
Bersalin dalam kereta menjadi pengalaman tidak mungkin dilupakan sebuah keluarga apabila perjalanan ke hospital untuk menyambut kelahiran cahaya mata bertukar menjadi detik mencemaskan selepas seorang wanita selamat melahirkan anak keenamnya di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).
Lebih mendebarkan, bayi lelaki itu disambut sendiri oleh neneknya, Rosminie Che Yusoff, 56, yang terpaksa menjadi ‘bidan terjun’ dalam keadaan darurat.
Kejadian berlaku ketika Nuraisyah Fauzi, 28, bersama keluarganya dalam perjalanan dari Rantau Panjang ke Hospital Pakar KPJ Perdana, Kota Bharu.
Bayi tersebut dilahirkan kira-kira pukul 1.55 pagi ketika MPV jenis Toyota Estima yang dinaiki mereka berada di Kampung Pendek.
Suami Nuraisyah, Siraj Yasman, 39, berkata isterinya mula mengalami kontraksi sekitar pukul 11 malam ketika berada di rumah mereka di Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Riyadh, Gual Tinggi.
Pada mulanya, dia menyangka isterinya masih mampu bertahan sehingga subuh memandangkan Nuraisyah sudah melalui pengalaman melahirkan lima orang anak sebelum ini.
Bagaimanapun, sekitar pukul 1.40 pagi, mereka mengambil keputusan untuk segera bergerak ke hospital dengan menaiki MPV milik abang iparnya, Fakhrurrozi, 32.
Tidak sampai 15 minit perjalanan, keadaan mula menjadi cemas apabila Nuraisyah memaklumkan kainnya sudah basah dan kepala bayi mula keluar.
“Ibu mentua saya yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan terus berpusing dan menjadi bidan menyambut kelahiran anak keenam kami,” kata Siraj.
Keadaan berlaku begitu pantas sehingga keluarga berkenaan tidak sempat tiba di hospital. Nuraisyah akhirnya terpaksa bersalin dalam kereta dengan bantuan ibunya sendiri ketika kenderaan masih dalam perjalanan.
@sirajyasman87Tak sempat sampai hospital dah terkeluar… Masya Allah.. Subhanallah.. Alhamdulillah.. Allahu Akbar.. Takde yang dapat digambar, semua berlaku dengan sangat pantas dan tak pernah terlintas di fikiran kami.. Terlalu cepat dan terlalu mudah.. dan alhamdulillah semua selamat.. Takde ucapan yang dapat digambarkan… “Maha Baiknya Allah”.. Rupanya kes macam ni kalau ada pon sekali dalam setahun bak kata doktor😊 5/9/2026 (Sabtu) 1.55 pagi♬ original sound – DNP
Siraj yang merupakan seorang guru al-Quran mengakui dirinya panik ketika melihat isterinya melahirkan anak di dalam kenderaan.
Dalam keadaan genting itu, dia hanya mampu berselawat dan berzikir sambil menyaksikan ibu mentuanya membantu proses kelahiran.
Kakak iparnya, Siti Hajar Tajuddin, 27, yang berada di tempat duduk belakang turut sempat merakam detik tersebut.
Rakaman berkenaan kemudiannya tular di media sosial dan meraih lebih dua juta tontonan.
Menariknya, Rosminie sebenarnya tidak pernah mempunyai pengalaman menjadi bidan.
Namun menurut Siraj, ibu mentuanya pernah melihat video berkaitan kaedah membantu proses kelahiran di TikTok.
Dalam keadaan darurat, Rosminie menggunakan pengetahuan yang pernah dilihatnya itu untuk membantu anaknya melahirkan bayi dengan selamat.
Sebaik bayi selamat dilahirkan, Siraj terus memangku anak lelakinya dan melaungkan azan ke telinga si kecil.
Dalam masa sama, abang iparnya meneruskan perjalanan ke hospital dengan segera, manakala Siraj menghubungi pihak hospital bagi memaklumkan mengenai kelahiran tersebut.
Setibanya mereka di Hospital Pakar KPJ Perdana, jururawat dan petugas hospital sudah menunggu di lobi untuk memberikan rawatan lanjut kepada ibu dan bayi.
Syukur, Nuraisyah dan bayi lelakinya yang masih belum diberikan nama berada dalam keadaan sihat.
Detik penuh debar itu pastinya menjadi kenangan yang tidak mungkin dilupakan keluarga ini.
Pengalaman bersalin dalam kereta itu berakhir dengan kelegaan apabila ibu dan bayi selamat serta mendapatkan rawatan daripada petugas hospital.
Dalam keadaan serba tidak dijangka, keberanian seorang ibu membantu anaknya melahirkan cucu membuktikan betapa kuatnya naluri seorang ibu apabila keluarga berada dalam saat genting.
BACA LAGI : “Berbeza Agama, Kasih Tetap Sama” Nenek Jaga Akidah Hazizah Hingga Berjaya Jejak UUM
Sumber: Kosmo!