
Di sebalik kejayaan seorang anak melangkah ke menara gading, sering kali ada insan yang berkorban dalam diam. Begitulah perjalanan hidup Nur Hazizah Indrasafri yang dibesarkan oleh nenek biologinya, Ng King Fong, sejak kecil meskipun mereka berbeza agama.
Kisah menyentuh hati itu dikongsikan Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Facebook rasminya, memaparkan pengorbanan seorang nenek yang tidak pernah menjadikan perbezaan pegangan sebagai penghalang untuk membesarkan cucunya dengan penuh kasih sayang.

Nur Hazizah Indrasafri Dijaga Nenek Sejak Kecil
Selepas ibu bapanya berpisah ketika Hazizah dan adik-adiknya masih kecil, mereka dibesarkan oleh nenek di sebuah rumah kedai di Taman Bukit Teratai, Ampang.
Ng King Fong, 72, bekerja sebagai tukang masak dan pembersih bagi memastikan cucu-cucunya cukup makan dan dapat meneruskan persekolahan.
Walaupun berbeza agama, neneknya memahami keperluan Hazizah sebagai seorang Muslim. Makanan yang disediakan dipastikan halal, malah apabila guru mencadangkan Hazizah mengikuti sekolah agama, dia turut memberikan keizinan.
Soal akidah cucunya juga dijaga sebaik mungkin.
Kasih itu turut terpancar dalam perkara kecil. Ketika hujan lebat di sekolah agama, neneknya pernah datang membawa payung untuk memastikan Hazizah dan adiknya selamat menaiki van sebelum berjalan pulang seorang diri dalam hujan.

Pernah Jual Lukisan Demi Beli Makanan
Kehidupan Nur Hazizah Indrasafri sejak kecil bukan mudah. Ketika berada di Darjah Satu, dia pernah menjual lukisan selepas waktu sekolah semata-mata untuk membeli makanan buat diri sendiri dan adiknya.
Bapanya ketika itu bekerja sebagai tukang kasut jalanan dan sering pulang lewat malam. Dalam kesempitan hidup, jiran-jiran turut membantu menyediakan makanan buat mereka.
Namun, Hazizah tidak pernah menyalahkan kedua-dua ibu bapanya.
Dia masih mengingati saat bapanya datang melawat di sekolah dan meminta maaf kerana tidak pandai membetulkan tudungnya.
“Maafkan papa ya, nak. Papa tak reti pakai tudung dengan elok. Ini je papa mampu.”
Bagi Hazizah, kata-kata itu sudah cukup menggambarkan kasih seorang bapa yang cuba melakukan yang terbaik mengikut kemampuannya.
Ibunya pula pernah bekerja sebagai juruwang dan dalam bidang F&B sambil berdepan masalah kesihatan.
“Bagi saya, seorang ibu tidak semestinya perlu sempurna untuk tetap menjadi seorang ibu,” katanya.
Nur Hazizah Indrasafri Hampir Tolak Tawaran UUM
Segala kesusahan yang dilalui menjadi pembakar semangat buat Hazizah untuk mengubah kehidupan keluarganya.
Dia berjaya menamatkan pengajian diploma dengan PNGK 3.89 sebelum bekerja di sebuah hotel bagi mengumpulkan wang untuk menyambung pelajaran.
Apabila menerima tawaran mengikuti Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hospitaliti di UUM, Hazizah pada mulanya hampir menolak kerana memikirkan masalah kewangan serta keadaan neneknya yang semakin uzur dan mengalami masalah penglihatan.
Namun, neneknya tetap mahu dia meneruskan pengajian.
Ketika ditanya mengenai keputusan membenarkan cucunya belajar jauh di utara, jawapan Ng King Fong cukup ringkas tetapi menyentuh hati.
“Kalau dia suka belajar, biarlah dia belajar.”
Bawa Harapan Satu Keluarga
Rezeki Nur Hazizah Indrasafri dipermudahkan apabila dia terpilih menyertai Program Siswa SULUNG dengan pembiayaan yuran pengajian sehingga tamat.
Dia turut menerima bantuan komputer riba, dana kewangan dan bekalan makanan menerusi sokongan beberapa pihak di UUM.
Bagi Hazizah, peluang tersebut bukan sekadar untuk mendapatkan segulung ijazah, sebaliknya membawa harapan besar untuk mengubah kehidupan keluarganya.
Dia mahu memberikan kehidupan lebih selesa buat nenek, membantu ibunya dan membalas setiap pengorbanan arwah bapanya.
“Kesusahan lalu adalah kekuatan saya hari ini. Terima kasih kepada keluarga, guru, jiran dan semua yang pernah hadir membantu perjalanan hidup saya. Terutama nenek,” ujarnya.
Kasih Nenek Tidak Mengenal Perbezaan Agama
Di sebalik setiap langkah Hazizah di universiti hari ini, ada pengorbanan nenek yang pernah bekerja sebagai tukang masak dan pembersih demi memastikan cucu-cucunya dapat makan dan bersekolah. Kesusahan hidup pula tidak menghalang Hazizah daripada terus mengejar pendidikan sehingga berjaya melangkah ke UUM.
Semoga kejayaan Hazizah kelak menjadi hadiah paling bermakna buat insan yang tidak pernah berhenti berkorban untuknya.
BACA LAGI : Dibesarkan Datuk Nenek Dalam Serba Kekurangan, Atiqah Raih PNGK 4.0 & Tajaan Penuh USM
Sumber : Muhammad Amir Ikram (Universiti Utara Malaysia)
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di

