Caruman Perkeso untuk Orang Bekerja Sendiri, 31 Disember 2024 hari terakhir daftar. Tarikh 31 Disember 2024 menandakan peluang terakhir untuk Orang Bekerja Sendiri (OBS) mendaftar dan menikmati perlindungan di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dengan caruman serendah RM23.30 setahun!
Peluang Lindung Diri Dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS)
Inisiatif ini merupakan salah satu usaha kerajaan melalui Belanjawan 2024 bagi memastikan kebajikan golongan pekerja sendiri terus terjamin.
Manfaat SKSPS
SKSPS menyediakan perlindungan sosial kepada golongan OBS yang sebelum ini kurang atau tidak mempunyai jaminan sosial. Melalui skim ini, caruman sebanyak RM209.50 setahun diperlukan untuk mendapatkan perlindungan. Namun, di bawah inisiatif Belanjawan 2024, kerajaan akan menanggung 90% daripada jumlah caruman, dan OBS hanya perlu menyumbang 10% sahaja, iaitu sebanyak RM23.30 setahun.
Dengan perlindungan ini, OBS akan mendapat manfaat seperti:
Perlindungan Kecederaan Pekerjaan
Menyediakan pampasan dan rawatan perubatan sekiranya berlaku kemalangan semasa bekerja.
Faedah Hilang Upaya atau Kematian
Memberikan bantuan kewangan kepada pekerja atau ahli keluarga mereka sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya kekal akibat kemalangan pekerjaan.
Jaringan Keselamatan Sosial
Memastikan kestabilan hidup OBS dan keluarga mereka sekiranya berlaku insiden tidak diingini.
Siapa yang Layak?
Skim ini terbuka kepada semua individu yang tergolong dalam kategori Orang Bekerja Sendiri. Antara sektor pekerjaan yang layak mendaftar termasuk:
Pemandu e-hailing dan penghantar makanan.
Usahawan kecil, peniaga atas talian, dan peniaga pasar malam.
Petani, nelayan, dan penternak.
Golongan freelance seperti penulis, jurugambar, dan pereka grafik.
Ads
Cara Mendaftar
OBS boleh mendaftar dengan mudah melalui pelbagai saluran yang disediakan:
Laman web rasmi: prihatin.perkeso.gov.my
Aplikasi Prihatin PERKESO
Ejen Korporat PERKESO yang dilantik.
Pejabat PERKESO terdekat untuk pendaftaran secara fizikal.
Kenapa Anda Perlu Bertindak Segera?
Tarikh akhir untuk menikmati subsidi ini adalah 31 Disember 2024. Untuk tahun depan, pendaftaran bagi SKSPS adalah RM70 setahun dengan 70 peratus tanggungan kerajaan berbanding RM23.30 setahun bagi tahun 2024.
Perlindungan sosial merupakan langkah penting dalam memastikan kesejahteraan hidup, terutamanya bagi golongan OBS yang terdedah kepada risiko pekerjaan. Inisiatif kerajaan ini adalah peluang keemasan untuk melindungi diri dan keluarga pada kos yang sangat rendah. Segeralah mendaftar sebelum 31 Disember 2024.
Kisah kejayaan tidak pernah hadir tanpa perjalanan yang penuh liku. Begitu juga dengan pengasas dan Pengarah Urusan KueMue, Mohd Juwaidy Bin Suhaimi, yang kini berjaya mencipta nama dalam industri teknologi makanan di Malaysia.
Di sebalik kejayaan itu, tersimpan cerita inspirasi seorang anak muda dari Alor Setar, Kedah yang pernah menempuh kesusahan hidup namun tetap cekal menggapai impian.
Dilahirkan pada tahun 1991 di Alor Setar, Kedah, Mohd Juwaidy merupakan anak keempat daripada 11 orang adik-beradik. Kehidupan keluarga besar ini penuh dengan cabaran.
Namun, kesusahan itulah yang membentuk semangat juangnya. Membesar dalam keluarga sederhana, Juwaidy sudah terbiasa melihat ibu bapanya berusaha keras untuk memastikan setiap anak mendapat pendidikan terbaik.
“Kami pernah makan nasi berlaukkan garam sahaja. Tapi mak dan ayah selalu pesan, pendidikan adalah jalan keluar dari kesusahan.”- Mohd Juwaidy
“Adik-beradik ramai, semua kena kongsi. Tidur bersepah dengan hanya tiga bilik. Ada masa, makanan pun tak cukup. Kadang-kadang pergi sekolah tak bawa duit belanja. Jadi, waktu tu saya fokus pada SPM. Saya tahu, kalau nak ubah hidup keluarga, saya kena berjaya dalam pelajaran,” kenang Juwaidy kisah silamnya kepada Majalah Keluarga.
