Bulan puasa sememangnya sinonim dengan hidangan berbuka yang menyelerakan, termasuk pelbagai jenis minuman manis yang menyegarkan, menghilangkan dahaga selepas seharian berpuasa.
Namun, apa yang menarik perhatian ramai baru-baru ini ialah luahan kebimbangan Dr. Rafidah Abdullah, yang terkenal dengan ketegasannya memberi kesedaran tentang menjaga kesihatan.
Melalui satu coretan ringkas di media sosial, Dr. Rafidah mengingatkan orang ramai tentang kesan negatif pengambilan gula yang berlebihan, terutamanya minuman manis yang kerap dijadikan pilihan semasa berbuka puasa.
Kebimbangan beliau ini diluahkan selepas menonton video daripada Khairul Aming di Che Sayang Kitchen yang memaparkan resipi minuman manis yang cukup popular semasa bulan Ramadan.
KEMPEN AIR KOSONG
Ads
Dalam hantaran berbeza beliau menegaskan bahawa untuk tidak teragak-agak untuk menegur sesiapa sahaja yang membuat konten makanan atau minuman yang tidak sihat.
“Saya ingin mengajak masyarakat Malaysia minum air kosong sahaja. Saya tidak akan teragak-agak untuk menegur sesiapa sahaja yang buat konten makanan atau minuman yang tidak sihat. Kalau rasa sedikit, tiada masalah. Jangan dibiasakan.”
Dr. Rafidah menekankan bahawa minum air kosong tetap mampu menghilangkan dahaga dengan segera. Bahkan ia mampu mengelak kepada nasalag kesihatan, seperti peningkatan risiko obesiti dan diabetes.
Ads
Beliau turut menyebut bahawa walaupun ada tinjauan yang menyokong amalan ini, ada juga suara yang mengkritik pengambilan gula berlebihan, terutamanya dalam kalangan mereka yang tidak selalu mengamalkan diet yang seimbang.
Ads
Coretan Dr. Rafidah ini turut mendapat reaksi beragam daripada netizen. Ada yang menyokong nasihat beliau dan mengakui kesan buruk pengambilan minuman manis,
Namun ada juga yang mempertahankan minuman manis sebagai sebahagian daripada tradisi bulan puasa. Apa yang pasti, mesej beliau tentang pentingnya kesihatan dan keseimbangan dalam pemakanan tetap menjadi peringatan yang harus diambil serius oleh kita semua.
Pengawal keselamatan pelihara enam anak yatim piatu dengan gaji RM1,500, oercaya rezeki Allah. “Percaya dengan rezeki Allah SWT,” itu pegangan pengawal keselamatan Che Hanapi Che Hassan, 44, yang sanggup berdepan cabaran apabila berkorban menjaga enam anak yatim piatu yang juga anak saudaranya.
Pengawal Keselamatan Pelihara Enam Anak Yatim Piatu Dengan Gaji RM1,500
Bapa kepada tiga anak dari Kampung Padang Rumbia, Pekan, Pahang, itu berkata kehidupan dia bersama isteri, Kamilah Yaakob, 48, dan anak-anaknya bahagia dan ceria.
“Jika diikutkan dengan pendapatan RM1,500 sebulan tidak termasuk kerja lebih masa, ia seakan tidak cukup untuk menampung kehidupan kami sekeluarga.
Percaya Rezeki Allah
“Tetapi saya percaya kepada rezeki Allah SWT dan Alhamdulillah, sejak menjaga mereka pada 2007 lagi, kehidupan kami sekeluarga okay.
“Dengan rezeki diterima ini, saya dan isteri dapat memberikan pendidikan kepada mereka dan syukur di atas ketentuan Allah,” katanya.
Menceritakan kehidupan di awal perkahwinan, Che Hanapi berkata, dia bersedia menjaga enam anak yatim piatu itu untuk memastikan mereka tidak terpisah dan kekal bersama sehingga dewasa.
Che Hanapi (kanan) bersama keluarganya termasuk nak yatim piatu yang dijaganya. FOTO ihsan Che Hanapi Che Hassan.
Menurutnya, segalanya bermula apabila Che Hanapi dan Kamilah berkahwin pada Ogos 2007 yang ketika itu isterinya sudah menjaga tiga anak saudaranya selepas ibu bapa mereka meninggal dunia.
