“Betul Kata-Kata Mak, Isteri Inilah Anugerah Terhebat Saya.” Perkongsian Wanita Ini Menjaga Suami Sakit Strok Pendarahan Sangat Berinspirasi.

Share

Mungkin ramai antara wanita yang bergelar isteri diuji dengan pasangan suami yang sakit terlantar dan sebagainya. Mereka inilah orang yang penting yang menjadi sumber kekuatan kepada suami. Tatkala ketua keluarga diberi ujian, lumpuh sistem kekeluargaan namun dibahu sang isteri lah menjadi tempat untuk keluarga bersandar.

Wanita dan juga ibu bernama Raudzah Arippin ini cukup hebat dan kental orangnya. Berhadapan dengan suami, Muhammad Idzwan Othman yang diserang strok pendarahan, kisahnya menjaga suami ini cukup memberi inspirasi buat wanita di luar sana.


Dibibirnya terukir senyuman namun di hati siapa yang tahu. Pengalaman menjaga suami sakit diinspirasikan di dalam sebuah buku bertajuk “Maaf Suami Puan Kritikal.

Harus dibaca oleh isteri untuk dijadikan panduan bersama.

Ikuti perkongsian dari ibu dan isteri yang cukup hebat ini.


“Suami diserang strok pendarahan pada 2015. Kalau ikutkan dia diserang sakit tiba-tiba, memang ada darah tinggi tapi waktu diserang itu ia berlaku secara tiba-tiba. Kebetulan saya dan anak-anak ikut suami ke pejabat walaupun hari itu hari ahad. Mungkin Allah gerakkan hati saya untuk ikut suami ke pejabat hari itu.

“Ketika kejadian, itu kami bersarapan bersama, suami cakap pening. Semua berlaku mengejutkan tapi saya tak panik, sebaliknya saya hubungi bahagian kecemasan dan terus ke hospital. Apabila sampai di hospital, suami dimasukkan ke wad kecemasan zon merah sebelum ditolak ke bahagian kritikal.

Saya masih ingat kata-kata doktor ketika itu.  ‘Maaf suami puan kritikal’ dan kata-kata itu masih menghantui sampai sekarang. Kejadian tersebut turut memberi kesan kepada anak-anak. Apatah lagi, suami merupakan tonggak utama keluarga.

“Apabila suami tak sedar diri anak-anak terkejut. Waktu itu anak sulung bakal menduduki UPSR, yang kedua darjah lima, yang ketiga tadika dan yang bongsu 1 tahun 2 bulan dan masih menyusu.

“Yang main peranan ketika itu adalah saya  yang kena terangkan apa yang terjadi pada ayah. Selain menenangkan mereka.

Cabaran menjaga orang sakit bukan semudah yang disangka.

“Menjaga orang sakit ini berfasa. Fasa awal yang paling mencabar adalah menerima keadaan baru. Alhamdulillah saya tak ambil masa yang lama. Cuma minggu pertama itu sahaja saya rasa terawang-awang.

“Bila bangun pagi rasa macam mimpi. Bukan tak terima takdir tetapi rasa tak percaya sebab semalam dia sihat dan ada dengan kita, saya jadi tertanya-tanya betul ke benda ni jadi pada keluarga kita.

“Waktu tidur malam saya fikir apa akan jadi esok. Sampai bila suami akan terlantar dan doktor sendiri tak cakap bila dia akan sedar.

“Apabila dah berkeluarga, ada suami dan anak pasti ada impian yang kita bayangkan. Tetapi bila berlaku semua benda ini menyebabkan ia berkecamuk dalam diri.

Bukan mudah untuk reda lebih-lebih lagi dengan ujian seberat ini. Namun, nasihat dari seorang kawan membuatkan raudzah mula sedar.

“Sebenarnya untuk menerima bergantung pada apa kita fikir. Kalau kita tak reda dan terima jadi susah untuk terima benda lain. Alhamdulillah saya tak ambil masa yang lama.

“Seorang kawan saya pernah memberi nasihat ketika melawat suami di hospital, mungkin dia tengok saya serabut. Dia cakap ‘Raudzah, setiap kali bangun pagi cakap pada diri sendiri Ya Allah aku reda.  Apa jadi hari ini reda sahaja. Jadi saya fikir betul apa dia cakap.

“Jadi sebelum pergi ke hospital, saya cakap ‘Ya Allah aku reda apa jadi hari ni aku terima.’ Jadi kita rasa tenang dan senang nak buat keputusan. Sebab dalam keadaan ketika itu, saya perlu buat banyak keputusan termasuklah anak-anak, bil rumah dan sebagainya.

Suami sakit, rutin berubah

Lebih memeritkan, ibu kepada 4 anak ini sudah lama berhenti kerja dan selepas suami sakit, rutin hariannya juga turut berubah.

“Biasanya suami hantar anak ke sekolah, saya pula uruskan ruamh tangga. Tetapi kini semuanya berubah. Pagi saya uruskan anak dengan menghantar mereka ke sekolah. Pulang ke rumah saya mandikan suami. Semuanya dilakukan sendiri dan kekuatan itu datangnya dari Allah swt.

“ Saya tak nak anak tengaok saya lemah. Jadi, saya set dalam diri tak  nak menangis depan mereka. Sebab saya fikir anak-anak akan tengok apa ibu buat dan respond pada keadaan tersebut. Bayangkan kalau saya menangis setiap hari pasti akan buat mereka sedih. Saya selalu pesan dan cakap pada mereka pergi sekolah macam biasa.

Biarpun dihujani dengan ujian cukup berat, namun wanita ini mengakui Allah permudahkan segalanya.

“Saya tulis buku ni pun sebab saya rasa ujian ni besar tapi Allah mudahkan terutama dalam hal anak-anak. Walaupun saya tak dapat lihat mereka ketika tengah periksa, mereka terpaksa berdikari serta pandai bawa diri. Termasuklah yang darjah satu, siap gosok baju sendiri.

“Alhamdulillah pencapaian mereka cemerlang. Bila saya duduk dan fikir memang banyak hikmah dan rahmat yang saya dapat walaupun diuji dengan suami sakit.  Sebab tu saya selalu pesan pada anak-anak, sentiasa berbuat baik di sekolah.

Keluarga dan rakan-rakan prihatin

Memandangkan tonggak utama keluarga sakit, ia memberi kesan kepada pendapatan keluarga. Akui Raudzah, awalnya agak susah memandangkan suami bekerja sendiri. Namun menakjubkan kerana mereka  dikelilingi kawan yang cukup prihatin.

“Untuk fasa-fasa awal minggu pertama, kawan-kawan suami tubuhkan tabung #pray4idzwan di facebook. Saya dapat sumbangan yang banyak dan tak bimbang tentang belanja. Malah ada yang sponsor belanja anak-anak sekolah sampai sekarang. Kawan-kawan sekolah dan ada yang tak rapat dengan saya masih menyumbang. Keluarga pun banyak membantu kami.

“Selain kekuatan saya datang dari Allah, bagaimana kita menerima keadaan itu juga memberi kekuatan kepada saya. Bila suami sakit, saya tak suka dalam keadaan serabut, saya suka fokus pada penyelesaian dan bukan masalah. Saya kena dapatkan kekuatan dan salah satunya adalah dengan menulis.

“Saya selalu update keadaan suami di facebook dan itu satu terapi buat diri saya sendiri. Setahun lebih saya menulis dan kawan-kawan cakap patut keluarkan buku. Malah waktu itu saya dapat banyak mesej dari wanita lain yang bercerita tentang masalah dan pengalaman mereka menjaga pasangan atau keluarga.

“Dulu tak ada rujukan untuk panduan saya jaga suami. Daripada situlah timbul idea untuk  saya tubuhkan grup whattsapp Info Strok dan Lumpuh. Bila ada grup ini memudahkan orang lain mendapat info dan maklumat tentang penjagaan orang strok dan sehingga sekarang grup ini masih aktif.

Diminta memberi kata-kata semangat buat wanita atau isteri senasib dengannya, kata Raudzah, doa azimat terbaik dalam memberi kekuatan.

“Kita semua manusia biasa, tetapi doa lah supaya kekuatan luar biasa sentiasa Allah bagi pada kita,” ujar Raudzah lagi yang berkongsi cerita cukup memberi inspirasi kepada wanita atau isteri di luar sana terutamanya yang menjaga pasangan sakit.

Untuk perkongsian penuh, boleh lihat video ini.

IKLAN