Belon tersangkut menjadi detik yang mengubah seluruh kehidupan Uwais Al-Fateh Muhammad Zaim, 8, dan keluarganya apabila insiden tragis itu menyebabkan dia mengalami kecederaan otak sehingga terlantar lebih setahun.
“SEKARANG saya cuma berharap Fateh boleh kembali menguruskan diri sendiri dan bercakap dengan saya. Itu pun sudah cukup membahagiakan saya sebagai seorang ibu.”
Demikian luahan penuh harapan Nurul Huda Zulkhairi, 30, ibu kepada Uwais Al-Fateh Muhammad Zaim yang kini melalui perjuangan panjang demi melihat anak sulungnya kembali pulih.
NURUL Huda bertekad harungi perjalanan jauh ke Hospital Rehabilitasi Cheras dan HUSM di Kelantan demi merawat Fateh.
Kejadian pada 20 Mei 2025 di kediaman mereka di Kulim, Kedah berlaku ketika sambutan ulang tahun kelahiran Fateh yang ketujuh apabila belon tersangkut di saluran pernafasannya.
Akibat insiden itu, Fateh mengalami kerosakan sel otak yang menjejaskan fungsi saraf, pergerakan serta perkembangan dirinya. Kini, anak sulung daripada tiga beradik itu memerlukan penjagaan sepenuh masa seperti bayi.
Dahulu Aktif Dan Lasak Sebelum Insiden Belon Tersangkut
Menurut Nurul Huda, Fateh sebelum ini merupakan seorang kanak-kanak yang aktif, ceria dan berani sehingga menjadi kebanggaan seluruh keluarga.
Selain mahir berenang dan mengikuti latihan taekwondo, Fateh juga gemar memancing, melukis serta berjaya membaca al-Quran seawal usia enam tahun.
“Dia matang lebih awal daripada usianya. Namun, kejadian itu meragut segala-galanya dalam sekelip mata apabila kini dia terlantar seperti bayi,” katanya.
Belon tersangkut menjadi detik yang mengubah seluruh kehidupan Uwais Al-Fateh Muhammad Zaim, 8, dan keluarganya
Nurul Huda mengakui pernah menyalahkan dirinya sendiri kerana merasakan tidak cukup peka sehingga kejadian belon tersangkut itu berlaku.
Bagaimanapun, selepas kira-kira dua bulan, beliau menerima ketentuan tersebut dan memilih untuk memberi sepenuh tumpuan kepada rawatan serta terapi Fateh.
Tinggalkan Kerjaya Demi Rawatan Fateh
Demi memastikan anaknya memperoleh rawatan terbaik, Nurul Huda meninggalkan kerjayanya sebagai pegawai kanan di sebuah syarikat dan menghentikan perniagaan yang diusahakan.
Sepanjang lebih setahun, beliau berulang-alik ke Hospital Rehabilitasi Cheras serta Hospital Universiti Sains Malaysia di Kelantan bagi mendapatkan rawatan dan terapi.
Cabaran yang dihadapi bukan sekadar menjaga Fateh sepenuh masa, malah terpaksa berjauhan dengan dua lagi anak serta suami yang bertugas sebagai doktor.
“Saya juga perlu berdepan dengan tantrum Fateh seorang diri ketika berulang-alik mendapatkan rawatan.
“Namun, semua pengorbanan itu terasa berbaloi apabila melihat perkembangan positifnya,” katanya.
Belon Tersangkut Mengubah Kehidupan, Namun Perkembangan Positif Memberi Harapan
Hasil terapi yang dijalankan secara konsisten, Fateh kini menunjukkan perkembangan yang cukup menggembirakan.
Jika sebelum ini dia tidak memberi sebarang reaksi apabila diajak bercakap, kini Fateh sudah mampu tersenyum, ketawa dan menunjukkan pelbagai emosi.
“Kalau dulu dia kosong sahaja. Apabila kita bercakap pun tiada reaksi.
“Sekarang dia sudah boleh senyum, ketawa dan menunjukkan emosi. Bagi kami, itu satu kejayaan yang sangat besar,” katanya.
Trauma Sambutan Hari Lahir
Insiden belon tersangkut itu turut meninggalkan trauma kepada Nurul Huda setiap kali tiba sambutan hari lahir anak-anak.
Jika dahulu sambutan diadakan dengan meriah, kini keluarga memilih untuk meraikannya secara sederhana.
“Saya sudah tidak ada semangat seperti dulu. Saya sendiri rasa trauma setiap kali tiba hari lahir anak-anak,” katanya.
Walaupun begitu, beliau bersyukur kerana ujian tersebut mengeratkan lagi hubungan bersama suami dan anak-anak selain menemukan beliau dengan ramai ibu bapa yang turut mempunyai anak terlantar atau mengalami kecederaan otak.
Mahu Bantu Keluarga Lain
Perjalanan pemulihan Fateh dikongsikan menerusi media sosial bagi memberi inspirasi kepada keluarga lain yang sedang melalui ujian sama.
Nurul Huda berasa terharu apabila ada ibu bapa yang mula membawa anak mereka menjalani terapi selepas mengikuti perkembangan Fateh.
“Kalau perkongsian ini boleh menjadi asbab orang lain tidak berputus asa, itu sudah cukup bermakna kepada saya,” katanya.
Keluarga itu kini sedang membangunkan sebuah ruang terapi kecil di rumah yang diharap dapat dimanfaatkan bukan sahaja oleh Fateh, malah keluarga lain pada masa hadapan.
Bagi menampung kos rawatan, Nurul Huda turut menjual beg dan buku perancang menggunakan hasil lukisan Fateh ketika masih sihat serta merancang menerbitkan sebuah buku mengenai perjalanan pemulihan anaknya.
“Saya tidak mahu bergantung sepenuhnya kepada sumbangan orang ramai. Kalau orang bantu, saya bersyukur, tetapi saya juga mahu berusaha sendiri demi meneruskan rawatan Fateh,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Islam 02-057-02-249722-3 atas nama Huda Zulkhairi.
Kronologi Insiden Belon Tersangkut
Terdahulu, Fateh dipercayai tersedak selepas memasukkan belon yang belum ditiup ke dalam mulut ketika bergurau bersama rakannya sambil berlari.
Insiden itu menyebabkan saluran pernafasannya tersumbat sehingga jantungnya terhenti seketika sebelum menerima rawatan kecemasan.