Katanya, pada 2011, mereka membuat keputusan mengambil tiga lagi anak saudaranya yang kematian ibu bapa untuk memastikan hubungan dan keakraban dalam kalangan adik-beradik kekal terjalin.
“Tiada apa yang lebih menggembirakan apabila melihat enam anak yatim piatu ini yang juga anak saudara isteri gembira dan tidak terpisah.
“Sebenarnya, jika ada yang mengambilnya, biarlah mereka kekal bersama dan bukannya hanya seorang yang menyebabkan hubungan mereka akan menjadi jauh.
“Saya tidak sanggup melihat mereka terpisah lalu menjaga mereka sehingga dewasa sedangkan mempunyai tiga anak berusia lapan hingga 16 tahun dan yang tinggal bersama kami ketika ini ialah tiga orang.
“Alhamdulillah, kami gembira seorang daripadanya sudah berkahwin dan kami kini mempunyai seorang cucu, manakala dua lagi sudah bekerja di Bentong, Pahang dan Klang, Selangor,” katanya.
Che Hanapi yang tinggal di rumah asnaf Projek Rumah Bersepadu Kampung Padang Rumbia, Pekan turut mengakui gembira melihat anak saudaranya membesar di depan mata kerana memberi kepuasan serta bersyukur di atas segalanya.
Wanita 36 tahun meninggal dunia, doktor pakar tinggalkan pesakit lepas bersalin. Dua orang doktor dengan gabungan kepakaran lebih 60 tahun dalam bidang perbidanan termasuk pernah mengendalikan 8,500 kes bersalin, didapati bersalah atas kesalahan kecuaian perubatan selepas meninggalkan pesakit yang mengalami pendarahan kritikal dalam jagaan jururawat tidak berdaftar, hanya untuk keluar minum.
Wanita 36 Tahun Meninggal Dunia
Mahkamah Tinggi Klang memutuskan Dr M Shanmugam dan Dr A Ravi bersama jururawat terdiri daripada Izaniey Nataliah Jukimin, Nur Aida Mat Isa serta Nessy Yasah, perlu membayar ganti rugi hampir RM6 juta kepada keluarga mendiang M Punita dalam kes kecuaian perubatan menyebabkan kematian mangsa ketika menerima rawatan.
Punita meninggal dunia beberapa jam selepas bersalin di Pusat Materniti dan Bersalin Shan milik Dr Shanmugam akibat pendarahan selepas bersalin (PPH) pada 9 Januari 2019.
Ketika prosiding, mahkamah diberitahu bahawa Punita yang melahirkan anak keduanya, mula mengalami pendarahan yang banyak selepas plasentanya dikeluarkan secara manual.
Walaupun memberi jaminan pesakit yang berusia 36 tahun itu stabil, Dr Ravi meninggalkan klinik dan meletakkan mendiang di bawah jagaan tiga jururawat tidak berdaftar yang ditugaskan memantau keadaan pesakit, walaupun tidak mempunyai kelayakan dan pendaftaran oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Doktor Pakar Tinggalkan Pesakit Lepas Bersalin
Dr Shanmugam juga dilihat keluar dari bilik bersalin dan meninggalkan mendiang dalam jagaan dan pengawasan tiga jururawat yang sama.
Apabila ibu Punitha memasuki bilik bersalin, dia mendapati anak perempuannya mengalami pendarahan yang banyak, manakala jururawat cuba menghentikan pendarahan itu menggunakan kapas.
Kedua-dua doktor terbabit tidak hadir pada saat kritikal ini. Dalam usaha menyelamatkan nyawa pesakit, mangsa kemudian dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang.
Doktor HTAR menyifatkan keadaan Punitha sudah kritikal ketika ketibaan, berikutan kehilangan darah yang ketara dan mengalami pembekuan intravaskular (DIVC).
Walaupun pembedahan kecemasan dan pemindahan darah dilakukan, namun Punita meninggal dunia dan meninggalkan dua anak kecil.
Hakim, Norliza Othman, dalam keputusannya, berkata Klinik Shan kekurangan bekalan perubatan asas, termasuk ubat untuk mengawal pendarahan rahim dan peralatan untuk menguruskan komplikasi selepas bersalin.