Namun pengalaman hidup dalam kesusahan itu menjadi pembakar semangat buat Juwaidy untuk berusaha keras dan membawa perubahan kepada keluarganya.
Berbekalkan semangat dan sokongan keluarga, Juwaidy mengorak langkah jauh dalam pendidikan. Beliau menamatkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Kimia di peringkat Sarjana di Imperial College London, sebuah institusi terkemuka yang diiktiraf sebagai universiti kedua terbaik di dunia. Berada di peringkat global bukanlah sesuatu yang mudah, namun Juwaidy membuktikan bahawa anak Malaysia juga mampu bersaing di persada antarabangsa.
“Belajar di luar negara membuka mata saya tentang betapa pentingnya teknologi dan inovasi dalam memajukan kehidupan seharian,” kata Juwaidy yang kini memanfaatkan ilmu tersebut dalam perniagaannya.
Selepas kembali ke tanah air, Juwaidy melihat peluang untuk menggabungkan ilmu kejuruteraan dan minatnya dalam bidang makanan. Bermula dengan idea mencipta alat yang memudahkan penghasilan biskut secara pantas dan konsisten, beliau menubuhkan KueMue dengan membekalkan tiga versi produk Bakineer.
Selepas menamatkan pengajian, Juwaidy bekerja selama empat tahun dalam bidang pengurusan sebelum memutuskan untuk berhenti dan memberi fokus sepenuhnya kepada perniagaan.
Ketika bekerja, beliau melihat abang ketiganya, Fakhri, yang menjalankan perniagaan menghasilkan biskut tart nenas secara kecil-kecilan. Namun proses pengeluaran biskut yang sangat perlahan kerana dilakukan secara manual.
“Saya nampak abang Fakhri bersungguh-sungguh buat semperit, tapi prosesnya makan masa yang lama. Dari situ, timbul rasa nak bantu dengan mencipta sesuatu yang boleh mempercepatkan kerja,” ujar Juwaidy.
Dengan menggunakan ilmu kejuruteraan yang dimilikinya, Juwaidy mula mencipta mesin Bakineer untuk memudahkan penghasilan biskut secara pantas dan konsisten. Nyata, abang ketiga dalam keluarga itu, menjadi pencetus idea dan inspirasi utama kepada permulaan perniagaanya.
Namun, perjalanan perniagaan bukanlah mudah. Juwaidy memulakan perniagaan KueMue pada tahun 2017 selepas kembali ke Malaysia. Pada awalnya, promosi dan jualan produk tidak mendapat sambutan seperti yang diharapkan. Ketika berdepan dengan kesukaran itu, ada masa di mana Juwaidy berasa ingin berhenti dan meninggalkan perniagaan.
“Kadang-kadang rasa nak ‘give up.’ Tapi bila saya fikirkan keluarga, anak-anak yang masih kecil, adik-adik yang ramai di bawah saya, dan ibu bapa yang pendapatan mereka tidak seberapa, saya tak boleh berhenti. Saya kena buat untuk mereka. Fokus saya adalah untuk keluarga kami terus survive,” katanya penuh emosi.
“Saya nak tunjuk pada anak-anak dan adik-adik yang kita boleh berjaya kalau berusaha. Jika saya gagal sekalipun, saya nak mereka tahu saya dah cuba buat yang terbaik. Tapi kalau saya give up, itu bukan contoh yang baik untuk mereka. Jadi, saya tak boleh putus asa,” tambahnya.
Usaha keras Juwaidy mula membuahkan hasil. Melihat kejayaannya, adik-beradik beliau yang dahulunya masih di bangku sekolah kini telah berjaya dalam bidang masing-masing termasuk ada yang menyambung pengajian ke peringkat PhD di London, ada yang menamatkan Sarjana di universiti tempatan.
“Saya bangga dengan pencapaian mereka. Tapi saya juga sedar, ini semua kerana kami tak pernah putus asa. Saya mahu mereka tahu, walau susah macam mana sekalipun, kita kena terus usaha dan jangan pernah berputus asa,” katanya dengan penuh rasa syukur.
Di bawah kepimpinannya, syarikat ini berjaya memperkenalkan beberapa produk inovatif seperti Bakineer 1.0, 2.0, dan 3.0 alat baking yang memudahkan kerja baker dan pengusaha kecil menghasilkan biskut dengan kualiti setanding kilang. Produk-produk ini telah mendapat sambutan hangat di pasaran dan menjadi solusi utama bagi pengusaha biskut di seluruh Malaysia.
