Hubungan

Dedah Kecurangan Suami Di Media Sosial, Ustazah Jelaskan Ibarat Dosa Atas Dosa

Share

Dedah kecurangan suami di media sosial, ustazah jelaskan ibarat dosa atas dosa apabila perbuatan yang didorong rasa marah dan kecewa akhirnya membuka lebih banyak mudarat kepada diri sendiri serta keluarga. Dalam keadaan emosi yang tidak stabil, tindakan menularkan video atau kisah curang mungkin dilihat seperti jalan untuk memberi pengajaran, namun hakikatnya ia boleh mengundang dosa, aib dan masalah undang-undang.

Islam melarang perbuatan menyebarkan aib

Menurut penceramah bebas kekeluargaan, Maudah Ali atau lebih dikenali sebagai Ustazah Cinta, Islam melarang perbuatan menyebarkan aib walaupun suami benar-benar melakukan kesalahan. Jelas beliau, isteri dibenarkan merakam kejadian sebagai bukti, namun rakaman itu hanya wajar digunakan dalam prosiding Mahkamah Syariah, bukan disebarkan untuk tontonan umum di media sosial.

Gambar Hiasan AI

Katanya, tindakan membuka keaiban rumah tangga kepada khalayak ramai ibarat “dosa atas dosa” kerana bukan sahaja suami melakukan kesalahan, malah isteri pula menambah dosa dengan menyebarkan aib tersebut. Lebih membimbangkan, apabila isu rumah tangga menjadi tular, ribuan netizen akan mula memberi komen, mengecam malah menyelongkar kisah lama individu terlibat. Situasi ini akhirnya mengheret lebih ramai orang kepada perbuatan mengumpat dan menjatuhkan maruah sesama manusia.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan bahawa tindakan menyerang secara fizikal atau mengasari pihak ketiga di tempat awam hanya akan merugikan isteri sendiri. Ketika emosi tidak terkawal, apa sahaja tindakan terburu-buru boleh menjadi ‘senjata makan tuan’ dan membuka ruang kepada pihak lain untuk mengambil tindakan balas.

Terdedah kepada implikasi undang-undang

Dari sudut perundangan pula, pensyarah Undang-Undang Awam Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mastika Nasrun menjelaskan bahawa pihak ketiga berhak memfailkan saman fitnah sekiranya hantaran yang ditularkan memenuhi elemen tertentu. Antaranya apabila kenyataan itu merujuk kepada identiti individu secara jelas, disebarkan kepada umum dan mengandungi unsur yang tidak benar.

Gambar Hiasan AI

Malah, walaupun seseorang merasakan dirinya berada di pihak yang benar, sedikit sahaja fakta yang tersasar atau ditokok tambah kerana emosi boleh menyebabkan kes berpihak kepada plaintif. Bukan itu sahaja, tindakan mengaibkan individu di platform digital juga boleh terdedah kepada implikasi undang-undang lain termasuk tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Apa yang lebih menyedihkan, anak-anak juga akhirnya menjadi mangsa. Jejak digital pertelingkahan ibu bapa boleh kekal lama dan suatu hari nanti mungkin dibaca sendiri oleh mereka. Sebab itu, dalam berdepan isu rumah tangga, jalan terbaik ialah mengumpul bukti dengan tenang, menyusun kronologi secara teratur dan membawa perkara itu ke saluran yang betul. Menjaga maruah keluarga, walaupun ketika hati sedang hancur, itulah pilihan yang lebih baik dan lebih menenangkan.

BACA LAGI : Suami Curang Selepas 29 Jam Nikah, Influencer Buat Pengakuan

Sumber : Harian Metro