Pernah terfikir apa yang berlaku bila kita guna minyak masak berulang kali? Walaupun nampak seperti langkah berjimat, tindakan ini sebenarnya mengundang bahaya besar kepada kesihatan kita.
Kenyataan mengenai bahaya minyak masak terpakai yang diguhakan lebih tiga kali ini dihuraikan oleh Dr Zubaidi Hj Ahmad dan Public Health Malaysia ini dengan fakta mengejutkan tentang risiko penggunaan minyak masak terpakai.
Jom kita fahami lebih lanjut untuk elakkan ancaman kesihatan kepada diri dan keluarga!
Apa sebenarnya yang berlaku apabila minyak masak digunakan berulang kali?
Setiap kali minyak dipanaskan, ia melalui proses kimia yang berbahaya: Penguraian Lemak
Lemak dalam minyak mula terurai apabila dipanaskan terlalu lama atau berulang kali, menghasilkan lemak-trans.
Lemak-trans ini sangat berbahaya kerana ia menyumbang kepada kolesterol tinggi dan penyumbatan salur darah (atherosclerosis).
Pembentukan Radikal Bebas
Ads
Suhu tinggi menyebabkan minyak menghasilkan radikal bebas, iaitu molekul tidak stabil yang boleh merosakkan sel-sel badan kita. Radikal bebas ini berkait rapat dengan radang kronik, kanser, dan juga penuaan pramatang.
Aldehid dan Bahan Toksik
Minyak yang digunakan berulang kali juga menghasilkan aldehid, bahan toksik yang merosakkan organ dalaman seperti hati, jantung, dan otak.
Pengambilan bahan ini secara berterusan meningkatkan risiko penyakit seperti Alzheimer, Parkinson, dan kanser.
Warna dan Bau Minyak Berubah
Semakin lama minyak digunakan, warnanya menjadi gelap dan bau tengik muncul.
Ini petanda bahan kimia berbahaya telah terkumpul di dalam minyak tersebut.
Penggunaan Maksimum: 3 Kali Sahaja!
Untuk keselamatan keluarga, elakkan makanan yang dimasak dengan minyak terpakai. Pilihan anda hari ini menentukan kesihatan mereka di masa hadapan.
PASTIKAN ADA PENGESAHAN SIRIM, ELAK HIDAP RISIKO KANSER
Ads
Sebagaimana perkongsian Dr Zubaidi Hj Ahmad, menjelaskan minyak masak yang digunakan berulang kali boleh menyebabkan hipertensi, merosakkan hati dan meningkatkan risiko kanser.
Katanya minyak masak tidak sepatutnya digunakan lebih dari dua atau tiga kali untuk menggoreng.Yang terbaik menggunakannya hanya sekali.
“Apabila digunakan berulang kali, tahap kelikatan hidrokarbon di dalam minyak masak meningkat dan menyebabkan salur arteri tersumbat, hipertensi dan merosakkan hati.”
Dia juga memberi nasihat supaya berhati-hati membeli minyak paket yang murah supaya tidak menjejaskan kesihatan. Dia menegaskan bahawa pastikan minyak berkenaan mendapat pengesahan daripada SIRIM.
Ads
“Kajian yang pernah dilakukan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia, ke atas 19 jenama minyak masak mendapati bahawa kebanyakan minyak dalam peket 1 kg ini tidak sihat mengikut piawaian yang ditetapkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia.
“Oleh itu masyarakat diingatkan agar berhati-hati menggunakan minyak masak dalam peket 1kg. Sebagai langkah selamat, gunakan minyak yang mendapat pengesahan dari SIRIM sahaja.”
“Selain daripada itu, elakkan dari membeli minyak yang tidak dapat dipastikan pengeluarnya walaupun harganya adalah lebih murah,” jelasnya menerusi coretannya di facebook miliknya.
Kesihatan adalah aset paling berharga, dan semuanya bermula dari pilihan kecil kita sehari-hari. Elakkan penggunaan minyak masak berulang kali kerana kesannya bukan saja merosakkan tubuh, malah boleh membawa kepada penyakit serius seperti kanser dan penyakit kronik lain. Sayangi diri dan keluarga, dan jadikan ini peringatan untuk gaya hidup yang lebih sihat. Pilihan anda hari ini adalah penentu masa depan mereka!