Bagi Juwaidy, kejayaan KueMue bukan sekadar pencapaian peribadi. Sebaliknya, ia adalah satu platform untuk membantu lebih ramai usahawan kecil bangkit dan berjaya dalam perniagaan mereka. Beliau percaya bahawa teknologi yang mudah digunakan dapat memberikan impak besar kepada mereka yang ingin memulakan bisnes dari rumah.
“Saya mahu produk kami menjadi pemangkin kepada usahawan kecil, terutamanya suri rumah yang mahu menjana pendapatan sendiri. Teknologi seharusnya memudahkan hidup mereka, bukan membebankan,” jelas Juwaidy tentang visinya.
Membanggakan, lebih daripada 1000 jualan dalam 2 tahun, sesuatu yang begitu inspirasi!
Namun tiada kejayaan yang hadir tanpa cabaran, dan setiap langkah pertama sering kali penuh liku. Menurutnya cabaran dalam perniagaan menguji ketahanan mental dan fizikal buatnya untuk terus melangkah dalam perniagaan.
“Saya masih ingat waktu saya bekerja seorang diri, memikul segala tanggungjawab dan mempromosikan perniagaan ini sendirian selama setahun. Dari menguruskan operasi harian hingga memasarkan produk, semuanya dilakukan dengan tenaga dan usaha sendiri.
“Ia bukan perjalanan yang mudah, penuh dengan cabaran dan detik yang menguji ketahanan mental dan fizikal. Namun, pengalaman itu mengajar saya erti ketabahan dan nilai setiap langkah kecil yang diambil. Dari permulaan itulah saya belajar untuk menghargai setiap pencapaian, walaupun sekecil mana sekalipun.”
“Kini, saya amat bersyukur dikurniakan staf seramai 5 orang yang bukan sahaja berbakat, tetapi juga berdedikasi tinggi. Mereka sentiasa bekerja tanpa mengira masa, memberi komitmen sepenuhnya demi memastikan setiap tugas diselesaikan dengan cemerlang.”
“Usaha mereka yang luar biasa adalah tulang belakang kejayaan kami, dan saya tidak mungkin dapat melangkah sejauh ini tanpa mereka. Terima kasih atas keikhlasan dan kerja keras kalian, semoga kita terus maju bersama,” ujarnya
Walaupun bersaiz kompak, Bakineer mampu menghasilkan biskut dengan cepat dan konsisten seperti di kilang. Tak perlu mesin besar atau ruang luas dengan alat ini boleh tingkatkan produktiviti baking hingga berkali ganda hanya di rumah.
Ia direka dengan teknologi dan aksesori tambahan yang memudahkan pergerakan, mempercepatkan proses, serta memastikan hasil biskut lebih sempurna. Berbeza dengan cara manual, Bakineer mampu meningkatkan produktiviti sehingga beberapa kali ganda. Jadi, bukan saja dapat jimat masa dan tenaga, malah lebih menguntungkan!
Bakineer 1.0 : Produk utama dari KueMue sesuai untuk penghasilan tart nenas & semperit panjang. Bakineer 1.0 berupaya menghasilkan biskut-biskut ini pada kadar 6-7 kali ganda lebih pantas dari proses manual.
Bakineer 2.0: Upgrade dari versi 1.0, hadir dengan aksesori hos untuk penghasilan biskut yang menggunakan acuan nozel berbentuk kon. Hos yang dipasang ke gajet baking memudahkan pergerakan dan memberikan fleksibiliti kepada pengguna dalam menghasilkan biskut seperti semperit bunga (dahlia), butter cookies dan lain-lain produk yang menggunakan nozzle. Versi ini boleh juga menghasilkan tart nenas, semperit panjang, chocolate cookies dan lain2.
Bakineer 3.0: Versi terbaharu ini adalah lebih kompak berbanding versi-versi sebelumnya dengan berat sekitar 1kg sahaja. Bakineer 3.0 direka khas untuk mempercepatkan proses penghasilan semperit dahlia pada kadar yang lebih pantas berbanding versi 2.0, dengan kehadiran adapter yang boleh mengeluarkan dahlia sebanyak 4 biji serentak dalam satu-satu masa. Versi 3.0 hadir dengan set acuan untuk penghasilan pelbagai jenis produk termasuklah semperit bunga (dahlia), butter cookies, maruku, putu mayam, mee, kuetiau, pasta, churros dan apa sahaja biskut yang menggunakan acuan bernozel.
