
Kehilangan anak kecil dalam usia yang masih terlalu muda pastinya menjadi ujian paling berat buat ibu dan ayah. Lebih menyayat hati apabila anak yang dihantar dalam keadaan sihat dan ceria, akhirnya tidak lagi kembali seperti biasa.
Sepasang suami isteri dari Taman Sri Wang Fasa 1 menuntut pembelaan selepas bayi perempuan mereka berusia lapan bulan, Aufa Zayyana, meninggal dunia ketika berada di bawah jagaan pengasuh pada 15 April lalu.
Pasangan berkenaan, Mohamad Zaerwafar Che Mat Zaidin, 34, dan isterinya, Aisyawati Isa, 34, menggesa agar siasatan menyeluruh dijalankan berhubung kematian bayi mereka. Kes bayi meninggal di rumah pengasuh ini benar-benar meruntun hati ramai ibu bapa.
Menurut Aisyawati, dia menerima panggilan daripada pengasuh terbabit kira-kira pukul 5.20 petang yang memaklumkan bayinya tidak sedarkan diri.
“Saya kemudiannya bergegas ke rumah pengasuh yang terletak kira-kira lima minit dari rumah saya dan mendapati bayi sudah tidak sedarkan diri serta kelihatan seperti mengalami sawan sebelum dibawa ke unit kecemasan Hospital Tuanku Fauziah (HTF).
“Keadaan anak kami ketika itu kritikal dan memerlukan pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar pada keesokan harinya akibat pendarahan beku di kepala.
“Selepas seminggu bertarung nyawa dan menjalani pembedahan tersebut, bayi kami kemudiannya disahkan meninggal dunia di HSB dan telah dikebumikan di Jeli, Kelantan,” katanya ketika ditemui di rumah mereka hari ini.
Aisyawati berkata, pada hari kejadian, anaknya berada dalam keadaan sihat dan ceria sebelum dihantar ke rumah pengasuh berkenaan.
Katanya, bayinya itu juga baru sebulan berada di bawah jagaan pengasuh tersebut. Sepanjang tempoh berkenaan, anaknya tidak menunjukkan sebarang tanda sakit atau sebaliknya.
“Setiap hari saya hantar anak sekitar pukul 6.45 pagi dan ambil semula antara pukul 5.15 hingga 5.20 petang. Namun pada hari kejadian, saya ambil dia dalam keadaan tidak sedarkan diri dan ini sangat berbeza kerana sebelum ini dia sentiasa gembira setiap kali nampak saya,” ujarnya.
Sementara itu, Mohamad Zaerwafar berkata, pihak keluarga turut melantik peguam bagi mengambil tindakan selanjutnya berhubung kes kematian bayinya itu.
Menurutnya, pengasuh terlibat juga memaklumkan bayi mereka hanya menangis sebelum tiba-tiba tidak sedarkan diri pada hari kejadian.
“Laporan polis juga telah dibuat pada hari sama dan kami juga akan menyerahkan beberapa bukti penting bagi membantu siasatan. Kami berharap kebenaran dapat ditegakkan dan keadilan dapat ditegakkan untuk anak kami,” katanya.
Dalam masa sama, masyarakat juga diingatkan agar tidak membuat sebarang andaian melampau sehingga siasatan lengkap dijalankan. Apa yang paling penting ialah proses siasatan dibuat dengan telus supaya punca sebenar kematian dapat dikenal pasti.
Semoga segala urusan keluarga Aufa Zayyana dipermudahkan dan siasatan yang dijalankan dapat memberi jawapan kepada persoalan yang masih bermain di hati ibu bapanya.
BACA LAGI : Kelahiran Bayi Lelaki Lebih Tinggi di Malaysia, Trend Mengejutkan Ketika Populasi Cecah 34.3 Juta