“Saya tak tidur, ‘last contact’ jam 1.40 pagi tadi”- Yusuf Bahrin kongsi detik terakhir sebelum Zizi Kirana ditahan. Pelakon Yusuf Bahrin mengakui dirinya tidak dapat melelapkan mata sejak malam tadi kerana terlalu bimbang dengan keadaan isterinya, penyanyi Zizi Kirana, yang kini berada dalam tahanan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.
Menurut Yusuf atau nama sebenarnya Muhammad Yusuf Bahrin, 33, dia sempat menghubungi Zizi buat kali terakhir pada jam 1.40 pagi sebelum talian komunikasi terputus sepenuhnya.
“Kita sama-sama tak tidur malam ini. Saya rasa dah buang telefon sebab tak dapat nak hubungi dia dah, saya cuba mesej dan ‘call’ dia.
“Status kapal Zizi kali terakhir adalah kecemasan. Setakat ini saya cuba sedaya upaya untuk kuatkan semangat di sini, doa banyak-banyak.
“Kali terakhir berhubung pada 1.40 pagi tadi. Kapal Heliza dekat belakang sebab itu dia masih boleh buat siaran langsung,” katanya sebak.
Bintang drama Seindah Hujan Cinta itu berkata misi GSF seharusnya membuka mata masyarakat dunia bahawa tujuan utama mereka hanyalah untuk membawa bantuan kemanusiaan, bukannya mencetuskan perbalahan.
Lebih menyentuh hati, Yusuf memaklumkan bahawa penduduk Gaza sudah menunggu di tepian pantai untuk menyambut ketibaan rombongan flotila, termasuk kanak-kanak kecil yang menaruh harapan tinggi.
“Satu dunia pandang G sebab tak semua ada media sosial. Bila tengok GSF tengah tular, mereka tahu ada orang peduli,” jelasnya lagi.
Yusuf turut menyeru seluruh rakyat Malaysia agar bersatu menunaikan solat hajat serta mendoakan keselamatan semua sukarelawan yang menyertai misi berkenaan.
Difahamkan, kapal yang dinaiki Zizi iaitu Huga telah dipintas tentera Israel, manakala dua lagi kapal iaitu Sirius dan Alma yang membawa tujuh delegasi Malaysia turut ditahan dalam misi GSF.
Pernah tular gambar fotogenik bersama kerbau kesayangan, Syukor, ‘Mowgli Malaysia’ kembali tarik perhatian. Suatu ketika dahulu, pernah tular gambar ikonik seorang kanak-kanak bersama kerbau ternakannya. Gambar tersebut bukan sahaja mencuri tumpuan ramai, malah mencipta fenomena yang luar biasa.
Keunikan hubungan erat antara kanak-kanak dan haiwan peliharaannya berjaya menarik perhatian dunia dan diiktiraf dalam pelbagai pertandingan fotografi peringkat antarabangsa.
Gambar itu mula terkenal selepas dipilih untuk dipamerkan di Austrian Cultural Forum, Itali, sebagai sebahagian daripada himpunan gambar terbaik Alfred Fried Photography Award 2018.
Pencapaian ini merupakan satu kebanggaan, bukan sahaja kepada jurugambar yang mengambil gambar tersebut, tetapi juga kepada kanak-kanak yang menjadi subjek utama dalam karya tersebut.
Tidak terhenti di situ, gambar tersebut turut memenangi Anugerah Istimewa dari Siena International Photo Awards dalam kategori Wajah dan Karektor Menarik. Anugerah ini mengiktiraf kekuatan emosi dan ekspresi wajah yang ditampilkan dalam gambar, memperlihatkan keistimewaan hubungan antara manusia dan haiwan.
