Agak lama rasanya kita tidak dapat berjumpa orang tersayang sambil bersalaman dengan mesra. Bukan itu sahaja, banyak perkara sebenarnya yang  membuatkan kita sudah terlalu rindu untuk melakukan perkara-perkara yang biasa dilakukan sebelum adanya wabak Covid-19 ini.

Namun sehingga detik ini, tidak nampak lagi bayang untuk kita semua bebas melaungkan kejayaan dalam melawan musuh senyap yang digeruni ini. Apatah lagi bila melihat angka kes kian bertambah, nyata pastinya perjuangan kita semua masih panjang lagi!

Tinjauan ke halaman fb Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah telah berkongsi fakta berkenaan fasiliti kesihatan dan gambar-gambar bagi memberi gambaran jelas keadaan sebenar kepada umum.

Ini perkongsian beliau dan sama-sama lah kita hayati dan ambil serius untuk  memutuskan rantaian Covid-19.

Menurut statistik yang dilaporkan kepada CPRC Kebangsaan, kadar penggunaan katil rawatan kritikal / ICU COVID-19 terkini di Lembah Klang secara purata keseluruhan telah mencapai 90 peratus pada pagi 2 Mei 2021.

Sebanyak enam (6) buah hospital yang mempunyai katil rawatan kritikal / ICU dikhususkan untuk merawat pesakit COVID-19 didapati telah melebihi ambang amaran (alert threshold) kadar penggunaan katil melebihi 70 peratus iaitu Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang, Hospital Serdang, Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang di mana ada di antaranya telah pun menghampiri 100%. Manakala Pusat Perubatan Universiti Malaya pula melaporkan penggunaan katil rawatan kritikal / ICU COVID-19 pada kadar melebihi 50 peratus.

Hospital Sungai Buloh yang beroperasi sepenuhnya sebagai hospital COVID-19 akan meningkatkan kapasiti katil rawatan kritikal / ICU secara berfasa bagi memenuhi keperluan yang meningkat. KKM telah membuat perolehan peralatan perubatan seperti ventilator sejak tahun 2020 lagi bagi membolehkan Hospital Sungai Buloh meningkatkan kapasiti katil rawatan kritikal apabila terdapat keperluan mendesak.

Pembedahan dan prosedur elektif di hospital di sekitar Lembah Klang akan dikurangkan atau ditangguhkan bagi membolehkan lebih banyak katil hospital dikhususkan untuk rawatan COVID-19. Ini juga membolehkan anggota perubatan dimobilisasikan ke tempat-tempat yang lebih kritikal bagi perawatan pesakit COVID-19.

IKLAN

KKM juga akan terus bekerjasama dengan hospital-hospital swasta, pengajar atau universiti di sekitar Lembah Klang bagi meningkatkan kapasiti katil-katil kritikal. Ini termasuk penyumberluaran pesakit bukan COVID-19 bagi kes dan prosedur tertentu untuk dirawat di hospital swasta dengan kos ditanggung oleh kerajaan pada caj rawatan yang telah dipersetujui. Penyumberluaran ini telah pun dilaksanakan sejak gelombang kedua pada tahun 2020 dan masih diteruskan sehingga kini.

Sekiranya trend peningkatan kes COVID-19 ini berterusan, maka kapasiti kesihatan akan berada pada tahap yang kritikal dan akan memberikan impak yang negatif kepada penyampaian perkhidmatan kesihatan awam secara keseluruhannya.

Justeru, masyarakat diseru untuk sama-sama membantu KKM dengan sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan dan mematuhi nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan oleh KKM bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di negara ini. Tahap pematuhan 100 peratus oleh semua pihak adalah amat diperlukan bagi membantu negara pulih semula daripada kemelut ini.

IKLAN

Turut dikongsikan rakaman video seketika di wad kecemasan yang menempatkan pesakit-pesakit Covid-19 yang kritikal di ICU Hospital Sungai Buloh.

 

Sumber : Noor Hisham Abdullah 

Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club