Melihat pasangan suami isteri yang kekal bahagia selepas bertahun-tahun melayari alam rumah tangga, pastinya membuatkan ramai tumpang gembira. Apatah lagi apabila perjalanan itu sudah memasuki usia 15 tahun, lengkap pula dengan kehadiran anak-anak yang comel sebagai penyeri kehidupan.
Begitulah yang dikongsikan pelakon, Fazren Rafi apabila memuat naik video sempena sambutan ulang tahun perkahwinannya yang ke-15 bersama isteri tercinta di TikTok.
Menerusi perkongsian tersebut, Fazren Rafi berkongsi rasa syukur atas perjalanan rumah tangga yang dibina bersama isteri. Daripada hanya berdua sebagai pasangan suami isteri, kini keluarga mereka semakin meriah dengan kehadiran lima orang cahaya mata.
“Squad Faz” Jadi Perhatian Netizen
Lebih mencuit hati, Fazren Rafi turut menggambarkan keluarganya sebagai “Squad Faz” yang semakin mencabar untuk dikendalikan.
“Daripada dua kini menjadi tujuh, Squad Faz makin mencabar untuk dikendalikan.
Ads
15 tahun bersama, kini dengan kehadiran 5 orang anak. Tak selalu mudah, tapi sentiasa berbaloi.
Semoga kami terus bahagia, semakin kuat, dan mampu membesarkan mereka dengan baik hingga ke Jannah.”
@fazrenrafiFrom two to seven — Squad Faz getting harder to handle 😅 15 years strong, now with 5 kids in the mix. Not always easy, but always worth it. Praying we stay happy, grow stronger, and raise them well till Jannah ❤️
Perkongsian itu nyata menarik perhatian ramai. Selain mendoakan kebahagiaan pasangan ini, netizen turut memuji penampilan Fazren Rafi dan isteri yang dikatakan masih kekal awet muda walaupun sudah 15 tahun berkahwin dan mempunyai lima orang anak.
Ads
Pujian Netizen Buat Fazren Rafi & Isteri
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang meluahkan rasa kagum melihat pasangan ini yang masih kelihatan muda, segak dan manis seperti dahulu. Malah ada yang berseloroh, sukar untuk percaya Fazren Rafi sebenarnya sudah bergelar bapa kepada lima anak.
Cabaran 15 Tahun Perkahwinan
Bagi pasangan suami isteri, tempoh 15 tahun bukanlah perjalanan yang singkat. Dalam membina rumah tangga, pasti ada hari yang indah, ada juga hari yang menguji kesabaran. Lebih-lebih lagi apabila sudah mempunyai anak yang ramai, tanggungjawab sebagai ibu bapa tentu semakin besar.
Namun seperti yang dikongsikan Fazren Rafi, walaupun tidak selalu mudah, semuanya tetap berbaloi. Itulah hakikat kehidupan berkeluarga. Penat menjaga anak, sibuk mengurus rumah tangga dan cabaran mendidik mereka membesar, akhirnya menjadi kenangan paling bermakna apabila dilalui bersama insan tersayang.
Ads
Kunci Kebahagiaan Rumah Tangga
Perkongsian Fazren Rafi ini secara tidak langsung mengingatkan kita bahawa kebahagiaan rumah tangga bukan hanya diukur pada berapa lama usia perkahwinan, tetapi sejauh mana suami isteri terus saling menyokong, memahami dan menghargai antara satu sama lain.
Semoga rumah tangga Fazren Rafi dan isteri terus dilimpahi kasih sayang, kekal bahagia bersama lima cahaya mata tersayang serta dikurniakan kekuatan untuk membesarkan anak-anak hingga ke Jannah.
Anak yang hebat adalah impian setiap ibu bapa. Namun, peranan ibu bapa dalam mendidik anak masa kini amat memcabar. Ini kerana, kadang-kala kita tidak menyedari akan kesilapan dalam mendidik anak-anak.
Memang tidak dinafikan semua inginkan cahayamata yang cemerlang dan memberikan kebanggaan keluarga. Namun, apabila ibu bapa berjaya mendidik anak dengan sempurna, mudah untuk mereka mendengar cakap.
Sebagaimana perkongsian oleh Ibu Rose ini. Begitu bermanfaat untuk dikongsi bersama.
5 CARA DIDIK GENERASI MILLENNIA
1 – BAWA ANAK-ANAK BERMAIN DENGAN AKTIF
Bawa anak-anak bermain dengan aktif, seperti di padang mainan indoor atau outdoor.
Lebih baik outdoor.
“BILA MEREKA BERMAIN, MEREKA DAPAT MENGEKSPRESI DIRI MEREKA.
MEREKA BOLEH MENJERIT-JERIT, MELOMPAT DAN BERPELUH”
Ini membolehkan tenaga negatif yang tersimpan dikeluarkan dengan cara yang sihat.
Cucu sulung ibu, semasa itu baru berusia 2 tahun suka sangat menjerit, menjadi garang dan agak agresif. Ibu dan mamanya perasan perkara ini. Bila kami kaji balik, rupa-rupanya sudah berbulan-bulan dia tidak dibawa bermain di padang.
Semenjak itu mamanya memastikan dia bermain di padang sekurang-kurangnya 3 kali seminggu. Semenjak mamanya melakukan perkara itu, cucu ibu tidak lagi berkelakuan seperti tadi.
2 – KURANGKAN GAJET
Kurangkan masa menonton TV, bermain video games di komputer atau ipad atau TV.
“BILA ANAK-ANAK BERMAIN VIDEO GAMES, MEREKA AKAN MENGALAMI ADRENALIN RUSH”
Bila mereka tidak dapat bermain lasak di luar terutamanya, maka adrenalin rush itu tiada jalan keluar dan menyebabkan anak-anak kecil itu menjadi tidak keruan perlakuan mereka.
Ini selain daripada pengaruh games itu sendiri termasuklah mesej tersirat yang subliminal dimasukkan ke dalam games itu.
“PILIH GAMES YANG BAIK DAN CUBA GAMES ITU DAHULU SEBELUM DIBERI KEPADA ANAK-ANAK KECIL ANDA. JIKA ANDA SENDIRI RASA TAK MENENTU SELEPAS BERMAIN GAMES ITU, APATAH LAGI ANAK-ANAK KECIL”
3 – KURANGKAN GULA
Kurangkan pengambilan gula secara nampak atau tidak nampak.
“GULA YANG TAK NAMPAK, MAKSUDNYA KITA SENDIRI YANG MEMASUKKAN GULA ITU.
GULA YANG TAK NAMPAK, CONTOHNYA MINUMAN SODA, FAST FOOD DSB”
Jika menyediakan makanan sediakanlah dengan penuh kasih sayang dan tenang.
Makanan itu masuk ke dalam badan mereka dan menjadi darah daging. Tenaga dan ‘state’ kita semasa memasak adalah amat penting kerana itulah tenaga yang sampai kepada anak-anak kita.
Jika keadaan diri kita semasa masak banyak menyumpah-nyumpah, maka ke manalah perginya tenaga negatif itu kecuali keada makanan yang dimasak dan kemudiannya dimasukkan ke dalam badan anak.
Tenaga tidak boleh dimusnahkan atau dicipta. Ia hanya berubah bentuk.
4 – ELAKKAN MENJERIT-JERIT DAN KERAP MARAH-MARAH
Boleh marah, tapi simpan marah itu untuk sesuatu isu yang sangat memerlukan marah itu.
Contohnya sesuatu yang merbahaya baginya, seperti bermain di tengah jalan dsb.
“BILA TERLALU SUKA MEMARAHI, MARAH KITA ITU SUDAH TIDAK ADA MAKNANYA.
MALAH IA MENJADI CARA HIDUP YANG ANAK-ANAK AKAN IKUT”
Marah yang tidak dikawal dengan baik akan menyalurkan tenaga negatif yang akan diserap oleh anak-anak itu.
Maka kita akan lihat mereka pula mempunyai karakter suka marah-marah.
Ibu tahu para ibu bapa semua adakalanya tidak boleh mengawal diri dan terus marah. Itu sekali sekala, tak pe. Kita manusia, kita buat silap. Apa yang kita tidak mahu jadi ialah kita menjadikan itu karakter kita – suka marah-marah dan berleter.