Selain itu, kejayaan gambar ini diteruskan apabila ia dinobatkan sebagai pemenang Asian Geographic: Imej Asia 2018 bagi kategori Manusia atau Jalanan (Street or People). Pencapaian ini mengukuhkan lagi status gambar tersebut sebagai karya yang tidak hanya indah dari segi visual, tetapi juga membawa makna mendalam tentang kehidupan dan keakraban manusia dengan alam sekitar.
Difahamkan, kanak-kanak yang berusia 14 tahun dalam gambar tersebut ialah Mohd Syukor Khamis, yang terkenal dengan hubungan erat bersama kerbau-kerbau ternakannya. Syukor, dengan wajahnya yang tenang dan penuh kasih sayang, telah berjaya menawan hati jutaan orang melalui gambar tersebut.
Hubungan uniknya dengan kerbau telah menjadi simbolik kepada keakraban manusia dengan haiwan, memperlihatkan nilai-nilai kasih sayang, kepercayaan, dan penjagaan.
Kejayaan gambar ini bukan sahaja mengangkat nama Syukor, tetapi juga membuka mata dunia kepada keindahan dan kekuatan hubungan antara manusia dan haiwan. Ia adalah peringatan tentang pentingnya memelihara dan menghargai alam sekitar, serta bagaimana hubungan ini boleh mencipta kenangan indah yang dirakam dalam gambar.
Gambar ikonik Mohd Syukor bersama kerbaunya akan terus dikenang sebagai lambang kasih sayang, keakraban, dan kejayaan yang mampu melangkaui sempadan budaya dan geografi.
Ia merupakan inspirasi kepada generasi muda dan masyarakat, bahawa kasih sayang kepada haiwan dan alam semulajadi mempunyai keindahan dan makna yang tidak ternilai harganya.
Baru-baru ini, Syukor kembali menjadi perhatian apabila GIATMARA Malaysia menerusi laman Facebook berkongsi gambar terkini ‘Mowgli Malaysia’ itu sebagai salah seorang pelajar di institut tersebut.
“Macam kenal? Mungkinkah dia? Raut wajah ini seperti insan dikenali yang pernah tular satu masa dahulu.
“Kini beliau telah berjaya menamatkan Kursus Teknologi Motosikal selama 6 bulan di GIATMARA Hulu Terengganu.
“Beliau telah beraksi di Ekspo TVET@KKDW dalam pertandingan servis motosikal yang diadakan di Melaka tempoh hari.
“Dengan jolokan ‘Mowgli Malaysia’ sebelum ini, beliau kelihatan selesa bersama peliharaannya yang kelihatan begitu akrab dan bersahaja.
“Ya benar! Beliau adalah Syukor Khamis- ‘The Kampung Boy’ yang pernah tular bersama kerbau kesayangan sejak beliau masih kecil lagi,” tulis hantaran di laman Facebook.
Tambah GIATMARA, Syukor memilih bidang kemahiran motosikal kerana ingin meneruskan legasi keluarga yang memiliki bengkel motosikal sendiri.
Berikut hantaran di TikTok GiatMara:
Menjengah ke ruangan komen, perkongsian tersebut mencuri perhatian ramai warga maya yang kagum dengan perkembangan terkini Syukor.
Ramai yang tidak menyangka kanak-kanak yang pernah membintangi telemovie “Budok Kuba” itu kini telah dewasa.
Berikut antara komen-komen warga maya di laman Facebook GiatMara:
“Hebat anak bangsa. Beginilah yang selalu kita harapkan pada anak bangsa. Tak pandai akademik tak mengapa tapi bijak dalam bidang yang lain. Jauhi dadah.. Tahniah MARA. Terus terang. MARA Memang terbaik dan banyak membantu anak bangsa.”
Kronologi kes bunuh pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu yang merobek hati. Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 12 kali sebatan ke atas seorang bekas pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu berusia 20 tahun selepas didapati bersalah membunuh Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, pada Mac tahun lalu.
Hakim Datuk Duncan Sikodol pada prosiding penetapan hukuman hari ini turut memerintahkan 12 tertuduh yang masih di bawah umur dipenjara selama diperkenankan Yang Dipertua Negeri Sabah atas kesalahan sama.