Setiap pencapaian dan kejayaan tidak akan mungkin terjadi tanpa keluarga yang sentiasa berada di sisi, menjadi tunjang kekuatan. Izinkan saya merakamkan penghargaan ini kepada mereka yang menjadi cahaya di setiap langkah perjalanan hidup saya.
“Papa (Suhaimi Bin Ahmad), Mama (Nor Ashikan Aziz), segala yang MJ (nama timangan) capai hari ini adalah hasil didikan, doa, dan pengorbanan kalian. Terima kasih kerana membesarkan kami 11 beradik dengan penuh kasih sayang. Dan terima kasih juga kerana percaya pada impian MJ walaupun ia kelihatan mustahil di mata orang lain. Kalian adalah inspirasi abadi dalam hidup MJ.”
“Sayang (Syuhada Syuroa Kamal), terima kasih kerana sentiasa berdiri di belakang saya, menjadi pendorong, dan memberi cinta tanpa syarat – di waktu susah dan senang. Anak-anak kita (Nourelle & Kaif) adalah penyambung semangat saya untuk terus berusaha dan membina sesuatu yang bermakna. Kehadiran kalian adalah anugerah terbesar dalam hidup saya, dan segala yang saya lakukan ini adalah untuk masa depan kita bersama.”
“Fakhri, terima kasih kerana menjadi pencetus idea kepada Bakineer. Jangan pernah berputus asa, dan teruskan usaha dan lakukan yang terbaik untuk kembangkan perniagaan anda. Kejayaan menanti mereka yang tidak berhenti mencuba.”
“Adik-adik, setiap langkah yang saya ambil ini adalah untuk menunjukkan bahawa apa saja boleh dicapai jika kita percaya pada diri sendiri dan berani mencuba. Saya mahu kalian tahu bahawa setiap cabaran adalah peluang untuk kita jadi lebih baik. Jangan pernah sesekali berhenti tanpa mencuba hingga ke garisan penamat.”
Kisah yang sungguh inspirasi! Tentu ramai ingin mengetahui lebih lanjut ciptaan Mohd Juwaidy Bin Suhaimi. Jadi saksikan episod akhir INNOVATHON Musim 2 pada 18 Januari 2024, Sabtu, jam 9.00 malam di Astro Ria (saluran 104). Juga boleh mengikuti episod akhir ini di Astro Vaanavil (saluran 201), Astro AEC (saluran 306) dan Astro Showcase (saluran 413) dan aplikasi Astro Go dan sooka.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Taska di Bandar Saujana Putra, Kuala Langat yang dipercayai terbabit dalam kes kematian seorang bayi lelaki berusia empat bulan diarahkan tutup, kelmarin.
Semuanya selepas ibu bayi berkenaan bertindak memuat naik hantaran mengenai keadaan anaknya ketika berada di taska.
Menerusi perkongsian ibunya, Puan Yuni Rahman meluahkan rasa kecewa terhadap pengurusan taksa tersebut yang seolah-olah tidak ambil peduli mengenai kematian tersebut.
Difahamkan bahawa guru di taska telah meninggalkan anak lelakinya berada di dalam bilik dalam tempoh masa yang agak panjang sehingga menyebabkan kesukaran untuk bernafas.
“Pada pagi kejadian, saya hantar Handzalah dalam keadaan sihat ke taska pada pukul 9am. Saya mendapat panggilan dari pengusaha taska pada 3.27pm menyatakan Handzalah dah tidak bernafas. Selebihnya adalah moment yang tiada satu ibu bapa pun sanggup lalui.
“Anak saya tak bernafas cikgu boleh cakap tak tahu. Cikgu pengurus taska boleh ke hulu ke hilir. Tetapi datang lambat, balik awal, jadi siapa yang jaga 25 anak-anak? Dua cikgu jaga 25 anak?
“Cikgu tinggal dalam bilik dan tahu tak berapa lama? Sampai anak saya susah nak bernafas? Sampai terbuang air besar sebab sakit,” tulisnya kepada taska terbabit.
Biarpun perit ditelan namun ibu ini reda dengan pemergian anaknya yang begitu dirindui.
“Buat Khairul Handzalah Sufi, terima kasih sangat-sangat. Walaupun dah tertulis dalam Lauh Mahfuz yang kehidupan awak hanya 4 bulan, awak terima. Awak terima rahim ibu untuk dihuni.
