada inhaler pelega.
Bagi pesakit dewasa pula, ramai yang memandang ringan simptom asma kerana sibuk bekerja. Mereka hanya mendapatkan rawatan apabila keadaan semakin teruk dan mula mengganggu aktiviti harian. Sikap ini boleh menyebabkan asma menjadi lebih sukar dikawal.
Selain kesan fizikal dan emosi, asma tidak terkawal turut membawa beban kewangan kepada keluarga. Temu janji dengan pakar, rawatan kecemasan, kemasukan ke hospital, kos pengangkutan serta pembelian ubat dan inhaler boleh menjadi tanggungan yang besar.
Bagi anak-anak, asma yang tidak terkawal boleh menyebabkan mereka kerap tidak hadir ke sekolah. Tidur yang terganggu dan kesukaran memberi tumpuan juga boleh menjejaskan prestasi akademik.
Bagi orang dewasa pula, walaupun masih mampu bekerja, tahap produktiviti boleh merosot akibat keletihan, batuk berpanjangan dan gangguan kesihatan yang berulang.
Lebih serius, asma yang tidak dikawal dengan baik berisiko membawa komplikasi jangka panjang. Keradangan berterusan boleh menyebabkan perubahan struktur saluran pernafasan dan menjejaskan fungsi paru-paru.
Serangan asma yang teruk juga boleh meningkatkan risiko serangan berulang serta kemungkinan kematian jika tidak ditangani segera.
Satu lagi kekeliruan yang sering berlaku ialah menyamakan simptom asma dengan tuberkulosis atau Tibi kerana kedua-duanya boleh menyebabkan batuk berpanjangan.
Namun menurut Dr. Hidayah, tidak semua batuk lama bermaksud Tibi. Asma juga boleh menunjukkan simptom batuk berulang dalam bentuk episodik.
Bezanya, simptom asma biasanya datang dan pergi serta dipengaruhi pencetus seperti habuk, asap rokok atau wap rokok elektronik. Tibi pula lazimnya menunjukkan simptom lebih konsisten seperti batuk berpanjangan yang berterusan, penurunan berat badan, demam berpanjangan dan peluh malam.
Justeru, pemeriksaan doktor sangat penting supaya diagnosis yang tepat dapat dibuat. Rawatan bagi asma dan Tibi adalah berbeza, maka pesakit tidak wajar membuat andaian sendiri tanpa pemeriksaan lanjut.
Asma boleh dikawal dengan lebih baik sekiranya pesakit mendapat diagnosis awal, rawatan konsisten dan sokongan keluarga. Pendidikan pesakit juga perlu diperkukuh melalui pelan tindakan asma bertulis, pemantauan berkala serta latihan penggunaan inhaler yang betul.
Di rumah, keluarga memainkan peranan besar. Ibu ayah perlu peka terhadap tanda awal serangan, memastikan ubat sentiasa tersedia dan membantu anak memahami bahawa asma bukan sesuatu yang memalukan.
Anak yang menghidap asma perlu diberi keyakinan bahawa mereka masih boleh menjalani kehidupan aktif, bersekolah, bermain dan membesar seperti kanak-kanak lain, asalkan penyakit itu dikawal dengan baik.
Asma tidak terkawal mungkin kelihatan seperti masalah kecil pada awalnya, tetapi kesannya boleh mengganggu ketenangan seisi keluarga. Daripada tidur yang terganggu, emosi yang tertekan, kos rawatan yang meningkat sehinggalah aktiviti harian yang terbatas, semuanya memberi kesan besar kepada kehidupan.
Jangan tunggu sehingga anak terlalu sesak nafas baru mahu bertindak. Jika batuk berpanjangan, nafas berbunyi atau simptom kerap berulang, segera dapatkan nasihat doktor.
Dengan rawatan yang betul, disiplin penjagaan dan sokongan keluarga, asma boleh dikawal. Paling penting, pesakit tidak perlu hidup dalam ketakutan dan keluarga juga boleh kembali menikmati kehidupan yang lebih tenang bersama insan tersayang.
BACA LAGI : Kawal Pemakanan & Kerap Buat Aktiviti Ni Nak Kurangkan Asma Anak!
Sumber : Utusan