Berita

Kakitangan Imigresen Maut Kemalangan, Rutin Ulang-Alik 700km Demi Anak Isteri

Share

Pengorbanan seorang suami, ayah dan anak yang sanggup menempuh perjalanan jauh setiap minggu demi keluarga berakhir dengan berita duka apabila maut dalam kemalangan jalan raya pada Sabtu lalu.

Mangsa, Azman Mazni yang merupakan kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), dilaporkan menghembuskan nafas terakhir ketika menunggang motosikal dalam perjalanan pulang dari Papar, Sabah menuju ke rumahnya di Sibu, Sarawak.

Perjalanan ulang alik Azman setiap minggu melebihi 700km dari Sabah ke Sarawak merentasi Brunei bertukar tragedi apabila beliau terlibat kemalangan pada Sabtu. Foto: Facebook S Faizzul Syar

Lebih menyayat hati, arwah difahamkan hampir tiba di rumahnya di Sibu, kurang dari satu jam selepas mengharungi perjalanan selama 11 jam.

Rutin Mingguan Demi Keluarga

Menurut perkongsian sahabatnya menerusi akaun Facebook S Faizzul Syar, arwah bertugas di Depot Imigresen Papar.

Kata Faizzul, rutin mingguan arwah adalah merentasi perjalanan jauh sama ada ke Miri atau Sibu untuk bertemu isteri, anak-anak serta ibunya.

“Dalam jam 9.45 malam (25 April) dapat WhatsApp daripada kawan Depot Imigresen Papar dan panggilan telefon daripada kawan di Bintulu serentak mengatakan sahabat kami kemalangan. Kali terakhir sembang dalam grup WhatsApp sekitar jam 8 malam.

“Pengorbanan seorang suami, ayah dan anak. Lebih kurang setiap minggu ulang-alik dari Depot Imigresen Papar (tempat kerja) ke rumah sama ada Miri atau Sibu, Sarawak.

“Di Miri ada ibu nak dijaga. Di Sibu pula ada isteri dan anak. Perjalanan melebihi 700km merentasi Brunei,” kongsinya.

Sudah Usaha Mohon Pertukaran

Dalam hantaran sama, Faizzul turut berkongsi bahawa arwah sebelum ini sudah berusaha untuk mendapatkan pertukaran tempat kerja supaya dapat berada lebih dekat dengan keluarga.

Bagaimanapun, hasrat itu tidak sempat menjadi kenyataan sepenuhnya.

“Tiap kali bertemu atau telefon memang topik yang arwah tanya pasal perpindahan. Bukan dia tak usaha tapi (permohonan) sudah dapat sokongan di peringkat negeri, cuma belum dapat kelulusan ibu pejabat (HQ).

“Perjalanan darat dari Sabah ke Sarawak bukan hanya merentas negeri, tapi merentasi negara. Kadangkala apabila seseorang memohon pertukaran bukan sebab saja-saja, tapi ada orang tersayang menunggu,” ujarnya.

“Ini Last Ride Kau Sahabat”

Pemergian arwah bukan sahaja dirasai sebagai kehilangan besar dalam kalangan rakan sekerja, malah meninggalkan kesan amat mendalam buat Faizzul yang juga sahabatnya sejak kecil.

Luahan sahabatnya itu turut menyentuh hati ramai, apatah lagi apabila mengenangkan arwah sudah hampir sampai ke destinasi selepas berjam-jam di jalan raya.

“Ini ‘last ride’ kau sahabat… sikit lagi nak sampai rumah,” katanya.

Kisah arwah Azman menjadi peringatan tentang besarnya pengorbanan seorang ketua keluarga. Ada penat yang mungkin tidak diceritakan, ada rindu yang dipendam, dan ada perjalanan jauh yang tetap digagahkan semata-mata mahu pulang kepada insan tersayang.

Semoga roh arwah Azman Mazni dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Salam takziah buat seluruh ahli keluarga.

BACA SINI : Jadi Suami Tip Top, Anak Isteri Semua Terjaga, Barulah Makin Bahagia!

Sumber : Sinar Harian