Tidak lama lagi kita akan menyambut bulan mulia iaitu bulan Ramadan. Dalam pada masa yang sama Perdana menteri telah mengumuman PKP terus dilanjutkan sehingga awal Ramadan, pastinya kita semua tidak boleh merasai suasana solat tarawih di masjid.

Namun begitu, pastinya kita masih berpeluang untuk merebut pahala menunaikan solat tarawih di rumah bersama keluarga tercinta. Di samping itu, pada bulan ini bagi ketua keluarga atau individu yang merupakan perokok inilah peluang untuk belajar berhenti merokok.

Bukan mudah untuk seorang perokok yang sudah bertahun lamanya merokok untuk berhenti atau mengurangkan jumlah rokok yang diambil. Namun, masih ada caranya untuk mengatasi masalah ini.

Ikuti saranan panduan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhenti merokok pads bulan Ramadan.

PELUANG BERHENTI MEROKOK PADA RAMADAN

Berhenti Merokok Pada Ramadan. Ikut Saranan KKM.

Ramai perokok mencari-cari kaedah terbaik untuk berhenti merokok. Bulan Ramadandilihat sebagai peluang terbaik kepada perokok untuk cuba berhenti merokok kerana mereka akan bebas daripada merokok selama lebih kurang 14 jam berpuasa pada siang hari sepanjang Ramadan.

IKLAN

Ada dalam kalangan perokok ini sedar bahawa kesan negatiftabiat merokok boleh memudaratkan diri sendiri mahupun ahli keluarga yang tinggal bersama. Namun, cubaan untuk berhenti merokok ini bukanlah sesuatu perkara yang mudah dilakukan kerana kesan ketagihan nikotin adalah amat ketara terutamanya pada peringkat awal cubaan untuk berhenti merokok.

Rokok merupakan produk tembakau. Terdapat lebih4,000 bahan kimia yang yang terkandung dalam asap rokok. Nikotin merupakan bahan kimia utama yang memberi kesan ketagihan dalam rokok. Ia merupakan sejenis bahan aktif yang dapat merangsang otak dan menyebabkan ketagihan. Antara bahan lain yang terdapat dalam rokok adalah seperti tar, amonia, arsenik, kadmium, karbon monoksida, formaldehid, metanol dan pelbagai lagi.

Apabila seseorang itu menghisap sebatang rokok, 1-2mg nikotinakan diambil atau dibawa masuk ke dalam tubuh. Sifat nikotin ini sungguh unik dan ia boleh sampai terus ke otak dengan cepat melalui pertukaran gas di paru-paru ke dalam darah. Nikotin akan mencetuskan beberapa tindak balas kimia di otak yang boleh menyebabkan rasa seronok. Namun ransangan ini hanya seketika, apabila paras nikotin mula berkurangan dalam badan, perokok akan mula berasa tegang dan gelisah. Bagi mengatasi masalah ini, perokok akan menyalakan rokok dan menghisapnya bagi mendapatkan nikotin dan mengekalkan kesan seronok itu semula.

Berhenti Merokok Pada Ramadan. Ikut Saranan KKM.

Walau bagaimanapun, melalui keberkatan bulan Ramadan ini, hasil kajian mendapati 95% perokok muslim menyatakan bahawa mereka lebih mudah untuk berhenti merokok ketika dalam bulan Ramadan. Faktor ini mungkin disebabkan berpuasa selama hampir 14jam sehari dan perokok berjaya mengawal diri mereka daripada tabiat merokok. Baki 10 jam lagi pula diisi dengan waktu tidur (sekitar 6jam) dan aktiviti selepas berbuka dan beribadat seperti solat tarawih di masjid (sekitar 4 jam). Ini bermakna perokok hanya perlu mengawal diri mereka agar terus kekal bebas merokok untuk sekitar 4 jam sahaja selepas berbuka.

IKLAN

Faktor ini membolehkan perokok mampu meninggalkan rokok semasa bulan Ramadan memandangkan masa untuk menghisap rokok terlalu singkat. Tambahan pula, niat untuk merokok boleh dikawal dengan keazaman yang tinggi. Namun ada juga perokok yang gagal mengawal diri dan akan menghisap rokok semasa waktu selepas berbuka dan sebelum tidur. Keadaan ini mungkin disebabkan oleh amalan perokok yang terus menghisap rokok sebaik sahaja waktu berbuka, pengaruh rakan yang menghisap rokok selepas solat tarawih dan selepas bersahur.

Keazaman diri yang tinggi untuk berhenti menghisap rokokketika waktu selepas berbuka, sebelum masuk tidur dan selepas bersahur adalah penting untuk memastikan seorang perokok berjaya untuk berhenti merokok pada bulan Ramadan.

Niat baik untuk berhenti menghisap rokok ketika dalam bulan Ramadan ini perlu dikongsikan bersama-sama dengan orang terdekat. Sokongan mereka akan meningkatkan dan mengekalkan semangat perokok untuk terus kekal bebas merokok sepanjang bulan Ramadan.

Antara tip lain yang boleh diamalkan oleh seseorang individu untuk berhenti merokok adalah menjauhkan diri daripada bahan, perkara atau keadaan yang boleh mengingatkan diri kepada rokok. Contohnya buang semua baki rokok, bekas abu rokok dan pemetik api yang ada.

IKLAN

Perokok juga boleh amalkan tip 8M untuk membantu mereka dalam proses menahan diri daripada merokok:
I. Melengah-lengahkan diri setiap kali teringat untuk merokok semula
II. Menarik nafas panjang setiap kali teringat untuk merokok
III. Minum segelas air setiap kali terfikir untuk merokok (Bukan air bergula)
IV. Membuat sesuatu seperti melakukan ibadat solat tarawih bagi mengalih perhatian daripada menghisap rokok
V. Mengunyah sesuatu seperti gula-gula getah agar perhatian terhadap rokok dikurangkan
VI. Membasahkan tangan agar menghalang diri daripada memegang rokok. (Perokok tidak memegang rokok dalam keadaan tangan yang basah)
VII. Melakukan senaman ringan
VIII. Memohon doa agar dikuatkan azam untuk berubah kepada seseorang yang bebas rokok.

Perokok yang ingin terus kekal bebas rokok perlu terus memohon doa kepada Allah agar dikuatkan azam dan usaha mereka untuk berhenti merokok. Seseorang itu perlu yakin Allah akan membantu mereka pada bulan yang penuh keampunan ini agar mereka mampu mengatasi gejala ketagihan nikotin dan kesan penarikan.

Gejala penarikan yang mungkin dialami semasa berhenti merokok adalah seperti pening, batuk, gangguan tidur, gangguan kosentrasi dan perasaan resah gelisah. Namun gejala penarikan ini akan berkurangan dalam masa 3 hingga 14 hari selepas seseorang itu bebas daripada merokok. Oleh itu, sokongan daripada orang disekeliling memainkan peranan yang penting untuk membantu meningkatkan keazaman seseorang itu agar bertahan terus tidak merokok.

Kesimpulannya, individu yang merokok digalakkan untuk mengambil peluang pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan dan keampunan ini untuk berubah menjadi individu yang berjaya berhenti merokok buat selamanya. Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia juga ada menyediakan perkhidmatan Klinik Berhenti Merokok. Orang awam boleh rujuk ke hospital atau klinik kesihatan berhampiran untuk mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan untuk berhenti merokok daripada profesional kesihatan yang terlatih.

Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre) melalui talian 1800-88-6722,Isnin hingga Jumaat, 8 pagi hingga 5 petang.

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI