
“Kepala saya yang berpusing ini dah berhari-hari macam ini, tak berkurang langsung. Macam nak pecah kepala!”
Pernahkah anda alami masalah pening kepala, tidak boleh langsung membuka mata, terasa seperti berpusing-pusing dunia ini?
Nah, ini info ringkas tentang masalah pesakit vertigo!
Vertigo ialah masalah umum yang dialami oleh kira-kira 40% orang sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka.
Ia akan menyebabkan pesakit berasa seolah-olah diri sendiri atau keadaan sekeliling mereka berpusing.
Sesetengah penyakit, jangkitan, trauma kepala dan proses penuaan semulajadi boleh menyebabkan perubahan dalam keseimbangan telinga dalam.
Walaupun gejala ini mungkin hanya berlaku selama beberapa jam atau hari, namun simptom mungkin boleh berlarutan selama bertahun-tahun jika tidak didiagnos dan dirawat!
Masalah ini boleh dibantu dengan kaedah perubatan, pembedahan atau pemulihan vestibular.
Apa simptom-simptom yang akan dialami pesakit?
Anda mungkin akan mengalami gejala seperti ini :
1.Loya
2.Muntah
3.Kepala seperti berpusing
4.Tidak boleh langsung membuka mata akibat terlalu pening
5.Berpeluh
6.Keresahan
7.Debaran jantung
Jika berlaku kepada anda, apa perlu anda lakukan? Ikut petua pertolongan cemas ini:
-Bertenang, jangan panik.
-Cari kedudukan yang selesa untuk duduk sementara menunggu bantuan.
-Dapatkan segera bantuan perubatan jika anda diserang vertigo akut bersama muntah, masalah pertuturan dan rasa lemah.
-Hendaklah mendapat nasihat doktor sebelum mengambil sebarang ubat.
-Jika sedang memandu, berhenti dan letakkan kereta di tempat yang selamat dan minta bantuan.
Jika masalah yang anda sedang alami tidak berkurang, hentikan rawatan di rumah, jumpalah kami di hospital.
Bila sihat, syukur.
Bila sakit, jumpa doktor.
Sumber: Dr Ezairy M.Sallih
Nak Badan Lagi Segar, Buatkan Air Rebusan Cuci Rahim Lepas Haid, Sebulan Sekali Cukup!

Setiap kali lepas datang bulan atau haid, badan kita keletihan melampau ditambah dengan kehilangan darah kotor dalam badan.
Tak perlukan kos yang tinggi, cara mudah untuk segarkan tubuh dalam badan adalah mencuba air rebusan ini untuk mencuci rahim selepas haid.
Ringkas dan mudah serta tidak menggunakan kos yang banyak. Jom cuba perkongsian tip dari Miera Kimie ini.
Air rebusan ini bukan sahaja dapat menyegarkan badan, malah membantu juga membuang angin dalam badan wanita.
Air rebusan cuci rahim lepas period. Banyak khasiat. Amal sebulan sekali dah cukup untuk segarkan badan dan buang angin dalam badan.
Bahan-bahan
Halia besar ibu jari
Kunyit besar ibu jari
Daun pandan 3 helai
Serai 4,5 batang
Madu/gula batu
Ketuk serai dan hiriskan halia dan kunyit. Jangan terlalu nipis.
Masukkan 3 cawan air.
Campur dan rebus dengan bahan-bahan yang lain sampai mendidih.
Jika nak hilangkan keputihan tambah daun sireh 2 helai.
Jika nk ketatkan miss V tambah manjakani sebiji.
Diminum suam-suam atau biarkan sejuk. Saya akan minum suam-suam, lega masuk dalam tekak.
Anak dara pun boleh amalkan minum ni sebulan sekali. In shaa Allah badan jadi segar, ringan je.
Selamat mencuba!
Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club
Mitos Minum Ais Penyebab Rahim Kembang Dan Perut Buncit. Doktor ini Jelaskan Salah Faham.

Selalu kita dengar, ais boleh menyebabkan perut menjadi buncit. Tidak kurang juga yang mengatakan minum ais rahim menjadi kembang dan banyak lagi. Tetapi dimanakah kebenaran disebalik perkara tersebut?
perkongsian Dr. Rusyainie Ramli mungkin dapat membantu ibu-ibu akan hal ini. Boleh lihat status yang dimuatnaik di dalam laman facebooknya berkenaan hal ini.
Namun, terpulang kepada anda sama ada ingin mengikut atau tetap meneruskan pantang seperti yang diturunkan oleh nenek moyang asalkan ia tidak memudaratkan diri sendiri. Yang baik kita ambil dan jadikan panduan.
Teh o ais ni memang minuman kegemaran saya.
Ais tak salah.
Yang salahnya ialah kandungan gula dalam air saya minum ni.
Saya belum boleh minum teh o tanpa gula.
Teh ada kafein. Macam kopi.
Kafein kalau dalam dos sederhana boleh bagi mood lebih baik, buat minda lebih cerdas dan tingkat metabolisma badan.
Teh adalah satu-satunya tumbuhan yang ada asid amino L-theanine. Yang dikatakan merangsang rasa tenang dan rilek. Staf saya kalau nampak saya dah muka merah geram semacam nak naik angin, cepat-cepat pergi belikan saya teh o ais nak sejukkan hati saya yang dah nak melenting.
Ais takkan buatkan rahim saya kembang. Dah 10 tahun rahim saya tak kembang. Hahaha. Rahim kembang sebab saya mengandung. Tak mengandung? Elok je rahim saya dok tempat dia diam-diam.
Ais takkan buatkan becak kat kemaluan sebab saya minum air sejuk ikut mulut. Tak tahulah kalau ada orang minum air kot saluran lain.
Ais takkan buatkan abdomen saya buncit. Sebab air sejuk ni masuk je dekat saluran makan, terus akan ikut suhu badan. Air akan diserap ke dalam darah sistem badan melalui usus.
Yang buncit kat abdomen tu ialah lapisan lemak yang tersimpan. Nak hilangkan tu kena jaga makan dan senam.
Ais takkan buatkan saya rasa letih atau penat. Letih la jadi bos kat ofis. Penat uruskan keluarga. Tidur pun kadang tak cukup. Bukan sebab ais.
Ais takkan buatkan haid berketul-ketul. Tu mitos. Haid tu dinding rahim yang luruh. Maka ada nya tisu dan darah yang keluar ikut faraj. Dalam darah ada bahan untuk bekukan darah. Sebab tulah darah berketul. Cuba potong jari tu, keluar darah atas lantai. Mesti darah tu berketul punya kalau sistem pembekuan darah takde masalah. Kalau takde sistem tu, kita akan berdarah sampai kering. Nak?
Ais takkan buatkan senggugut. Merapu lagi. Senggugut tu benda biasa terjadi dengan haid. Kalau teruk sangat atau berpanjangan, jumpa doktor. Saya dah tulis pasal kitaran haid sebelum ni. Carilah ya.
Ais takkan buatkan vagina tu longgar. Tu auta terbesar bani jamu dan bani klimaks. Mereka tu sentiasa nak takutkan kita dengan ilmu sains songsang sebab hujungnya nak suruh kita beli produk mereka yang biasanya tak daftar pun dengan KKM. Nak ketat? Buat senaman Kegel. Malas? Saya angkat bendera putih dengan orang malas.
Ais takkan buatkan kita cepat tua. Cepat tua la kalau makan tak ingat dunia, berat badan lebih atau obes, malas senam, emosi tak tenteram, hisap rokok macam cerobong asap. Bila dah kena penyakit kronik dan masih tak nak berubah, kualiti hidup takkan sama dah.
Ais takkan buatkan nanti sakit badan bila dah tua sebab tak pantang ais masa lepas bersalin. Tolonglah. Negara kita ni panas ok. Kesian mak stres. Orang melayu ni berialah ikut segala petua masa pantang. Elok habis pantang, terus angkut kaki pergi mekdogol sebab nak buang gian. Tu dah kenapa. Kita ni nak kena jaga kesihatan sepanjang hayat. Pantang sakan la sangat 44 hari pastu buat-buat lupa lepas tu. Nampak macam pantang tu membuta tuli mengikut je tanpa tahu hujung pangkal.
Orang dulu buat petua ais ni sebab ais mahal sangat masa zaman mereka. Bukan semua orang mampu ada peti sejuk. Mereka pergi beli ais kat kedai yang dipotong guna gergaji dan pikul bawa balik rumah. Zaman sekarang dah tak relevan. Kita kan dah belajar sains. Kenapalah masih dok berpegang pada mitos ais ni.
Kesian ais.
Ais tak salah.
Tolong tepek pautan status saya ni kat bani jamu, klimaks dan suku sakat mereka kalau mereka dok membongak pasal ais. Rimas betul saya dengan cerita rekaan mereka.
Sumber: Dr. Rusyainie Ramli
Selain Sedap Di Makan, Setiap Jenis Ulam Juga Ada Khasiat Tertentu. Nombor 7 Tu Sentiasa Jadi Pujaan Ramai!

Ulam merupakan bahagian tumbuh-tumbuhan yang dimakan secara mentah, dicelur, distim atau direbus dan dihidangkan bersama hidangan nasi dan lauk-pauk yang lain.
Ini termasuklah bahagian pucuk, daun, batang, umbut, biji, buah, ubi atau bunga tanaman.
Selalunya, untuk tujuan menambah rasa terhadap ulam yang dimakan, ia dimakan bersama dengan sambal belacan, budu, cencaluk, atau pencicah-pencicah lain.
Orang dulu-dulu sebenarnya telah mengamalkan pemakanan seimbang dan menjadikan ulaman ini sebagai pelengkap hidangan.
Kehidupan sekarang yang terlampau sibuk sehingga tidak sempat untuk masak sayur contohnya anda boleh amalkan makan ulam ini.
Ok, ini dia senarai 8 jenis ulam-ulaman yang popular beserta khasiatnya!
1. Ulam raja
Ulam raja, atau nama saintifiknya Cosmos Caudatus didapati mempunyai kesan antioksidan, antidiabetes, antihipertensi, antikeradangan, antimikrob dan antikulat.
Menariknya dibandingkan dengan buah-buahan seperti strawberi, plum, oren, epal dan tomato, ulam raja mempunyai kadar antioksidan yang paling tinggi. Maka layaklah tumbuhan ini dikenali dengan nama ulam raja.
Ulam raja juga mempunyai kesan melindungi tulang yang dapat mengurangkan risiko osteoporosis, terutamanya bagi wanita menopaus.
2. Sambung Nyawa
Sambung nyawa atau dalam bahasa saintifiknya Gynura Procumbens didapati berpotensi mengawal tekanan darah, kandungan gula dalam darah, menggalakkan kesuburan, selain mempunyai kesan antikanser, antimikrob, antioksidan dan antikeradangan.
Menariknya, kajian dalam haiwan menunjukkan tumbuhan ini hanya mempunyai kesan menurunkan gula dalam darah pada haiwan yang diabetes, dan tidak pada haiwan yang normal.
Bagi masyarakat Cina, ulam yang dikenali sebagai Bai Bing Cao ini banyak digunakan dalam perubatan tradisional Cina untuk rawatan kanser rahim, cervical spondylosis dan ulser kulit yang kronik.
Ekstrak tumbuhan ini juga didapati pada beberapa produk makanan (teh, kopi, kimchi, gula-gula, coklat, gam getah) dan kecantikan (krim muka, topeng muka) di China dan Korea.
3. Daun Selom
Daun selom atau nama saintifiknya Oenanthe javanica mempunyai kesan antidiabetik, antioksidan, antiradang, selain kesan melindungi hati dan memori.
Sayuran ini dihidangkan bersama nasi panas, sambal belacan, lauk ikan sungai dan ikan kering.
Selom juga sesuai dibuat ‘urap’ iaitu campuran kelapa parut, cili api, gara, belacan yang ditumbuk halus dan digaul dengan daun selom.
4. Cekur
Cekur atau nama saintifiknya Kaempferia Galanga Linn mempunyai kesan antiradang, tahan sakit, anticacing, antioksidan, antimikrob dan antihipertensi.
Selain dimakan sebagai ulam, daun cekur turut digunakan untuk merawat bengkak, pening kepala, sakit perut, sakit gigi dan reumatisme (radang dan sakit pada otot dan sendi).
5. Pegaga
Pegaga atau nama saintifiknya Cantella Asiatica merupakan tumbuhan yang sering dikaitkan dengan rahsia keremajaan dan awet muda.
Bukti saintifik juga telah menunjukkan bahawa pegaga mengandungi sebatian tumbuhan yang memudahkan pertumbuhan tisu penghubung seperti elastin dan kolagen, yang penting untuk
penyembuhan luka.
Maka tidak hairanlah kini ekstrak pegaga digunakan dalam produk krim muka, dikenali sebagai cica cream yang boleh didapati daripada jenama-jenama produk terkenal.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengakui pegaga sebagai ramuan untuk menghasilkan kecerdasan untuk berfikir, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.
Nilai nutrisi pegaga yang sebenar telah lama diiktiraf di seluruh Asia.
Dianggap sebagai ‘makanan otak yang menghasilkan kecerdasan’, ulam ini sangat berkesan untuk meningkatkan fungsi mental seperti meningkatkan ingatan dan penumpuan minda.
Amalan meminum jus pegaga sangat berkesan untuk membantu tidur bermasalah, merawat kerengsaan kulit dan tekanan darah tinggi.
6. Daun Kaduk
Daun kaduk atau nama saintifiknya Piper Sarmentosum, agak menyerupai daun sireh tetapi tumbuhan ini tidak tumbuh memanjat sebaliknya tumbuh di atas tanah.
Daun yang mempunyai rasa agak payau dan sedikit pahit ini dikatakan mempunyai manfaat untuk masalah sembelit, sakit gigi, demam malaria, lemah dan sakit-sakit dalam tulang.
7. Petai
Petai merupakan ulam yang tidak perlu diperkenalkan lagi.
Petai didapati mempunyai kesan antidiabetes, antimikrob, antioksidan, antihipertensi dan berpotensi menurunkan kandungan gula dalam darah.
Kandungan antioksidan yang tinggi dalam petai didapati pada bahagian biji dan pod tumbuhan ini.
8. Jering
Selain petai, ulam lain dengan bau yang kuat ialah jering.
Jering mempunyai kandungan asid amino yang unik, asid djenkolic yang mempunyai kesan antidiabetes.
Kajian dalam haiwan mendapati kesan positif pada kandungan gula dalam darah, selera makan dan berat badan haiwan yang diabetes dan normal.
Tetapi, dalam masa yang sama, pengambilan jering boleh menyebabkan masalah jantung, buah pinggang, hati, paru-paru dan pankreas pada haiwan normal.
Oleh itu, pengambilan jering hendaklah secara terkawal.
Jadi, mulakan inisiatif pemakanan ulam-ulaman ini untuk kesihatan badan.
Walaupun anda tidak biasa dan berasa janggal menjamahnya, cubalah dahulu. Kerana dari mulut, pasti turun ke hati!
Sumber : Sinarplus
Dapatkan Telaga Biru Pakej Kenal Jawi Kenal Al Quran Set dengan kos diskaun RM5, KELGST5 di sini
Nak jadi sebahagian dari komuniti kami? Jom sertai di keluargagaderclub