Norliza juga menekankan kegagalan doktor bertindak segera dan menangguhkan pemindahan pesakit ke hospital yang dilengkapi peralatan untuk mengendalikan kecemasan sedemikian.
“Walaupun mereka memiliki pengalaman luas dalam bidang perbidanan, kedua-dua doktor gagal menjangka komplikasi yang biasa dikaitkan dengan bersalin, seperti eklampsia, masalah berkaitan plasenta yang membawa kepada PPH.
“Kedua-dua mereka keluar dari bilik bersalin tanpa memastikan mendiang bebas daripada komplikasi. Jururawat yang tidak terbukti mempunyai kelayakan yang sepatutnya, dibiarkan menguruskan pesakit. Kecuaian kolektif defendan secara langsung menyumbang kepada kecederaan parah terhadap mangsa, yang membawa kepada kematiannya,” katanya dalam alasan penghakimannya, yang dimuat naik di laman web Jabatan Kehakiman hari ini.
Hakim juga mengecam doktor kerana ‘tidak menghiraukan’ keadaan si mati.
“Dalam kes ini, seorang ibu muda meninggal dunia selepas bertungkus-lumus melahirkan anaknya. Selepas bersalin, dia terpaksa menahan kesakitan yang tidak terbayang sebelum dihantar ke HTAR untuk rawatan lanjut.
“Ketika dihantar ke HTAR, ibu muda itu sudah berada dalam keadaan kritikal akibat kehilangan darah yang banyak, sehingga pihak hospital ‘mengisytiharkan kematian’ ibu malang ini.
“Peristiwa tragis ini boleh dielakkan sekiranya kedua-dua doktor mengambil tindakan pantas dengan menghantarnya ke HTAR dan memantau keadaannya dengan teliti, dan tidak meninggalkannya dalam jagaan jururawat, sementara Dr Ravi keluar minum.
“Tahap pengabaian ini tidak boleh dimaafkan dan secara langsung menyumbang kepada kematian ibu yang sihat,” tambahnya.
Susulan itu, mahkamah menganugerahkan keluarga mangsa RM5,993,936 sebagai ganti rugi, merangkumi RM500,000 untuk kesakitan dan penderitaan si mati; RM1 juta untuk setiap seorang bagi dua anak si mati; RM300,000 setiap seorang untuk ibu bapanya; RM1.5 juta sebagai ganti rugi teruk terhadap Dr Ravi; RM700,000 sebagai ganti rugi teruk terhadap Dr Shanmugam dan kliniknya; dan RM100,000 sebagai ganti rugi punitif.
Khairul Aming ‘bebas’ ambil barang di Mydin bantu mangsa banjir. Situasi banjir di Kelantan semakin kritikal. Terpanggil membantu meringankan beban mangsa-mangsa banjir, pempengaruh, Khairul Aming turun padang memberi bantuan.
Khairul Aming ‘Bebas’ Ambil Barang Di Mydin Bantu Mangsa Banjir
Dalam pada itu, syarikat pemborong dan peruncit terkenal, Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) telah mengambil inisiatif untuk memudahkan urusan Khairul Aming bagi meneruskan pemberian bantuan kepada mangsa banjir di Kelantan.
Menerusi sebuah video yang tular di TikTok, Pengarah Urusannya, Datuk Ameer Ali Mydin memberi jaminan untuk membenarkan usahawan itu mengambil barangan di premis miliknya bagi membantu rakyat terkesan.
“Awak boleh ambil barang seberapa banyak awak nak, tak perlu hantar orang atau kad kredit, 20,000 atau 100,000, nanti selepas banjir awak bayarlah,” katanya.
Situasi banjir yang dilihat semakin kritikal melanda negeri Kelantan sehingga mencecah hampir 100,000 mangsa.
Ia mendapat perhatian ramai sehinggakan pempengaruh media sosial dan beberapa usahawan tempatan termasuk Khairul Aming turun padang membantu mangsa banjir.
Khairul Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman menerusi Instagram miliknya memaklumkan sebaik tiba di Kelantan pada Sabtu, dalam tempoh dua jam dia berjaya kumpul bantuan untuk 2,000 mangsa banjir di Pasir Mas.
Dalam pada itu, pihak Mydin turut memberikan sumbangan berbentuk barangan kepada mangsa.