Pada 22 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi Tawau memutuskan 13 remaja berusia antara 16 hingga 19 tahun terbabit bersalah membunuh Mohamad Nazmie Aizzat.
Hakim Duncan ketika membacakan keputusan itu berkata semua tertuduh didapati bersalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
MEREKA DITUDUH BERSAMA-SAMA MEMBUNUH MOHAMAD NAZMIE AIZZAT, 17, DI BILIK ASRAMA KOLEJ BERKENAAN PADA JAM 9 MALAM 21 MAC HINGGA 7.38 PAGI 22 MAC TAHUN LALU.
Mohamad Nazmie Aizzat atau lebih mesra dengan panggilan ‘Ijat’ ditemui mati selepas disyaki dipukul beramai-ramai oleh 13 rakan di bilik asrama 7 Resak dan 5 Belian antara jam 9 malam pada 21 Mac sehingga jam 7.38 pagi pada 22 Mac, di kolej berkenaan.
Kejadian disyaki berpunca perselisihan faham berhubung isu kehilangan wang milik dua daripada 13 tertuduh.
Berikut kronologi dan fakta kes bunuh Mohamad Nazmie Aizzat:
23 Mac 2024 – 13 remaja lelaki ditahan reman selama enam hari sebelum disambung sehingga 4 April.
2 April 2024 – 13 remaja itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Lahad Datu atas pertuduhan membunuh (tiada pengakuan direkodkan)
13 Jun 2024 – Mahkamah Tinggi Tawau menolak permohonan ikat jamin bagi tujuh tertuduh kerana tiada alasan istimewa dikemukakan, selain permohonan bersifat pramatang dan kes belum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
16 Mei 2024 – Mahkamah Majistret Lahad Datu menetapkan tarikh 27 Jun untuk sebutan semula kes sementara menunggu hasil laporan kimia dan bedah siasat.
25 Julai 2024 – Prosiding sebutan semula kes dijalankan secara tertutup di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani.
13 Ogos 2024 – Semua 13 tertuduh didakwa di Mahkamah Tinggi Tawau atas pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Mereka mengaku tidak bersalah dan mahkamah tetapkan 10 hari perbicaraan.
19 November 2024 – Hari pertama prosiding perbicaraan peringkat pendakwaan. Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif dalam ucapan pembukaannya menegaskan pihaknya akan membuktikan semua 13 tertuduh terbabit memukul sehingga membawa kepada kematian mangsa.
19 November 2024 – Hakim Mahkamah Tinggi Tawau, Datuk Duncan Sikodol melawat lokasi kejadian di bilik asrama Kolej Vokasional Lahad Datu.
20 November 2024 – Perbicaraan hari kedua ditangguhkan susulan bantahan daripada peguam berhubung isu lantikan peguam. Tarikh baharu ditetapkan 26 November 2024.
26 November 2024 – Keterangan saksi-saksi pendakwaan. Warden asrama, Nuhrullah Aminuddin, dalam keterangannya memaklumkan Allahyarham ditemukan dalam keadaan sudah tidak sedarkan diri semasa kejadian kira-kira jam 6.30 pagi pada 22 Mac. Bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) sempat diberikan kepada mangsa.
27 November 2024 – Penolong Pegawai Perubatan di Hospital Lahad Datu, Mohammad Zul Amree Hamzah mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia antara satu hingga dua jam sebelum pasukan perubatan tiba mengesahkan kematian jam 7.38 pagi 22 Mac.
27 November 2024 – Pakar Patologi Forensik, Dr Dzureena Abdul Mutalib, 39, mengesahkan punca kematian mangsa disebabkan kecederaan dada dan tisu lembut akibat trauma tumpul. Sebanyak 107 kesan kecederaan pada hampir keseluruhan tubuh (boleh diselamatkan jika segera dihantar ke hospital untuk mendapat rawatan)
27 November 2024 – Siti Hamidah Jumari, 45, ibu kepada Allahyarham menangis ketika diminta membuat pengecaman gambar arwah anaknya. Hanya dapat membuat pengecaman pada sekeping gambar (gambar nombor 12) kerana sukar mengawal perasaan sedih.