“Awak terima keluarga kami sebagai keluarga dunia akhirat awak. Jujur ibu cakap, pregnancy journey ibu membawa awak sangat perit. Tapi bila awak keluar, Allahuakbar. Mudah sungguh jaga awak,” luah si ibu di media sosial.
Memetik laporan media, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Akmalrizal Radzi melaporkan bahawa menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 3.29 petang daripada seorang doktor sebuah klinik.
Bayi tersebut telah dibawa seorang pengasuh taska dalam keadaan pucat kebiruan pada bibir dan kaki, tiada nadi serta nafas selain tiada pergerakan anak mata bila disuluh lampu. Siasatan mendapati bahawa taska berkenaan tidak berlesen dan masih dalam proses permohonan.
Ibu bapa yang mempunyai anak yang bakal melangkah ke Tahun 1 pada tahun 2026 nanti, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bakal membuka pendaftaran murid Tahun 1 bagi Kalendar Akademik Sesi 2026 bermula 1 Mac ini.
Bagi mengelakkan masalah keciciran pelajar, tarikh pendaftaran ini bermula pada 1 Mac hingga 30 April 2025 ini.
Proses pendaftaran ini akan dilakukan secara atas talian melalui Sistem Bersepadu KPM (MOEIS), yang boleh diakses menerusi pautan berikut: https://idme.moe.gov.my.
Syarat Permohonan Murid Tahun 1 Sesi 2026 / 2027
-Kanak-kanak warganegara Malaysia
-Kanak-kanak yang lahir dari 2 Januari 2019 – 1 Januari 2020
Dokumen diperlukan semasa buat permohonan adalah:
-Salinan kad pengenalan ibu bapa dan anak
-Surat beranak anak
-Bil utiliti atau dokumen pengesahan alamat tempat tinggal
2. Daftar Sebagai Pengguna Baru (Pengguna Pertama Kali): Klik pada “Daftar Baru”. Isikan semua maklumat yang diperlukan dan klik “Daftar”.
3. Log Masuk ke Sistem: Selepas pendaftaran berjaya, log masuk ke sistem menggunakan ID dan kata laluan yang telah ditetapkan.
4. Maklumat Peribadi: Klik pada tab ‘Aplikasi’ dan pilih ‘Modul Pengurusan Awam’. Isi semua maklumat peribadi, maklumat pasangan, dan maklumat anak jagaan.
5. Permohonan Kemasukan: Setelah semua maklumat diisi, pergi ke tab ‘Maklumat Anak Jagaan’ untuk mengisi maklumat setiap anak. Seterusnya, pilih ‘Permohonan Kemasukan’ dan ikuti arahan untuk memilih sekolah yang sesuai berdasarkan alamat yang didaftarkan.
6. Muat Naik Dokumen: Muat naik dokumen yang diperlukan mengikuti format dan saiz yang ditetapkan. Tandakan kotak ‘Saya mengaku..’ dan klik ‘Hantar’.
7. Cetak dan Hantar Borang: Setelah menghantar permohonan, cetak borang permohonan dan borang sokongan yang diperlukan. Hantar borang tersebut ke sekolah yang dipilih.
Ibu bapa yang telah berjaya membuat pendaftaran dan permohonan secara atas talian dengan mengisi butiran diperlukan dalam Modul Pengurusan Awam, Sistem Bersepadu KPM (MOEIS) idMe serta mencetak bukti permohonan online berkenaan perlu hadir ke pejabat sekolah yang dipohon untuk perakuan permohonan dan penghantaran dokumen dalam tempoh pendaftaran dibuka
Sila bawa bersama dokumen berkaitan / dokumen yang mana berkenaan seperti berikut (dokumen yang diperlukan tertakluk kepada pentadbiran sekolah negeri yang dipohon) :
-Sijil lahir anak berkenaan (asal dan 1 satu salinan)-Kad pengenalan ibu bapa / penjaga (asal dan 1 salinan bagi kedua-dua ibu bapa)
-Surat nikah / surat cerai (asal dan 1 salinan)
-(Bukti alamat tinggal) salinan bil elektrik / bil air / cukai pintu / perjanjian jual beli bulan Januari atau Februari (yang terkini) – sah laku sehingga anak tuan / puan masuk tahun 1
-Sampul surat bersaiz standard dan setem (saiz sampul surat dan harga setem ditentukan oleh pengurusan sekolah negeri dipohon)
-Laporan doktor dan kad OKU (jika berkaitan)
-Cetakan borang permohonan online
*Selamat berjaya!
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di