
Gambar Hiasan Gemini AI
Kegembiraan menyambut kelahiran cahaya mata sepatutnya menjadi detik paling indah buat pasangan suami isteri. Namun, lain pula yang berlaku apabila seorang bapa mendakwa bayi tertukar di hospital apabila bayi perempuan mereka didakwa tertukar dengan seorang bayi lelaki ketika menerima rawatan di sebuah hospital, baru-baru ini.
Insiden tersebut bukan sahaja mencetuskan rasa cemas, malah meninggalkan trauma buat ibu ayah yang baru sahaja menyambut kelahiran anak mereka.
Menurut bapa bayi berkenaan, Muhammad Harraz Haziq, 24, kejadian bermula selepas isterinya selamat melahirkan seorang bayi perempuan pada 7 April lalu. Bayi tersebut kemudian dihantar ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) bagi menerima pemantauan lanjut.
Anak mereka pada awalnya dijangka dibenarkan keluar pada 8 April, namun terpaksa ditahan di wad selepas disahkan mengalami masalah jaundis atau demam kuning.
Muhammad Harraz berkata, pada malam 8 April, jururawat datang mengambil bayi mereka bagi tujuan ujian darah. Kira-kira jam 5 pagi keesokan harinya, bayi tersebut dipulangkan semula dan diletakkan di dalam inkubator.
Namun, kira-kira jam 6 pagi, isterinya mula menyedari sesuatu yang tidak kena. Alangkah terkejutnya mereka apabila mendapati bayi yang diserahkan itu adalah bayi lelaki, bukannya anak perempuan mereka.
Lebih menimbulkan tanda tanya, kedua-dua bayi yang didakwa tertukar itu dikatakan memakai tanda nama atau tagging milik ibu kepada bayi perempuan berkenaan.
Menurut Muhammad Harraz, apabila perkara tersebut dibangkitkan kepada jururawat bertugas, pihak wad didakwa mempertikaikan kenyataannya dan menyoal kembali jantina sebenar anak mereka.
Katanya, beliau bernasib baik kerana sempat mengambil gambar borang pengesahan kelahiran anak ketika isterinya baru selesai bersalin sebagai bukti.
“Mereka mempertikaikan dan menyoal saya kembali, adakah betul anak saya ini perempuan? Nasib baik saya bertindak awal dengan mengambil gambar borang pengesahan kelahiran anak ketika isteri baru lepas bersalin sebagai bukti.
“Anak perempuan saya akhirnya ditemui pada hari yang sama, 9 April. Namun, apa yang paling menghairankan saya, macam mana bayi lelaki dan bayi perempuan saya itu kedua-duanya boleh memakai tanda nama isteri saya?” katanya sebagaimana dilaporkan Harian Metro.
Kecewa dengan insiden bayi tertukar di hospital yang dianggap sebagai kecuaian serius, Muhammad Harraz cuba mendapatkan penjelasan lanjut daripada pasukan perubatan yang terbabit. Bagaimanapun, beliau mendakwa pihak berkenaan seolah-olah cuba mengelak daripada memberi jawapan yang meyakinkan.
Malah, usahanya untuk menghubungi doktor yang bertanggungjawab bagi mendapatkan pencerahan juga tidak berhasil.
Susulan kegagalan mendapatkan penjelasan yang memuaskan, Muhammad Harraz membuat laporan polis pada 10 April lalu bagi tindakan lanjut.
“Saya tampil mendedahkan perkara ini kerana saya mahukan penjelasan yang telus daripada pihak pengurusan HTA. Mengapa kecuaian prosedur operasi standard sebesar ini boleh berlaku di hospital kerajaan?
“Saya tidak mahu perkara yang mendatangkan trauma sebegini terjadi kepada ibu bapa lain di luar sana,” katanya.
Kisah ini wajar menjadi perhatian kerana ia melibatkan soal keselamatan bayi, emosi ibu selepas bersalin serta kepercayaan keluarga terhadap prosedur hospital. Bagi seorang ibu yang baru melahirkan anak, situasi sebegini pasti memberi kesan yang mendalam.
Dalam keadaan masih lemah selepas bersalin, ibu bergantung sepenuhnya kepada sistem penjagaan hospital untuk memastikan bayi berada dalam keadaan selamat. Justeru, sebarang kekeliruan berkaitan identiti bayi perlu dipandang serius dan disiasat secara telus.
Insiden seperti ini juga mengingatkan semua pihak bahawa prosedur berkaitan tanda nama, dokumen kelahiran dan pengesahan identiti bayi tidak boleh dipandang ringan. Setiap pergerakan bayi di wad, NICU atau bilik rawatan perlu direkod dan disemak dengan teliti bagi mengelakkan kekeliruan yang boleh memberi kesan besar kepada keluarga.
Buat ibu ayah, insiden bayi tertukar di hospital
ini juga menjadi peringatan agar sentiasa peka dengan maklumat bayi selepas kelahiran. Periksa tanda nama bayi, simpan dokumen kelahiran dan jangan takut untuk bertanya sekiranya terdapat perkara yang meragukan.Ibu bapa juga digalakkan mengambil gambar dokumen penting yang dibenarkan, menyemak maklumat pada gelang bayi serta memastikan nama ibu, nombor pendaftaran dan jantina bayi adalah tepat. Langkah kecil seperti ini boleh membantu sekiranya berlaku kekeliruan atau pertikaian.
Semoga keluarga ini diberikan kekuatan menghadapi ujian tersebut dan mendapat penjelasan sewajarnya. Dalam hal melibatkan anak kecil, setiap prosedur perlu dilaksanakan dengan penuh amanah kerana kesilapan kecil boleh meninggalkan trauma besar kepada sebuah keluarga.
BACA LAGI : Bayi 8 Bulan Maut Di Rumah Pengasuh, Ibu Bapa Tuntut Keadilan
Sumber: Harian Metro