27 November 2024 – Hakim Datuk Duncan Sikodol mengeluarkan amaran kepada keluarga tertuduh di mahkamah supaya tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan.
28 November 2024 – Saksi dakwa nampak mangsa dipukul empat tertuduh di Bilik 7 Resak kira-kira jam 9 malam pada 21 Mac, namun tidak melaporkan kejadian itu kepada warden asrama kerana tidak mahu terbabit dan takut dipukul.
29 November 2024 – Saksi mendakwa perselisihan faham berhubung kecurian wang dipercayai menjadi punca mangsa dipukul walaupun menafikan melakukan perbuatan itu.
2 Disember 2024 – Saksi pendakwaan ke-12 (PW12) mendakwa melihat 10 tertuduh ‘mengerumuni’ mangsa ketika berada di bilik asrama kolej berkenaan.
4 Disember 2024 Mohamad Nazmie Aizzat tidak bangun ketika dikejutkan untuk bersahur kira-kira jam 3.40 pagi 22 Mac selepas dipukul dalam bilik Asrama 5 Belian, pada malam sebelumnya.
5 Disember 2024 – Saksi pendakwaan PW19, memberitahu mahkamah Mohamad Nazmie Aizzat mengaku ada mengambil wang milik dua daripada 13 tertuduh sebelum memulangkannya semula, menyebabkan dia dipukul pada malam 21 Mac 2024.
5 Disember 2024 Peguam dakwa saksi pendakwaan tidak kompeten dan berbohong selepas gagal memberikan jawapan munasabah termasuk tidak mengetahui tarikh pernyataan saksinya disediakan.
6 Disember 2024 Pegawai forensik PDRM menemukan kesan darah pada lantai dan tilam bilik asrama 7 Resak, 5 Belian dan 7 Belian di kolej berkenaan yang dipasang tali kuning ketika menjalankan siasatan di lokasi kejadian, kira-kira jam 10 pagi pada 24 Mac.
9 Disember 2024 – Pendakwaan menutup kes selepas panggil 25 saksi.
28 Februari 2025 Mahkamah perintah 13 tertuduh bela diri. Hakim Datuk Duncan Sikodol memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya mewujudkan prima facie terhadap semua 13 remaja.
10 Mac 2025 – Kes pembelaan bermula dengan keterangan semua tertuduh diberikan secara bersumpah dari kandang saksi. Dua tertuduh mendakwa mereka dipaksa membuat pengakuan berhubung kematian mangsa.
12 Mac 2025 – Tertuduh pertama mendakwa hanya menolak dan menepis bahu mangsa.
13 Mac 2025 – Tertuduh keenam mengaku memukul dan menendang mangsa kerana kecewa.
14 Mac 2025 – Tertuduh kelapan mendakwa tidak nampak mangsa dibelasah beramai-ramai.
15 Mac 2025 – Tertuduh kesembilan mendakwa dihasut untuk memukul mangsa. Prosiding pembelaan ditutup selepas 18 saksi, termasuk semua tertuduh, selesai memberi keterangan.
29 April 2025 – Pendakwaan memfailkan hujahan bertulis
6 Mei 2025 – Pembelaan mengemukakan hujahan balas.
11 Jun 2025 – Keputusan kes yang sepatutnya dijadualkan hari ini ditangguh ke tarikh lain sebanyak tiga.
22 Ogos 2025 – Mahkmah dapati semua 13 tertuduh bersalah mengikut Seksyen 302 dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.
28 Ogos 2025- Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 12 kali sebatan ke atas seorang bekas pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu berusia 20 tahun selepas didapati bersalah membunuh Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, pada Mac tahun lalu.
Hakim Datuk Duncan Sikodol pada prosiding penetapan hukuman hari ini turut memerintahkan 12 tertuduh yang masih di bawah umur dipenjara selama diperkenankan Yang Dipertua Negeri Sabah atas kesalahan sama.
Garam Celtic ketika puasa dikatakan boleh kurangkan rasa haus, tetapi benarkah ia berkesan? Ketahui penjelasan doktor dan fakta sains sebelum anda mencubanya sepanjang Ramadan.