5- KAWAL DIRI BILA NAK MARAH
Jika anda nak marah sangat, jika anda sedang berdiri, duduk, istigfar atau bilang sampai sepuluh. Jika marah juga, pergi tempat lain yang anak tu tak nampak, maka keluarkan marah itu dengan menjerit sambil memekup muka ke bantal …
atau yang lebih baik, pejamkan mata dan bayangkan anda berada di bawah air terjun yang indah dan air itu memandikan anda sehingga semua marah anda tadi dibasuh keluar dan pergi bersama air yang luruh daripada badan anda.
Bila sudah selalu melakukan sedemikian, anda akan mengambil masa yang lebih singkat dan bila tenang, anda boleh mengambil langkah yang lebih bijak.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Ceramah dan penulisannya sering mendapat perhatian ramai di majlis ilmu atau di media sosial. Setiap kali menyampaikan ilmu kekeluargaan berunsurkan Islamik perkongsiannya akan mendapat perhatian ramai.
Malah cara hidup beliau serta suami dalam mendidik anak-anak turut menjadi inspirasi. Begitulah figure Ustazah Asma’ Harun kini meniti di bibir-bibir muslimat majoritinya. Sering membuat live perkongsian ilmu di laman media sosial.
Sempena ulangtahun perkahwinan yang ke-15, suami beliau, Tengku Fazli bin Tengku Yahya berkongsi coretan kisah bahagianya bersama isteri, Ustazah Asma’ Harun (UAH) yang dikurniakan tujuh orang cahayamata penyeri buat keluarga.
Ikuti perkongsian ‘sweet’ ini.
15 TAHUN YANG LEPAS.. Tulisan oleh : En. Suami UAH Dikemaskini : Ustazah Asma’ Harun
BAHAGIA ITU PERCUMA IAITU DENGAN SYUKUR
Masih lagi teringat kata-kata UAH selepas mengikat tali pertunangan, beliau dibesarkan dalam sebuah keluarga yang agak senang, lalu saya bertanya boleh ke untuk menempuh hidup susah selepas nikah. Jawapannya ketika itu,
“Sebagai ingatan bersama, ada 2 perkara yang mana manusia tidak akan puas selamanya, iaitu megumpulkan harta dunia dan mencari ilmu. Ia akan membuatkan manusia sentiasa merasa tidak cukup, maka insyaAllah kita adalah yang tidak puas dengan Ilmu”.
“Ustaz (panggilan UAH buat saya, saya pelajar kejuruteraan), ana cukup senang dan tenang bilamana ustaz ada mengatakan bahawa ustaz tak mampu memberikan kesenangan tapi insyaAllah kebahagiaan, kerana bahagia itu percuma iaitu dengan Syukur”.
“Ana tak kisah bagaimanapun kehidupan akan datang, susah senang lalui bersama, dan sederhana itulah sebaik-baik cara hidup. Ana juga tak pernah bermimpikan hidup dalam kemewahan dan kesenangan, ia cukup menggerunkan, ia bukan cara hidup kita, tiap harta itu pinjaman dariNya, untuk melihat sejauh mana kita mengimarahkan dan menguruskannya, semuanya akan kembali kepadaNya jua..”
Panjang UAH menerangkan, memang daripada dulu petah menyusun kata-kata. Ini bukanlah satu kata-kata manis, janji indah dari seorang yang sedang mabuk dalam cintanya, ia datang dari niat dan kefahaman tentang islam itu sendiri. Sambungnya lagi..
“Ustaz, bukanlah satu syarat dan keutamaan bagi ana memiliki keperluan itu ini, ana tak mahu kerana perkara yang belum pasti, maka perkara “baik (nikah)” dilengah-lengahkan. Paling utama yakinlah dengan rezeki Allah”.
Alhamdulillah. Saatnya, 6.11.2005 tarikh yang menyatukan kami setelah setahun lebih bertunang. Bila dikenang kembali, terasa cepatnya saat yang indah itu berlalu, menyatukan 2 jiwa secara sah. Indahnya apabila semuanya dilalui hari demi hari dengan sabar, redha, usaha dan saling memaafkan.
Berkongsi satu kenangan yang selalu memecahkan tawa, dalam kekalutan perjalanan menuju kampung Batu Enam iaitu rumah UAH untuk akad nikah dan kenduri walimah, rombongan kami tertinggal hadiah hantaran , nak balik semula dah jauh. Waktu akad nikah pula dah dekat.
Bila sampai dan disambut oleh keluarga UAH, kami semua hanya membalas dengan senyuman yang penuh rasa malu, hanya bawa pengantin lelaki! Entah bagaimana rupa rombongan dari Besut ketika itu.
Tapi kisahnya bermula daripada awal lagi, keluarga UAH dah maklumkan tentang hantaran tak perlu dijadikan keutamaan, jika nak diberi perlu tertutup supaya ia tidak ditunjukkan, jadikan ia betul² satu hadiah.
AWAL PERKAHWINAN
Di awal pernikahan, ketika itu saya masih dalam proses menyiapkan Sarjana di UTM Skudai, kami hanya memiliki sebuah motosikal. Bersama ke kuliah harian, ke pasar, ke masjid dan kemana². Pulang ke kampung menaiki bas, kekurangan tapi sempurna. Kami menjalani kehidupan yang sangat sederhana sebagai pelajar dengan elaun bulanan part time sebagai pegawai penyelidik. Bertahan dengan rumah sewa yang comel tanpa mesin basuh dll kelengkapan sehinggalah lahirnya anak pertama, Atikah.
Berbelanja keperluan harian seadanya, hujung bulan tabung duit syiling adalah penyelamat. Telur kicap menjadi hidangan paling kerap yang sedap. Belajar menikmati pahit manis kehidupan tanpa keluh kesah. Apa-apa yang diterima diakhiri dengan Alhamdulillah. Kelahiran Atikah sangat membahagiakan, Namun, ia bermula dengan tempoh mengandung dengan alahan yang teruk, keluar masuk hospital juga. Saat mahu melahirkan UAH melalui satu pengalaman yang perit.
Dr. melakukan satu prosedur memecahkan air ketuban sedangkan ketika itu tiada bukaan dan tanda² untuk melahirkan anak, seolahnya dipaksa. Maka bermulalah sakit kontraksi yang di tahap maksimum bermula jam 12 tengah malam sehingga laungan azan subuh tanpa henti hampir setiap minit.
Tidak dapat membayangkan saat itu, hampir seluruh tenaga digunakan, digenggam tangan dan apa yang ada sekuat hati. Terasa sakit yang amat, namun derita yang ditanggung UAH lebih berganda lagi.
Saya masih ingat UAH dimarah-marah kerana menjerit kesakitan dan beberapa perkataan yang perit diterima. Bagi saya yang tiada pengalaman, memandang kali pertama merasa keliru, adakah ini keadaan biasa proses melahirkan atau diluar kebiasaan.
KELAHIRAN CAHAYAMATA PERTAMA
Seolah-olah tidak mampu bertahan dengan banyak kudrat diguna, beberapa kali perlu UAH perlu disedarkan kerana kehilangan tenaga, tidak ada waktu untuk rehat atau minum, sakit tanpa henti dalam 5 jam lebih silih berganti dengan muntah. Saya begitu keliru melihat keadaan UAH umpama benar² dihujung nyawa.
Sehinggalah saat azan subuh berkumandang, Atikah selamat dilahirkan. Saya terus terduduk hampir pengsan kerana kebimbangan dan keletihan. Selepas selesai UAH diminta pindahkan katil, beliau cuba untuk berjalan, tapi ketika itu kakinya tidak merasa apa² umpama seperti kebas sepenuhnya. Ya Allah sungguh keadaan itu menakutkan.. lama juga baru UAH dapat rasa pergerakan kaki.
Benarlah, kelahiran Atikah bukan satu proses biasa, kerana anak-anak yang selepas itu tidak ada yang seperti Atikah, kesakitan kontraksi bukanlah setiap saat, ada selang selinya akan berhenti untuk mengumpul tenaga. UAH selalu menyebutkan bahawa jika dikumpulkan semua sakit bersalin anak-anak yang lain masih tak boleh menyamai dengan sakit Atikah.
Satu kisah.. selang beberapa hari dilahirkan, Atikah tidak stabil dan perlu ditahan di wad kritikal dan diletakkan dalam inkubator, punca yang tidak diketahui. Sedih tak tertahan melihatnya yang masih merah melalui pelbagai prosedur yang menyakitkan.
Kami hanya mampu melihat bayi kecil kami menangis menggeletar tanpa baju dan pelukan di dalam inkubator, yang akhirnya keletihan dengan esak tangis dan tertidur. Panjang kisahnya.. Alhamdulillah Atikah akhirnya sihat sepenuhnya hingga kini.
Mengenang cerita kelahiran Atikah, UAH tersangat trauma untuk kembali ke wad bersalin. Namun fitrah kewanitaannya, apabila Atikah dah mula membesar, dan kerana ingin membahagiakan suaminya dengan ramai zuriat, akhirnya dipertaruhkan juga nyawa sehingga 7 kali dan 2 kali keguguran.
Ketika kelahiran anak ke 6 iaitu Raihanah, UAH telah mengalami masalah uri lekat, siapa yang ada pengalaman tentu tahu, Dr. perlu keluarkan uri dengan tangan dalam keadaan sedar, Ia kesakitan berganda selepas sakit melahirkan.
Keadaan bertambah parah Ketika kelahiran Fatimah, UAH mengalami masalah uri lekat dan rahim bocor menyebabkan perlu dilahirkan melalui pembedahan. Hampir sahaja rahim perlu dibuang namun dapat diselamatkan. Doktor menasihatkan agar inilah anak yang terakhir kami. Kami akur dan kami amat bersyukur atas semuanya.
Alhamdulillah. Alhamdulillah ya Allah.. semoga pernikahan ini kekal sampai Syurga dan diredhai Allah jalan ceritanya, bersama anak-anak tercinta, Atikah 14, Luqman 12, Maisarah 11, Imran 9, Sofwan 6, Raihanah 3, Fatimah 1.
Kau Permaisuri di hati-ku Di dunia ini engkau penghibur Menjunjung kasih amanah Ilahi Ku pasti akan terus menyayangi Terima kasih ucapan ku beri Kau hadiahkan ku cahaya hati Ku pimpin tangan-mu oh kasih meniti hari Semoga kita dapat bersama Sampai kepada-Nya disyurga sana Tuhan kekalkanlah Permaisuri hati ku Untuk menemani dalam mengapai cinta-Mu (Nasyid kegemaran UAH, saya selalu dipaksa nyanyikannya.. )
Duhai Isteriku, selamat menyambut ulangtahun pernikahan yang ke-15 (06.11.2005 ~ 06.11.2020) semoga kita semakin kuat dan ikhlas saling mengasihi keranaNya. Alhamdulillah ya Allah.. Doakan kami, doa yang sama buat semua..
Tengku Fazli bin Tengku Yahya Suami kepada Asma’ binti Harun Jumaat 06.11.2020
Bermulanya musim persekolahan, pelbagai karenah anak-anak dapat dilihat waktu ini. Ada yang teruja, gembira, tak sabar dan tak kurang juga yang takut, murung, dan sebagainya lagi.
Namun, kisah adik yang baru memasuki tahun satu ini sedikit istimewa. Biarpun diri tidak sihat, namun semangat dan tkad untuk bersekolah menyebabkan dia sanggup melalui segalanya.
Adik Hazim Hafifi ini mengidap Sakit Buah Pinggang yang kronik. Menerusi catatan ibunya Khairatul Azni di facebook, si anak nampak teruja untuk ke sekolah.
Perkongsian gambar dan cerita tentang Hazim yang memulakan sesi orientasi membuatkan ramai yang sebak dan terharu dengan keadaannya itu.
Adik yang sekolah tapi kita pulak risau lebih lebih. Semoga kaki tangan kuat utk berjalan, menulis, melukis. Dia excited nak ke sekolah, bagi peluang merasa ke sekolah.
Bila bergurau kata xyah g skolah la dik, dia nangis.
Semoga Hazim Hafifi dipanjangkan umur dan diberi kesihatan berpanjangan.
Hazim penghidap ESRF (End Stage Renal Failure) iaitu sakit buah pinggang tahap kronik didiagnos ketika berumur 9 bulan. Start dialisis ketika berumur 1 tahun 6 bulan.
Demi memastikan anaknya selesa dan dapat belajar dengan baik di sekolah, si ibu sanggup nak membelikan kerusi baru untuknya. Ini kerana kerusi yang sedia ada tidak sesuai dengan tahap ketinggian Hazim.
Menurut ibunya lagi, walaupun dia tidak sihat, namun tetap mahu melakukan aktiviti yang sama seperti kawan-kawannya.
Semoga dipermudahkan urusan adik kecil ini untuk menuntut ilmu dan diberi kesembuhan penyakitnya itu.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di